Gerakan tetap mahu sistem matrikulasi dihapuskan
Ketua Biro Pendidikan Gerakan Pulau Pinang, Cheang
Chee Gooi berkata, parti itu tetap menyokong dasar
meritokrasi tetapi apa yang mereka mahukan ialah kaedah
pelaksanaannya.
“Gerakan tidak membantah dasar meritokrasi, tetapi
kami mahukan hanya satu sistem digunakan untuk kemasukan
pelajar ke universiti tempatan, bukannya dua seperti
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan
matrikulasi ketika ini,” katanya ketika menghubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan mengenai resolusi
persidangan perwakilan Gerakan Pulau Pinang itu yang
mahukan kriteria kemasukan pelajar di ganti hanya satu
sistem atas alasan mahu lebih banyak pelajar yang layak
diterima masuk.
Bagaimanapun resolusi itu dikritik dua pemimpin UMNO
bahagian di negeri ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit
Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua
UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibnihajar yang
berpendapat perkara itu tidak lagi perlu dibangkitkan
setelah meritokrasi diluluskan Dewan Tertinggi Barisan
Nasional (BN) sendiri.
Malah Musa turut membangkitkan mengenai ucapan
Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik ketika
merasmikan mesyuarat perwakilan Gerakan Pulau Pinang itu
yang menuduh ada parti lain membangkitkan isu perkauman
berhubung jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Sedangkan menurut Musa, pada masa yang sama jelas
menunjukkan Gerakan masih membawa isu perkauman dalam
soal pendidikan negara.
Mengulas lanjut, Chee Gooi berkata, pihaknya
mendapati menerusi dua sistem yang digunakan ketika ini,
ramai pelajar yang layak tidak terpilih memasuki
universiti tempatan. |