BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Johari nafi disogok RM5j -- Mengaku bebaskan tiga penjenayah mengikut Ordinan Darurat
Oleh Muhd. Nizam Abd. Hamid Utusan Malaysia


JITRA 4 Mac – Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom hari ini mengaku membebaskan tiga penjenayah mengikut Ordinan Darurat, tetapi menafikan dakwaan beliau menerima sogokan sebanyak RM5 juta.

Beliau bersedia untuk disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Katanya, pembebasan ketiga-tiga penjenayah itu dibuat berdasarkan penilaian beliau atas nasihat penasihat undang-undang kementerian dan berdasarkan laporan polis.

Beliau sebaliknya mendakwa, terdapat banyak kes polis melepaskan orang yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat tanpa pengetahuan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN).

Beliau turut mempertikaikan kredibiliti polis kerana mendakwa banyak kes seperti itu dilepaskan tanpa pengetahuan KKDN.

‘‘Kes yang datang kepada saya, saya mesti perhati dan teliti dengan begitu adil kerana tidak mahu salah guna akta ini untuk polis banteras dadah dan apa juga jenayah lain.

‘‘Kalau sesuatu kes itu berprofil tinggi yang mempunyai penjenayah dikehendaki, polis mesti berusaha mendapatkan maklumat lengkap dan dakwa mereka di mahkamah kerana mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat tidak akan didakwa ke mahkamah, sebaliknya terus dihantar ke (pusat tahanan) Simpang Renggam.

‘‘Sejak menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, sudah beratus kes saya tengok. Kes yang tiga itu, yang dituduh dalam laman web itu, kes itu saya dapat dan teliti daripada laporan polis dan juga maklumat daripada KKDN sendiri,” kata Mohd. Johari.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Koperasi Serbaguna Kaum Ibu Kubang Pasu Berhad di Kampung Lubuk Batu dekat sini.

Menurut Mohd. Johari, dalam melaksanakan tugasnya beliau dinasihatkan oleh penasihat undang-undang KKDN.

“Penasihat undang-undang saya ialah seorang peguam yang berpengalaman. Jadi, kita terpaksa tolak sesetengah kes. Bukan semua kes yang dihantar polis itu kita terima. Ada kes yang kita tak puas hati dan kita lepaskan... itu pun baru tiga sahaja,’’ katanya.

Timbalan Menteri itu mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kelmarin yang mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan seorang pemimpin politik yang menerima sogokan RM5 juta bagi membebaskan penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Musa berkata, penjenayah-penjenayah yang dikaitkan dengan pemimpin politik kanan tersebut dipercayai terlibat dengan beberapa salah laku seperti maksiat, pelacuran, gengsterisme, Ah Long dan peras ugut.

Polis mula menyiasat kes itu berdasarkan laporan dua laman blog tempatan yang menyiarkan kegiatan pemimpin politik kanan tersebut yang didakwa menerima sogokan itu.

Sehubungan itu, Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohd. Sukri Abdul semalam berkata, pihaknya telah mengenal pasti pemimpin politik kanan terbabit serta saksi-saksi yang boleh membantu siasatan untuk memastikan maklumat yang diperoleh oleh agensi itu benar-benar kukuh untuk dijadikan kes.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai isu itu, Mohd. Johari menegaskan, beliau sedia disiasat.

‘‘Saya tiada masalah. Saya rela disiasat oleh sesiapa pun kerana kita mengikut peraturan dan laporan setiap subjek yang dilepaskan ada dalam fail kita. Kenapa mereka dibebaskan sangat jelas berdasarkan laporan yang diterima. Tidak ada benda yang mahu kita sembunyikan,” katanya.

Menurut beliau, sesuatu kes di bawah Ordinan Darurat yang dikemukakan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan diteliti seadil-adilnya supaya tiada pihak yang teraniaya semata-mata kerana kegagalan polis mengemukakan bukti kukuh untuk mendakwa suspek di mahkamah.

Katanya, ordinan tersebut sebenarnya merupakan jalan terakhir untuk polis menahan suspek jenayah selepas kes berkenaan tidak dapat dibawa ke mahkamah kerana ketiadaan bukti yang kukuh.

Mohd. Johari berkata, polis dan Lembaga Penasihat yang ditubuhkan pihak berkuasa bagi mengendalikan kes rayuan di bawah ordinan tersebut turut membebaskan suspek yang ditahan.

‘‘Banyak kes yang dibebaskan oleh polis tanpa pengetahuan KKDN.

‘‘Pada bulan lalu sahaja, Lembaga Penasihat yang dianggotai tiga bekas hakim telah membebaskan 31 daripada 48 orang yang saya arahkan dihantar ke (pusat tahanan) Simpang Renggam selepas mendapat permohonan daripada pihak polis,” katanya.

Keputusan pembebasan itu, katanya, menunjukkan Lembaga Penasihat menolak penilaian yang beliau lakukan dan juga laporan yang dikemukakan oleh pihak polis bagi menahan seseorang suspek di Simpang Renggam kerana kelemahan dalam siasatan.

Mengulas dakwaan sogokan RM5 juta, Johari berkata, ia disebarkan dalam laman web yang ditulis oleh pihak tidak bertanggungjawab yang turut menyebarkan pelbagai fitnah memburukkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Mohd. Johari turut kecewa dengan tindakan polis yang lewat menyerahkan laporan penahanan seseorang di bawah kes Ordinan Darurat sehingga menyebabkan beliau kesuntukan masa untuk membuat penilaian.

‘‘Sepatutnya selepas 45 hari menahan suspek di Simpang Renggam bagi membantu siasatan, polis perlu mengemukakan kepada saya laporan untuk dibuat penilaian bagi tindakan seterusnya dalam tempoh 15 hari tetapi kerana kelewatan itu kadangkala saya hanya mempunyai masa tiga hari sahaja bagi membuat keputusan,” katanya.

Sedangkan, katanya, pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memerlukan masa bagi meneliti laporan dan memanggil saksi-saksi berkaitan sebelum memutuskan untuk meneruskan tahanan atau membebaskan mereka yang ditahan.

Keadaan itu, jelasnya, boleh menjejaskan penilaian yang dibuat oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri terhadap seseorang suspek sehingga menyebabkan rayuan mereka untuk dibebaskan diterima oleh Lembaga Penasihat.





 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762