|
Pemuda Umno Tetap Cadang Penggiliran Ketua
Menteri Pulau Pinang
PULAU PINANG, 9 Ogos (Bernama) -- Pergerakan Pemuda
Umno Pulau Pinang tetap akan mencadangkan usul
supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dipilih
secara bergilir antara parti-parti komponen Barisan
Nasional (BN).
Ketuanya, Salim Bari memberitahu Bernama di sini
Rabu, pergerakan pemuda negeri juga kesal dengan
kenyataan pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa
usul penggiliran ketua menteri itu sebagai berbau
perkauman.
Katanya isu perkauman tidak timbul kerana jawatan
itu bukanlah milik eksklusif mana-mana kaum tetapi
ia diberikan atas dasar dan persefahaman BN.
"Usul ini adalah suara dari akar umbi... ia bukan
usul perkauman kerana penggiliran jawatan ketua
menteri akan membolehkan semua parti komponen
berpeluang menjadi ketua menteri termasuk dari MCA
dan UMNO," kata beliau.
Katanya sesiapapun tidak sepatutnya mempersoalkan
kemampuan pemimpin UMNO untuk menjadi ketua menteri
kerana parti itu mempunyai majoriti seimbang dengan
parti komponen yang lain.
Salim berkata jika Gerakan mempunyai cara tersendiri
dalam memimpin negeri ini, MCA juga mempunyai
caranya tersendiri dan semua parti yang mempunyai
majoriti seimbang harus diberi peluang untuk
menerajui negeri ini secara bergilir.
Katanya pergerakan Pemuda Umno di seluruh negeri
akan mencadangkan usul penggiliran jawatan ketua
menteri itu dan usul itu akan dibincangkan di
peringkat negeri.
"Saya sendiri sebagai ketua pemuda negeri dan Ketua
Pemuda Umno Bahagian Bukit Bendera akan mencadangkan
usul ini dalam mesyuarat pemuda," kata beliau.
Beliau berkata cadangan usul itu bagaimanapun akan
diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dibincangkan
dan pemuda akan akur dengan sebarang pandangan pucuk
pimpinan sama ada usul itu akan dibawa ke
perhimpunan agung UMNO tidak lama lagi atau
sebaliknya.
"Usul ini adalah desakan pemuda sahaja dan kita
serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat
keputusan," kata beliau.
Semetara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Nibong
Tebal, Shafie Kasim ketika dihubungi pula berkata
pergerakan pemuda Umno bahagian itu telahpun
meluluskan usul penggiliran jawatan ketua menteri
pada mesyuarat pergerakan itu Ahad lepas.
"Kita adalah Pemuda Umno bahagian yang pertama
membawa usul itu dan saya percaya kesemua pemuda
bahagian akan membawa usul yang sama," kata beliau.
Katanya Pemuda Umno kesal dengan kenyataan seorang
pemimpin parti komponen BN yang menyifatkan isu itu
sebagai perkauman.
"Ini bukan soal perkauman, ini adalah permintaan
atas dasar persefahaman dalam BN, usul ini tidak
sepatutnya disalahtafsirkan kerana ia adalah
permintaan atas dasar semangat BN," kata beliau.
Beliau berkata jika ini dianggap perkauman, Pemuda
Umno juga boleh beranggapan permintaan parti itu
untuk terus mengekalkan jawatan ketua menteri
sebagai berbau perkauman juga.
Baru-baru ini, Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim
Keng Yaik membidas pihak-pihak tertentu yang
membangkitkan isu jawatan ketua menteri dan
menyifatkan isu itu berunsur perkauman.
-- BERNAMA |