|
HUKUM MURTAD: APAKAH RELEVAN DENGAN PRINSIP
KEBEBASAN BERAGAMA?
Abu Mishkat
Isu berkenaan hukuman ke atas orang murtad adalah antara isu-isu
yang dipolemikkan tanpa kesudahan sejak era pemodenan
pasca-kolonialisme dalam dunia umat Islam. Serangan pemikiran oleh
orientalis untuk menghilangkan keyakinan umat Islam terhadap
hukum-hakam agamanya sendiri nampaknya membuahkan hasil apabila
kembalinya ahli-ahli akademik, penulis, pemikir dan pemimpin negara
umat Islam yang menuntut di madrasah orientalisme sama ada di Barat
ataupun di negara mereka sendiri melalui bahan-bahan pembacaan yang
berunsur pemikiran Barat. Sebelum era tersebut, hukuman murtad tidak
pernah dipolemikkan dari aspek ke`sah'annya sebagai salah satu hukum
Islam untuk membendung jenayah ke atas agama.
Namun pada hari ini, telah muncul anak-anak umat Islam sendiri yang
maha berani mengatakan hukum murtad tiada dalam al-Quran, maka ia
bukanlah hukum Islam yang sebenar, seterusnya menuduh dan menfitnah
para ulama besar Islam sebagai merekacipta hadis-hadis berkenaan
hukum murtad demi kepentingan peribadi.
Nampaknya metodologi pengkajian orientalis terhadap Islam yang
bersifat kontang dan kering daripada ruh (semangat) ukhuwwah
Islamiah, berbaik sangka sesama saudara seagama, memohon keampunan
atas kesilapan mereka yang telah pergi, telah meresap dan mendarah
daging dalam tubuh anak-anak yang maha berani itu. Lalu, untuk
menegakkan hujah mereka yang mendakwa hukum murtad tiada dalam
Islam, mereka telah mengetepikan prinsip ukhuwwah Islamiah, berbaik
sangka dan mendoakan kebaikan untuk para ulama terdahulu yang
menjadi jambatan yang menghubungkan Islam bawaan Nabi s.a.w. dahulu
dengan generasi kita hari ini.
Maka para ulama terdahulu telah difitnah oleh cucu-cicit mereka
sendiri dengan sebegitu zalim. Sungguh besar kezaliman menfitnah
ulama yang telah pergi menghadap Allah s.w.t., maka tiada lagi
peluang untuk mereka menjawab fitnah dan membersihkan diri daripada
tohmahan.
Antara anak-anak umat Islam di Malaysia yang terlibat dengan jenayah
menfitnah ulama terdahulu, seperti mana yang diperkenalkan kepada
kita ialah kolumnis Mingguan Malaysia (Astora Jabat), yang menulis
`Imam Al-Auza'I reka hadis murtad' (Mingguan Malaysia, 21/3/99) dan
para pengikutnya yang antara lain memperkenalkan dirinya sebagai Ab.
Jalil Aboo Backer dari Universiti Malaya, yang pernah menulis satu
rencana bertajuk `Murtad hukum bunuh tiada dalam al-Quran' (Utusan
Malaysia, 4/9/99).
Hakikatnya, kelemahan para pengkaji Islam untuk mengesan rasional
hukum murtad dan pertentangan -yang dilihat secara zahirnya- dengan
prinsip kebebasan beragama, telah memesongkan mereka ke jalan
penyelesaian yang mudah, iaitu dengan menfitnah ulama yang memikul
amanah ilmu Islam (khususnya hadis) daripada Nabi s.a.w. kerana
menyangka ulama terdahulu seperti diri mereka, yang sangat mudah
terpesona dengan habuan dunia yang dijanjikan sebagai ganjaran atas
`pandangan agama' yang menepati cita rasa pihak pemerintah.
Tidak dapat dinafikan bahawa hukuman bunuh ke atas si murtad tidak
disebut secara jelas dalam al-Quran, tetapi jangan lupa bahawa
larangan membunuh si murtad juga tidak disebut langsung dalam kitab
Allah itu. Kesedaran terhadap hal ini amat perlu supaya kita tidak
mudah membuat keputusan mengatakan hadis-hadis murtad itu bercanggah
dengan ajaran al-Quran.
Di manakah percanggahannya jika hadis hanya menyebutkan sesuatu
hukum yang tidak disebutkan dan ianya tidak pula dilarang oleh
al-Quran. Bukankah peranan hadis itu sebagai pelengkap dan penghurai
kepada al-Quran? Dan jangan tidak tahu atau jahil bahawa hadis sahih
itu kadang-kadang berdiri sendiri sebagai sumber hukum Islam yang
tidak pernah disebutkan dalam al-Quran. Lihat tentang prinsip ini
dalam Dr. Muhd Ibrahim al-Hafnawi, Dirasat Usuliyyah fi al-Sunnah
al-Nabawiyyah, Dar al-Wafa, Kaherah, 1991, m.s. 29 - 41. Prinsip
yang disebutkan ini bukanlah hasil reka cipta ulama, bahkan
berdasarkan ayat-ayat al-Quran (iaitu jaminan Allah) itu sendiri
seperti Ali `Imran: 31 & 132, al-Nisa': 65 & 80, al-Nahl: 44,
al-Nur: 63, al-Ahzab: 36, al-Hujurat: 1, al-Najm: 3 & 4 dan
al-Hasyr: 7. (Para pembaca perlu merujuk sendiri al-Quran kerana
terjemahannya di sini akan mengambil ruang yang banyak).
Di dalam beberapa ayat al-Quran Allah s.w.t. mengecam
sekeras-kerasnya orang-orang yang murtad. Antaranya:
Ayat 217 Surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan sesiapa yang murtad di
kalangan kamu daripada agamanya, lalu ia mati dalam kekufuran itu,
maka terhapuslah segala pahala amalan mereka itu di dunia dan
akhirat, dan mereka itu adalah para penghuni neraka secara kekal di
dalamnya.
Ayat 137 Surah al-Nisa' bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang
beriman, kemudian kafir, kemudian beriman semula, kemudian kafir
lagi, serta bertambah-tambah lagi kekufuran mereka selepas itu,
Allah tidak akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan
jalan yang benar.
Ayat 21 Surah al-Maidah yang bermaksud: Dan janganlah kamu berpaling
tadah (murtad) ke belakang maka kamu akan rugi serugi-ruginya.
Ayat 54 Surah al-Maidah yang bermaksud: Sesiapa yang murtad di
kalangan kamu daripada agamanya maka sesungguhnya Allah akan
gantikan mereka itu dengan satu kaum yang benar-benar dikasihi Allah
dan mereka juga mengasihi-Nya…..
Ayat 25 Surah Muhammad bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang
murtad (berpaling tadah) ke belakang selepas ternyata hidayat kepada
mereka, sebenarnya syaitanlah yang telah menipu mereka…
Ayat-ayat di atas memang tidak menyebutkan sebarang hukuman dunia ke
atas orang murtad melainkan ancaman untuk ditukarkan dengan kaum
yang lain seperti dalam al-Maidah: 54 dan tidak akan menunjukkan
jalan yang benar seperti dalam al-Nisa': 137 itu. Namun hukuman
akhirat yang disebutkan amatlah keras dan dahsyat sekali sehingga
terhapus segala amal kebaikan yang pernah dilakukan sebelum murtad
dan akan kekal di dalam neraka.
Jika seorang ketua keluarga bertanggungjawab menjaga ahli
keluarganya daripada azab neraka seperti yang diperintahkan dalam
ayat 6 Surah al-Tahrim (…peliharalah diri dan ahli keluarga kamu
daripada neraka…), apakah seorang ketua negara atau kaum itu tidak
dipertanggungjawabkan untuk memelihara rakyatnya daripada azab
neraka kekal yang telah pasti bagi yang murtad?!
Hamba Allah yang berfikiran waras sudah tentu mengatakan memang
ketua atau pemimpin rakyat itu bertanggungjawab. Hadis Nabi s.a.w.
yang terkenal: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu
akan dipersoalkan akan pimpinannya.
Jika demikianlah keadaannya, apakah dipandang tidak wajar bagi
seseorang pemimpin itu mengamalkan hadis-hadis Nabi s.a.w. yang
sahih tentang hukuman ke atas si murtad bagi melaksanakan amanahnya
sebagai pemimpin umat, yang ada antaranya kadang-kadang sengaja
menjerumuskan dirinya ke lembah neraka yang kekal dengan melakukan
jenayah murtad. Pemimpin yang membiarkan rakyatnya mencampakkan diri
ke lembah neraka sudah pasti tidak terlepas daripada tanggungjawab
dan memang pasti dipersoalkan berdasarkan hadis di atas.
Untuk menyelamatkan diri dari azab Allah, para pemimpin wajib
membendung masalah murtad dengan jalan penyelesaian yang telah
ditunjukkan oleh Islam, iaitu memperkanunkan akta jenayah murtad.
Manakala hadis-hadis berkenaan hukum murtad adalah sahih pada
darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim dll).
Antaranya:
Daripada `Ikrimah bahawa orang-orang zindiq dibawa kepada Ali bin
Abi Talib lalu beliau hendak membakar zindiq itu, tetapi Ibn `Abbas
melarangnya kerana mendengar Nabi s.a.w. pernah melarang menyiksa
dengan api, lalu Ibn `Abbas menasihatinya supaya beramal dengan
sabda Nabi s.a.w.: Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka
bunuhlah dia. - (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini juga berasal dari Bahz bin Hakim dan `Aisyah mengikut
riwayat al-Tabrani.
Daripada Ibn Mas`ud dan `Aisyah, Nabi s.a.w. bersabda: Tidak halal
darah seseorang muslim selain daripada tiga sebab: berzina selepas
menjadi muhsan, membunuh orang lain tanpa hak dan mengasingkan diri
dari jemaah serta meninggalkan agama (murtad). - (Riwayat
al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dll)
Hadis ini juga berasal daripada `Uthman bin `Affan dalam riwayat
Imam al-Shafi`e, Ahmad, al-Turmuzi, Ibn Majah dan al-Hakim melalui
Abu Umamah bin Sahl.
Lihat tentang takhrij (mengeluar dan menganalisa) kedua-dua hadis
ini dan beberapa hadis lain yang membawa makna sama dalam Ibn Hajar
al-`Asqalani, Talkhis al-Habir (Kitab al-Riddah), al-Hafiz
al-Haythami, Majma` al-Zawaid (Bab Orang Yang Kafir Selepas Islam)
dan al-Hafiz al-Zayla`ie, Nasbu al-Rayah (Bab Ahkam al-Murtaddin).
Namun, apakah orang-orang seperti Astora Jabat dan Ab. Jalil Aboo
Backer itu bersetuju bahawa hadis-hadis murtad itu adalah sahih dan
sabit daripada Nabi s.a.w.? Inilah persoalannya. Mari kita bahaskan
pemikiran serong mereka satu persatu. Pihak-pihak lain yang juga
berfikiran seperti mereka pun boleh menyertai perbahasan ini. Biar
mereka sama-sama tumbang dengan sikap jahil sombong mereka di
hadapan hakikat kebenaran Islam yang tidak pernah berubah. Apakah
mereka menyangka mereka adalah penyelamat umat yang -konon- selama
ini tersasar kerana mengatakan hukum murtad itu sebagai hukum agama
mereka? Umat yang selama ini terdiri dari kalangan para Sahabat,
Tabi`in, Tabi' al-Tabi`in dan pengikut mereka sehingga akhir zaman
yang telah sepakat mengatakan hukuman ke atas si murtad yang telah
sabit salahnya dan tidak mahu bertaubat ialah bunuh. Apakah mereka
semua selama ini telah sesat, lalu muncul Astora, Ab. Jalil serta
beberapa konconya sebagai penyelamat?!
Astora mendakwa bahawa hadis murtad tidak wujud di zaman Nabi s.a.w.
dan Sahabat. Baginya, yang mentaqlid buta pemikiran sekularis Mesir
itu, hadis murtad hanya muncul setelah direka cipta oleh Imam
al-Awza`ie (88 - 157H = 707 - 774M) yang kononnya telah diperalatkan
oleh Khalifah Umawiyah, Hisyam bin Abdul Malik untuk menghalalkan
darah musuh politiknya. (Mingguan Malaysia, 14/3/99).
Apakah benar al-Awza`ie seorang ulama pengampu yang sebegitu mudah
diperalatkan seperti para pengampu hari ini? Astora menfitnah
al-Awza`ie yang sudah tentu tidak mampu menjawab kerana sedang
berada di alam barzakh hampir seribu tiga ratus tahun lalu. Tuduhan
dan fitnah Astora terhadap Imam al-Awza`ie itu tidak bersumberkan
selain daripada sebuah buku kecil (5"x 6", 106 muka surat) berwarna
merah (yang saya miliki) yang dijual di tepi-tepi jalan Kaherah
hasil tulisan seorang sekularis bernama Dr. Ahmad Subhi Mansour,
yang disifatkan Astora sebagai seorang `sarjana al-Azhar'. (Ini pun
hanyalah kenyataan berhelah Astora supaya para pembaca percaya Dr.
Mansour itu sebagai lulusan dan mendapat ijazah kedoktoran daripada
al-Azhar, lalu seolah-olah idea sekularisme yang menentang
penglibatan Islam dalam politik Mesir itu sebagai idea al-Azhar,
konon.)
Itu sahaja sumber Astora untuk menghebohkan kepada seluruh pembaca
di Malaysia bahawa kononnya Imam al-Awza`ie itulah yang mula-mula
mencipta hadis murtad. Sebenarnya Astora langsung tidak membuat
kajian untuk mengetahui hakikat kebenaran hadis-hadis murtad itu.
Sekali Astora ketemu buku kaki lima yang sesuai dengan cita rasanya,
terus dicedok isi buku itu bulat-bulat tanpa menapis sedikitpun.
Jadi kerjanya tidaklah susah, tidak perlu memerah otak, cuma
terjemahkan sahaja mana-mana perenggan buku picisan arab itu ke
Bahasa Melayu dan siarkan dalam Mingguan Malaysia.
Imam al-Awza`ie sebenarnya adalah seorang yang warak, zuhud dan amat
luas ilmunya. Beliau juga adalah seorang ulama yang sentiasa
mengambil berat tentang kebajikan rakyat di negerinya Syam.
Pembelaan demi pembelaan terhadap nasib rakyat dilakukan secara
berani dan berterus-terang di hadapan pemerintah. Antaranya, menulis
surat kepada sultan supaya peruntukan kewangan kepada rakyat yang
tinggal di persisiran pantai Syam ditambah kerana risiko yang
sentiasa dihadapi mereka, menegur tindakan gabenor menghalau semua
orang Kristian kerana kesilapan yang dilakukan sebahagian kecil
mereka dan pelbagai peristiwa lagi yang menggambarkan keberanian dan
ketegasan al-Awza`ie dalam memperjuangkan nasib golongan yang lemah
dengan amanah dan jujur, seperti mana disebutkan secara panjang
lebar (26 muka surat) oleh al-Imam al-Hafiz Ibn Abi Hatim al-Razi
dalam kitabnya al-Jurh wa al-Ta`dil.
Keperibadian mulia al-Awza`ie juga dapat diketahui melalui
kitab-kitab sejarah seperti al-Muntakhab, Wafayat al-`A'yan, Tarikh
Beirut, Hulyah al-Awliya', Tahzib al-Asma' wa al-Lughat dan Syazarat
al-Zahab seperti yang dikumpul oleh Prof. Khairuddin al-Zerekly
dalam al-A`lam nya.
Kenapa Astora tidak merujuk kepada ummahatul kutub (rujukan induk)
dalam sesuatu bidang?. Ataupun beliau sudah amat yakin dengan
maklumat yang diperolehi daripada sebuah buku picisan di tepi jalan,
lalu terus disajikan kepada pembaca tanpa memikirkan soal dosa
pahala membuat tohmahan palsu terhadap seorang ulama besar Islam.
Tohmahan itu pula bukannya mainan, bahkan amat berat iaitu tohmahan
al-Awza`ie berdusta atas nama Nabi s.a.w. Bagaimanakah sikap seorang
muslim bila mendengar sesuatu berita? Bukankah mesti tabayyun (usul
periksa) dahulu seperti anjuran ayat 6 Surah al-Hujurat itu, supaya
kita tidak menimpakan sesuatu ke atas seseorang secara jahil dan
zalim berdasarkan berita daripada si fasiq.
Ab. Jalil Aboo Backer pula mendakwa satu hadis murtad yang beliau
ketahui (mungkin yang lain beliau tidak tahu) ialah yang
diriwayatkan oleh `Ikrimah itu adalah hadis lemah (dha`if), lalu
mempersoalkan apakah nyawa manusia harus diambil dengan hanya satu
hadis yang lemah. Ab. Jalil yang nampaknya tidak memahami ulum
al-Hadis itu hanya bertaqlid dengan Dr. Muhammad Muslehuddin yang
menuduh `Ikrimah sebagai penipu (masya Allah), lalu takjublah Ab.
Jalil dengan pandangan Dr. Muslehuddin yang tidak bersandaran itu,
seterusnya mencadangkan pembaca membaca buku Dr. Muslehuddin yang
diterjemahkan itu seolah-olah itulah buku rujukan induk dalam bab
berkenaan.
Saya tidak dapat pastikan apakah Ab. Jalil boleh membezakan antara
autoriti dan kewibawaan Dr. Muslehuddin dengan para ulama agung
hadis seperti Imam al-Bukhari, Muslim, al-Turmuzi, Abu Dawud, Ibn
Majah, al-Shafi`e, Ahmad dan ramai lagi di kalangan para penulis
kitab takhrij hadis seperti yang telah disebutkan di atas. Siapalah
sangat Dr. Muslehuddin yang tidak pernah bertemu atau mengenali
`Ikrimah untuk bercakap tentang peribadi Sahabat atau Tabi`in itu
berbanding para ulama hadis yang telah mempastikan kebersihan latar
belakang seseorang sebelum meriwayatkan hadis daripadanya. Tetapi
hal yang sebegini jelas pun tidak akan dapat dimengerti dan dihadam
oleh orang yang tiada asas dalam ulum al-Hadis, seumpama orang yang
tiada asas dalam subjek biologi cuba untuk mengalahkan doktor dengan
hanya membaca majalah-majalah kesihatan. Padanya, dia sudah rasa
cukup tahu, tetapi pada ahlinya yang benar-benar tahu, akan dapat
mengesan kejahilannya dengan mudah.
Satu hujah celup lagi yang dibawa oleh Ab. Jalil ialah ayat 137
surah al-Nisa' tadi yang memberitahu balasan Allah kepada orang yang
murtad beberapa kali. Kononnya ayat itu sendiri menyatakan secara
tersirat bahawa orang murtad tidak dibunuh. Katanya, jika benar
hukum murtad ialah bunuh, bagaimana boleh berlaku murtad beberapa
kali dari orang yang sama, kerana pembunuhan ke atas si murtad itu
terus menghapuskannya dari muka bumi ini.
Inilah akibat bila tidak memahami ruh (semangat) hukum dalam Islam.
Apa yang dia nampak, setiap hukum itu adalah dera, maka sesiapa saja
yang dituduh murtad, terus dihukum bunuh. Murtad saja, bunuh, curi
saja, potong tangan, zina saja, rejam atau sebat, dan begitulah
fahaman mereka seterusnya terhadap setiap hukum Allah. Maka tidak
hairanlah jika mereka bangun menentangnya habis-habisan melebihi
penentangan daripada orang-orang bukan Islam. Agaknya mereka sangka
dalam Islam tiada proses perbicaraan yang adil, tiada perlukan bukti
yang cukup, yang tertuduh tiada memiliki hak 100% untuk mendatangkan
keraguan terhadap tuduhan.
Orang-orang sebegini perlu duduk dulu untuk mengaji dengan tuan-tuan
guru, jangan rasa sudah pandai bila membaca beberapa buku
terjemahan. Kalau tidak memahami B. Arab, maka kail itu baru
sejengkal, jangan cuba memancing di laut dalam. Siapkan dulu kail
yang panjang dengan menguasai bahasa al-Quran dan hadis. Barulah
berbaloi berbahas pasal hukum-hakam Islam.
Mari kita menyelami rasional mengapa hukum murtad perlu
diperkanunkan dan apakah wajar ia ditakuti. Rasional yang pertama
ialah kerana ia adalah hukum dan perintah Allah melalui hadis sahih
sabit daripada Nabi-nya s.a.w. Ianya diriwayatkan tidak kurang
daripada sepuluh orang Sahabat yang ada kemungkinan sampai ke darjat
hadis mutawatir. Arahan Nabi adalah sama taraf dengan arahan Allah
kerana Allah telah menjadikan ketaatan kepada Nabi itu sebagai
ketaatan kepada-Nya. Dengan erti kata lain, tidak taat kepada Nabi
samalah dengan tidak taat kepada Allah.
Maka arahan Allah yang pertama mesti dilaksanakan ialah dengan
membuka jalan ke arah itu, iaitu dengan memperkanunkannya sebagai
undang-undang negara. Ini perlu dilakukan supaya apabila ada
kesalahan yang disabitkan maka tiada lagi halangan dari segi
perundangan untuk melaksanakannya ke atas pesalah. Tetapi ini tidak
bermakna bila ada undang-undang maka semua orang yang tertuduh akan
dikenakan hukuman. Adakah semua orang yang tertuduh sebagai pengedar
dadah dihukum gantung oleh kerana ada akta dadah yang membawa
hukuman gantung?. Jawabnya tidak, hanya yang disabitkan salahnya
sahaja yang kena. Itu pun masih banyak lagi peluang untuk yang sabit
salahnya itu melepaskan diri dari hukuman keras itu.
Rasional kedua ialah hukuman murtad tidak bertentangan dengan
prinsip kebebasan beragama. Setiap orang bebas untuk memilih apa
sahaja anutan yang diingininya, dan setiap orang tidak harus
menyakiti agama dan penganut agama lain. Hal ini amat ditekankan
oleh Islam, umpamanya ada ayat al-Quran yang bermaksud:
"Janganlah kamu mencaci-cela orang-orang yang menyeru (menyembah)
selain Allah kerana mungkin mereka pula akan mencela Allah tanpa
mereka mengetahui." -
(al-An`am: 108)
Jika demikian penghormatan Islam kepada (penganut) agama lain yang
belum memahami Islam, maka amat wajarlah penganut agama lain
(termasuk si murtad) mematuhi prinsip ini. Seseorang itu boleh
keluar daripada Islam dengan syarat tidak menghina Islam dan
hukumannya hanyalah menjadi hak Allah di akhirat kelak. Tetapi
bukannya keluar dan bertindak menghebohkan kemurtadannya kepada
orang lain. (Termasuk dalam erti kata menghebohkan kepada orang lain
ialah mengisi borang tukar agama)
Apabila seseorang itu memberitahu orang lain bahawa dia telah keluar
daripada Islam, maka itu bererti dia telah menghina dan mencabar
Islam. Sedangkan kalau dia tidak memberitahu orang lain pun, dia
tetap terkeluar juga daripada Islam. Maka teruskanlah kehidupan
seperti itu dan pandai-pandailah dia menjaga diri sendiri supaya
tidak diketahui orang lain terutamanya pemerintah atau penguatkuasa
undang-undang Islam.
Tetapi, jika kemurtadannya itu diketahui, lalu dihadapkan ke
mahkamah dan disabitkan kesalahan, maka pemerintah juga mempunyai
tanggungjawab melaksanakan amanah. Ini berdasarkan sebuah hadis yang
bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan kejahatan, maka hendaklah dia berlindung
dengan lindungan Allah. Sesiapa yang terbocor rahsia kejahatan
(jenayah)nya, maka menjadi tanggungjawab kami melaksanakan hudud
(hukuman) Allah." - (Riwayat al-Tabrani)
Rasional ketiga hukuman murtad tidak perlu ditakuti ialah peluang
untuk mengelakkan diri daripada hukuman ini terlalu luas. Seseorang
yang dituduh murtad, lalu dihadapkan ke mahkamah, dengan hanya
menyatakan taubat dan kembali kepada Islam (walaupun dengan cara
berbohong) sahaja pun telah terselamat daripada hukuman bunuh.
Apabila seseorang itu melafazkan ucapan yang difahami bahawa dia
bertaubat, maka ucapan itu diterima di mahkamah sebagaimana zahirnya
dan mahkamah tidak ada kuasa untuk mengetahui perkara dalam hatinya.
Maka dengan cara yang sebegitu mudah (termasuk berbohong) pun,
seseorang tertuduh itu boleh melepaskan diri hukuman bunuh (tapi
tidak dari hukuman Allah).
Tetapi sekiranya dia benar-benar bertaubat dengan seikhlas hati,
maka itu adalah sebaik-baiknya kerana akan terlepas daripada hukuman
dunia (bunuh) dan juga hukuman Allah di akhirat yang lebih pedih.
Lihat tentang hal ini dengan lebih mendalam dalam Dr. Muhd Mursi
Ghanim, Jarimah al-Riddah fi al-Fiqh al-Islami, cetakan pertama,
Kaherah, 1995.
Kesimpulannya, hukuman bunuh ke atas si murtad yang telah sabit
salahnya dan enggan bertaubat adalah salah satu daripada hukum-hukum
Allah yang tidak berubah (Hudud) demi menjaga keharmonian hidup
beragama dan demi menjaga kehormatan Islam sebagai satu-satunya
agama yang bertanggungjawab membawa rahmat untuk sekalian alam tanpa
mengira bangsa, jenis, warna kulit atau agama sekalipun. Islam bukan
hanya agama untuk kebajikan orang Islam sahaja, bahkan untuk
kebajikan semua manusia sekiranya Islam itu difahami secara betul
dan sejahtera tanpa kecelaruan yang dibuat-buat puak orientalis dan
sekularis.
Wassalam `ala man ittaba`a al-huda.
|