|
Daripada Abdul Muin Abdul Majid
HELSINKI, 10 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad yang tewas pada pemilihan anggota
perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu semalam, akan
dijemput menghadiri Perhimpunan Agung Umno November
ini.
"Kita menjemput semua anggota parti kita dan Tun (Mahathir)
tak pernah dikecualikan," kata Perdana Menteri
kepada wartawan Malaysia di luar Mesyuarat Asia-Eropah
Keenam (Asem6) yang bermula di Helsinki Fair Centre
di sini Ahad.
Beliau tiba hari Sabtu untuk mengetuai delegasi
Malaysia ke mesyuarat dua tahun sekali itu yang
melibatkan 39 pemimpin Kesatuan Eropah (EU), 10
anggota Asean, Jepun, China, Korea dan Suruhanjaya
Eropah.
Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno itu
memperoleh 227 undi untuk menduduki tempat
kesembilan daripada keseluruhan 15 calon yang
bertanding bagi merebut tujuh kerusi perwakilan
bahagian itu ke perhimpunan agung parti dua bulan
lagi.
Ditanya apakah peranan Dr Mahathir dalam Umno
berikutan kekalahan itu, Abdullah berkata peranan
seorang anggota Umno ialah menyokong dan menjayakan
perjuangan parti di samping menjayakan apa juga yang
diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
diketuai Umno.
"Itu adalah satu perkara yang sentiasa diharapkan
daripada anggota Umno sama ada yang ada sekarang
atau yang sudah bersara (tidak lagi memegang jawatan)
seperti mereka yang menganggotai Majlis Bekas Wakil
Rakyat Malaysia (Mubarak).
"Saya bertemu mereka baru-baru ini dan semuanya
menyatakan keinginan untuk terus berkhidmat dengan
kemampuan mereka tanpa apa-apa jawatan," kata
Abdullah.
Perdana Menteri menarik perhatian bahawa Dr Mahathir
biasa diminta mengetuai kumpulan tertentu termasuk
dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selain
menjadi penasihat Petronas dan Proton.
"Dan Tun Dr Mahathir juga telah wujudkan satu
peranan sebagai Pengerusi Forum Keamanan Sejagat,
iaitu satu inisiatif keamanan," katanya.
Menyentuh dua rakyat Malaysia yang ditahan di Teluk
Guantanamo, Cuba kerana disyaki terbabit dalam
aktiviti keganasan, Abdullah berkata Kedutaan
Malaysia di Washington telah diminta menghubungi
pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi mempastikan
mereka mendapat keadilan ketika berhadapan dengan
proses undang-undang.
Laporan media sebelum ini mengenalpasti tahanan
terbabit sebagai Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik
Amin.
-- BERNAMA
|