|
Lagi rekod buruk untuk
Malaysia
ROSLAN SMS
Sebelum ini kita dimaklumkan darihal Indeks Persepsi
Rasuah atau CPI yang diterbitkan oleh Transparency
International bagi tahun 2006. Di mana indeks
Malaysia dari tangga ke 39 telah menggelungsur ke
44, membuktikan bahawa walaupun perang telah
diisytiharkan terhadap rasuah di Malaysia, namun
barah ini terus melarat dan menyerang batang tubuh
negara tanpa kasihan.
Kini terbaru majalah antarabangsa The Economist (melalui
The World in 2007, sebuah terbitan tahunan)
menerbitkan Indeks Demokrasi 2006.
Indeks ini mengukur tahap demokrasi 167 buah negara
di dunia. Pengukuran tahap ini melibatkan lima
indikator atau petunjuk iaitu yang melibatkan proses
pilihanraya, hak asasi dan kebebasan, proses
pengurusan kerajaan, penglibatan politik dan budaya
politik.
Dari ukuran yang dibuat kajian ini telah
mengkelaskan 167 buah negara itu kepada 4 kategori
iaitu: pertama negara demokrasi penuh iaitu
melibatkan 28 buah negara, kedua negara yang
demokrasinya tercemar iaitu melibatkan 54 buah
negara, ketiga negara yang bercampur-campur amalan
demokrasinya iaitu melibatkan 30 buah negara dan
akhirnya negara otokratik atau kuku besi iaitu
melibatkan 55 buah negara.
Negara yang berada di tangga teratas adalah Sweden
manakala negara di tangga tercorot adalah Korea
Selatan.
Malaysia bagaimana?
Malaysia berada ditangga ke 81. Iaitu lebih teruk
dari India (35), Mongolia (56), Sri Lanka (57),
Filipina (63, Indonesia (65) dan Bangladesh (75).
Betul ke ni?
Untuk berlaku adil kita sedia akur akan amalan yang
melibatkan lima indicator di atas dalam negara kita
sendiri. Bagi proses pilihanraya, ianya memang terus
dipertikaikan dengan pengundi hantunya,
persempadanan semula yang berat sebelah, pengundi
pos dan berbagai amalan yang diragui. Kemudian dalam
bab hak asasi dan kebebasan, kita maklum betapa
sukarnya suara DISSENT ataupun yang berbeza dari
arus perdana untuk diketengahkan dalam negara hari
ini, ISA masih menunggu mangsanya, akhbar dan media
elektronik dikawal.
Begitu juga indicator-indikator yang lain, rakyat
Malaysia sendiri boleh memperakui kelemahan dan
keburukannya.
Lalu tidak menghairankanlah apabila dari 167 buah
negara, kita yang kononnya maju dengan minda kelas
pertama ini sebenarnya duduk terperosok diangka ke
81 dalam indeks demokrasi. Bayangkan negara Timor
Leste yang kita kirim pasukan pengaman ke sana pun
berada 16 anak tangga di atas kita iaitu pada
kedudukan ke 65. Palestin yang bergelora itu pun
pada tangga ke 79 iaitu lebih demokratik dari kita!
Itulah hakikatnya. Dalam rasuah kita yang paling
parah, dalam hal demokrasi kita juga kecundang dan
sebelum ini Foreign Direct Investment (FDI) ataupun
pelbauran asing, juga semakin kurang ke sini. Rakyat
Malaysia perlu bertindak merobah kekurangan dan
kemerosotan ini dan bagi saya setakat ini tiadalah
cara yang lebih baik melainkan kita menukar selera
dengan memberi peluang kepada kumpulan lain untuk
menggantikan kumpulan yang kini ternyata gagal ini.
Bersiap-sedialah untuk berani membuat perubahan ini
apabila tiba masanya kerana dari apa yang dapat kita
lihat, ternyata barah politik, sosial dan ekonomi
yang ditimpa ke atas kita berpunca dari Umno dan BN.
Sebagaimana pepatah Cina menyebut, A FISH ROTS FROM
THE HEAD, ikan itu busuk bermula dari kepalanya.
Berubahlah ke arah kebaikan demi negara, agama dan
bangsa.
SILA KE BLOG ROSLAN SMS
http://n32.blogspot.com
|