|
Ezam sah letak jawatan sebagai
Ketua AMK
Sun | Oct 29, 06 | 03:33:58 PM
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh)
Mohamed Ezam Mohd Noor secara rasmi mengumumkan
peletakan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda
KeADILan (AMK) berkuatkuasa hari ini dalam satu
sidang media khasnya di Pejabat KeADILan di
Brickfield hari ini.
Pengumuman itu dibuat Ezam sendiri selepas
mempengerusikan mesyuarat exco AMK buat kali
terakhir sebelum secara rasmi mengundurkan diri dari
AMK.
Berikutan itu, AMK sebulat suara melantik Naib Ketua
AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin sebagai pemangku
Ketua Pemuda buat sementara waktu sebelum Kongres
AMK tahun 2007 yang dijadualkan sebagai kongres AMK
dan pemilihan exco baru.
Dalam sidang media yang sama Timbalan Ketua AMK,
Mohd Faizal Sanussi turut mengumumkan peletakan
jawatannya sebagai timbalan.
Mengulas mengenai sebab meletak jawatan tersebut,
Ezam yang akan mencapai umur 40 tahun pada tahun
2007 berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi
peluang kepada generasi muda untuk memimpin AMK.
Tumpu kepada Gerak
Menurutnya, beliau akan menumpukan sepenuh usaha dan
tenaganya untuk meningkatkan aktiviti Gerakan
Demokrasi dan Anti Demokrasi (Gerak) satu pertubuhan
anti penyelewengan yang ditubuhkan Ezam bersama
bekas Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham
Shaharim.
Selain itu peletakkan jawatan itu juga sebagai satu
proses awal peralihan kepimpinan yang lebih
bertenaga, muda dan memenuhi kehendak golongan muda
hari ini terutamanya melihat kepada senario
keruntuhan akhlak anak muda hari ini, katanya.
Keputusan itu juga dibuat selepas sebelum ini hasrat
untuk berundur dari AMK mendapat persetujuan dalam
Kongres AMK di Pulau Pinang baru-baru ini, katanya.
"Kebanyakan pemimpin sayap pemuda pertubuhan politik
hari ini masih mengekalkan kepimpinan yang bukan di
kalangan anak muda, sebaliknya mereka yang berusia
lebih 40 tahun.Bagi saya biarlah yang muda memimpin
kerana yang muda sahaja tahu citarasa golongan muda.
"Justeru sesuai dengan perkembangan terkini gerakan
reformasi saya mengundurkan diri bagi memberi
pemimpin yang lebih muda memimpin AMK dengan gaya
mereka sendiri," katanya kepada media.
Dalam sidang media tersebut, Ezam turut menolak
dakwaan bahawa peletakan jawatan itu berikutan
permasalahan dalaman AMK, sebaliknya menyatakan
beliau tetap bersama KeADILan dalam meneruskan
karier politiknya, katanya. |