BALIK KE MUKA UTAMA

 

Utusan Malaysia

Ketua Pemuda Ipoh Barat letak jawatan

IPOH 6 Ogos – Persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat hari ini dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan ketuanya, Syed Mohamed Noor Azmi Syed Hassan Nazari.

Syed Mohamed Noor Azmi membuat pengumuman itu semasa berucap pada majlis perasmian persidangan Perwakilan pergerakan itu dihadapan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Noraesah Mohamad.

Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan dan memegang jawatan itu sejak 2000 berkata, jawatannya kini akan dipangku oleh Naib Ketua, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau tidak menyatakan sebab peletakan jawatan dan enggan mengulas apabila ditanya oleh para pemberita kemudian.

Bagaimanapun dalam ucapannya, beliau berkata, Pemuda Ipoh Barat akan membawa usul pada perhimpunan agung UMNO Wanita meminta memberi jawapan dan penjelasan yang lebih terperinci terhadap pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

‘‘MT juga perlu mengadakan mesyuarat khas dengan menjemput Dr. Mahathir bagi membincangkan segala kemelut yang melanda parti dan negara sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

‘‘Para pemimpin parti hendaklah mencari jalan untuk memastikan tiada lagi pertembungan di kalangan pemimpin-pemimpin parti. Setiap kenyataan yang dibuat hendaklah mengutamakan sensitiviti ahli.

‘‘Sifat adab sopan pemimpin Melayu hendaklah diketengahkan,” ujarnya.

Syed Mohamed Noor Azmi juga berkata, Pemuda UMNO Ipoh Barat akan tetap taat dan setia kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

‘‘Pembentangan usul ini adalah satu cara kami untuk menyuarakan pandangan kami terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin berkata, pemuda negeri terkejut dengan keputusan Syed Mohamed Noor Azmi meletakkan jawatannya.

Katanya, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Pemuda UMNO negeri hari ini.

‘‘Kita terkejut tetapi menghormati keputusan beliau dan merujuk perkara itu kepada kepimpinan Pusat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemuda negeri akan membantu pergerakan bahagian itu bagi mengatasi sebarang masalah yang mungkin timbul ekoran peletakan mengejut ketuanya.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762