|
Kenyataan media GERAK 12 Julai 2006
Date: Mon 07/10/06 10:14 AM
Saham MAS dan pendedahan Tajuddin bukti sistem penguatkuasaan
yang gagal melindungi kepentingan rakyat.
5 tahun lalu, pada 27 Januari 2001 sekumpulan rakyat yang
perihatin dalam isu pembelian saham Malaysian Airline System
(MAS) oleh Kementerian Kewangan Malaysia daripada Naluri Berhad
telah membuat laporan polis di Balai Polis KLIA.
Laporan polis tersebut mencipta sejarahnya sendiri apabila
jumlah pelapor yang membuat laporan pada ketika itu ialah
seramai 1336 orang. Jumlah pelapor yang terbesar pernah
disaksikan dalam mana - mana laporan polis di negara ini. Antara
pelapor tersebut termasuklah barisan pimpinan pemuda Parti
keADILan, PAS dan DAP, pertubuhan bukan kerajaan dan individu
yang melapor sebagai rakyat Malaysia.
Kira kira sebulan selepas itu, pada 2 Mac 2001, saya sendiri
dipanggil ke Ibu pejabat Polis Kontijen Selangor berhubung
laporan tersebut.
Saya diminta memberi keterangan kepada Polis atas alasan untuk
memulakan siasatan. Saya telah memberi kerjaama penuh pada pihak
polis pada ketika itu dan meminta jaminan keterangan mesti
diambil terhadap penama yang terbabit di dalam laporan tersebut
iaitu Tan Sri Tajuddin Ramli, (Tun) Dato Seri Dr Mahathir
Mohamad dan Tun Daim Dzainudin.
Malangnya siasatan tidak dilakukan.Tiada satupun keterangan
diambil daripada mereka yang terlibat dan saya pula ditahan di
bawah ISA sebulan selepas itu.
5 tahun selepas itu iaitu beberapa hari lalu kita dikejutkan
dengan pendedahan Tajuddin, Dan hari ini Malaysia riuh dengan
perdebatan dan bualan tentang pendedahan tersebut yang jelas
merupakan satu bentuk penyelewangan yang membabitkan wang rakyat
dalam jumlah yang amat besar dan membabitkan tokoh pimpinan
negara yang pernah dilaporkan pada polis 5 tahun lalu.
Episod ini hanya baru bermula dan akan mengundang bermacam
persoalan tentang jumlah wang, individu terbabit dan sebagainya.
Negara akan didedahkan dengan berbagai pendedahan di mahkamah
dan media.
Perkara yang perlu kita tumpukan juga adalah bagaimana lemahnya
sistem penguatkuasaan kita khususnya Polis dan Jabatan Peguam
Negara dalam melindungi kepentingan rakyat.
Pendedahan Tajuddin ini membuktikan bahawa laporan polis yang
dibuat oleh lebih seribu rakyat 5 tahun yang lalu ada asasnya.
Sekiranya tindakan dan siasatan dilakukan terhadap laporan polis
tersebut kebenaran dan kepentingan rakyat akan dapat dibela jauh
lebih awal.
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) mengajak setiap
elemen reformasi dalam masyarakat dan kerajaan untuk mengambil
iktibar daripada episod ini untuk suatu usaha yang konkrit
dibuat memperbetulkan kepincangan penguatkuasaan dalam Negara
yang jelas berlaku didalam episode saham MAS ini.
GERAK juga mendesak agar satu penjelasan dibuat oleh pihak Polis
di Raja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara. Mengapa laporan
polis yang dibuat dalam kes yang membabtkan ribuan juta ringgit
wang rakyat tidak pernah disiasat dan dilakukan tindakan
terhadapnya sebelum ini ?
GERAK komited dan mengajak rakyat untuk menangani episod
pendedahan penyelewangan ini bukan sahaja dari sudut kes ini
sahaja tetapi merangkumi tuntutan untuk dilakukan reformasi dan
perubahan dalam sistem negara ini agar akhirnya sistem itu benar
- benar adil dan mampu memelihara kepentingan rakyat terbanyak.
Mohamad Ezam Mohd Nor
Pengerusi
GERAKAN DEMOKRASI DAN ANTI KORUPSI (GERAK)
B-1012 Level 10, Block B, Kelana Square, Jalan SS 7/26, Kelana
Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor Malaysia
Tel: +603 7804 9632 / Fax: +603 78039432 E-mail: gerakmalaysia@gmail.com
WEB http://gerakmalaysia.org
|