BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Mesej burukkan MB

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN

SEREMBAN: Ada pihak tertentu cuba mengeruhkan politik di negeri ini apabila menconteng beberapa premis, termasuk pejabat The New Straits Times Press Bhd (NSTP), dengan mesej berbentuk hasutan, semalam.

Setakat ini, wujud tiga mesej yang menggunakan cat sembur di dinding beberapa pejabat di sekitar bandar ini seperti ‘Sokong YB Dato Ishak Adun Lenggeng... henti campur tangan keluarga MB’, ‘Datuk Azman abang MB ganggu kerajaan NS’ dan ‘Mat Hasan MB NS Budak Suruhan Azman Hasan’.

Mesej yang cuba memburukkan imej Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan itu turut dikesan di pejabat akhbar The Star, China Press dan Sin Chew Jit Poh yang beroperasi di bandar.

Perbuatan sama dikesan di beberapa bangunan lain seperti Wisma Umno Negeri Sembilan, sebuah kedai dobi di Taman AST, Wisma Negeri, Jabatan Pelajaran serta dua bank di pusat bandar.

Berikutan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis daerah (IPPD) Seremban oleh beberapa pihak, termasuk NSTP Seremban, petang semalam.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai dilakukan pihak tertentu antara tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau dimaklumkan mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan meminta polis mengambil tindakan sewajarnya.

“Umno negeri juga akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan mengesan dalang di sebalik perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikesan,” katanya.

Pemilik kedai dobi, Kamarudin Yusof, berkata dia terkejut apabila mendapati lantai kaki lima kedainya diconteng ketika memulakan perniagaan, kira-kira jam 8.50 pagi semalam.

Saya baru membuka kedai dan nampak tulisan itu. Kenapa kedai saya menjadi mangsa, sedangkan saya hanya menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, sehingga jam 3 petang semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail yang namanya dikaitkan dalam mesej itu gagal dihubungi kerana telefonnya dimatikan.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762