|
31 Ogos, 2006 00:22 AM
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- "Kami hanya
mahukan hak dan janji, kami bukannya hendak
menentang pembangunan atau melawan kerajaan," itulah
luahan salah seorang penduduk perumahan setinggan di
Batu 8, Ulu Klang yang dirobohkan awal bulan ini.
Khairuddin Mohamad, 44, mewakili kira-kira 100
penduduk kawasan setinggan itu berkata Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan kawasan
perumahan mereka pada 1 Ogos lalu tanpa sebarang
notis dan surat-menyurat.
Katanya kebanyakan penduduk di situ berpendapatan
rendah dan tidak mampu menyewa di tempat lain
menyebabkan kira-kira 15 buah keluarga bertindak
mendirikan khemah di kawasan yang dirobohkan itu
manakala selebihnya berpindah ke tempat lain dan
menumpang di rumah saudara-mara.
Katanya Jumaat lepas, MPAJ sekali lagi bertindak
merobohkan khemah-khemah yang dibina untuk
memastikan kawasan tersebut bersih tanpa sebarang
penduduk. Sebahagian kawasan tersebut juga sudah
dipagar dengan zink.
"Mereka roboh tanpa peduli barang dan perkakas rumah
kami. Petang itu juga hujan turun dengan lebat, kami
dirikan khemah sekali lagi kerana tidak tahu hendak
pergi mana lagi. Terpaksa berpanas dan berhujan di
bawah khemah tanpa bekalan elektrik dan air yang
sempurna," katanya kepada Bernama ketika ditemui di
khemah keluarganya.
Pesara tentera itu yang kini bekerja sebagai buruh
kasar tinggal di situ sejak tahun 1970-an lagi
bersama isteri dan tiga anak lelakinya berumur 22,
18 dan 14 tahun.
Apa yang menghairankan penduduk ialah kawasan
setinggan bersebelahan yang diduduki warga Indonesia
langsung tidak diusik pihak berkuasa tempatan
menyebabkan mereka merasa bagaikan pelarian di
negara sendiri.
"Apabila kami tanya pada mereka (MPAJ) kenapa tak
robohkan sebelah sana mereka hanya menjawab tidak
tahu, kami hanya menjalankan tugas. Kami rasakan
tiada keadilan ibarat kera di hutan disusukan, anak
di rumah mati kelaparan," katanya.
Khairuddin berkata tindakan merobohkan rumah itu
dibuat selepas rayuan penduduk ke Mahkamah Tinggi
Shah Alam pada 31 Julai lalu untuk berpindah selepas
rumah yang dijanjikan siap, ditolak.
"Mengikut perjanjian yang dibuat kerajaan pada 2005,
kami akan berpindah sebaik sahaja rumah kos rendah
yang sedang dibina di Sungai Sering, Ukay Perdana
dijangka siap sepenuhnya pada 2007.
"Kerajaan juga menjanjikan akan memberi pampasan
sebanyak RM400 sebulan sebagai sewa rumah tersebut
selama dua tahun dan RM500 untuk menyewa lori bagi
tujuan perpindahan.
"Masalahnya, rumah yang dibina sejak 2005 itu
sehingga kini masih belum siap, bukannya
terbengkalai tetapi pembinaan itu seolah-olah
dilambatkan menyebabkan hanya beberapa peratus
sahaja yang sudah siap," katanya.
Khairuddin berkata tanah tersebut merupakan milik
kerajaan tetapi pada tahun 2004-2005 tanah tersebut
diambil alih oleh pemaju untuk membangunkan kawasan
tersebut.
Beliau berharap agar kerajaan dan pihak tertentu
datang melihat sendiri masalah mereka dan berbincang
bagi memberi penjelasan dan penyelesaian kepada
masalah yang membelenggu penduduk.
"Sejak dirobohkan, tiada seorang pun pihak yang
bertanggungjawab datang menjenguk dan cari jalan
untuk kami. Bahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu
Klang Datuk Ahmad Bujang juga tidak pernah datang ke
sini dan tidak tahu ada kawasan setinggan di sini,"
katanya.
Beliau turut menggesa pihak MPAJ datang ke kawasan
setinggan itu dan mengadakan dialog bersama penduduk
kerana melanggar janji yang ditetapkan.
-- BERNAMA
|