BALIK KE MUKA UTAMA

IPCMC Tak Adil Kepada Polis, Kata KPN


Ketua Polis Negara, Musa Hassan sebaik sahaja dilantik menjadi Ketua Polis Negara telah menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salahlaku Polis atau IPCMC. Tindakan ini membatalkan rancangan tajaan Pak Lah sendiri dan Musa dalam kenyataan beliau mengatakan bahawa penubuhan IPCMC itu tidak adil pada polis.
Beliau berkata, kini terdapat empat badan pengawas bagi pasukan polis yang dianggap sudah mencukupi - Bahagian Tatatertib RMP; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM); Biro Pengaduan Awam; dan Suruhanjaya Polis diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

IPCMC Tak Adil Kepada Polis, Kata KPN


KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata beliau menentang penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) kerana ia dianggap tidak adil kepada pasukan itu.

"Kami bantah cadangan Suruhanjaya Diraja kerana ia tidak adil.

"Tidak ada saluran untuk rayuan bagi polis. Sedangkan penjenayah punya saluran rayuan (merayu ke mahkamah)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pertamanya kepada pegawai kanan polis berikutan pelantikannya sebagai KPN, di Akademi Polis, Cheras di sini Rabu.

Musa berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan cadangan balas mengenai IPCMC itu ke Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Diraja bagi Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

Pada Mei tahun lepas, suruhanjaya diraja itu memperakukan penubuhan badan bebas luar itu bagi menerima dan menyiasat aduan mengenai PDRM dan kakitangannya.

Pengerusi suruhanjaya diraja itu, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, berkata fungsi badan pengawas itu untuk mencegah, mengesan dan menyiasat rasuah serta salah laku lain dalam PDRM.

Suruhanjaya itu dibentuk pada 4 Feb 2004 dan menyempurnakan tugasnya dalam tempoh hampir 15 bulan.

Perakuan bagi penubuhan IPCMC dianggap paling penting dari 125 perakuan suruhanjaya itu.

Di bawah IPCMC, diperakukan pelantikan tujuh pesuruhjaya oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun dan diketuai oleh seorang pengerusi yang mempunyai latarbelakang undang-undang setaraf dengan Hakim Mahkamah Tinggi.

Suruhanjaya itu melaporkan bahawa IPCMC akan meneruskan fungsi suruhanjaya selepas tugasnya berakhir pada 3 Mei tahun lepas.

Selasa, pada sesi dialog dengan penduduk Petaling Jaya Utara, Musa berkata sesetengah dari cadangan mengenai IPCMC menghalang polis menjalankan tugas dan beliau tidak akan membiarkan polis dilayan secara tidak adil.

"Anda hendak ikat tangan kami, kami tidak akan benarkan anda mengikat tangan kami," katanya.

Beliau berkata, kini terdapat empat badan pengawas bagi pasukan polis yang dianggap sudah mencukupi - Bahagian Tatatertib RMP; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM); Biro Pengaduan Awam; dan Suruhanjaya Polis diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Terdahulu, Musa menyampaikan amanat tertutup sejam setengah kepada pegawai-pegawai kanan polis.

Beliau dihadiahkan kek hari jadi secara mengejut oleh mereka. KPN mencecah usia 55 tahun hari ini.

-- BERNAMA

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762