BALIK KE MUKA UTAMA


KENYATAAN AKHBAR

GERAK KESAL NAZRI TOLAK SIASAT INSTITUSI KEHAKIMAN

GERAK menyatakan rasa kesal di atas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Nazri Tan Sri Abdul Aziz yang menolak sebarang siasatan lanjut terhadap dakwaan Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Dato? Syed Ahmad Aidid tentang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa didalam institusi kehakiman negara.

Alasan beliau menolak sebarang tindakan lanjut kerana ianya berbentuk surat layang dan tidak mempunyai fakta khusus tidak boleh diterima sama sekali kerana Dato? Syed Ahmad Aidid telah menyatakan kesediaan bertanggungjawab terhadap isi surat tersebut.

Kedudukan beliau yang pernah menjadi hakim kanan di negara ini seharusnya memberi alasan yang cukup kepada pemerintah negara untuk terus menyiasat sekiranya kita benar - benar serius dalam usaha kita memerangi rasuah di negara ini.

Baru - baru ini akhbar utama negara khususnya News Straits Times (NST) juga menampilkan pandangan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail, yang secara jelas membayangkan kewujudan salah guna kuasa dan rasuah dalam institusi kehakiman negara. Kenyataan mereka seharusnya tidak dipandang sepi oleh seorang menteri seperti Nazri yang menjadi sebahagian anggota kabinet sebuah pemerintahan yang meletakkan agenda memerangi rasuah sebagai agenda utama.

Institusi kehakiman sebagai institusi utama negara mesti bersih dari sebarang tanggapan rasuah dan salah guna kuasa kerana ianya membabitkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara dan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

Ini pasti menghakiskan lagi keyakinan pelabur terhadap negara ini yang sememang sedia buruk kerana perbalahan bekas Perdana Menteri dengan penggantinya akhir ? akhir ini

Justeru pemerintah hari ini harus mengambil sikap tegas dan berani serta membuktikan ketelusan dengan menyiasat sebarang dakwaan rasuah apatah lagi yang membabitkan institusi kehakiman negara.

Ianya akan memberi kesan positif yg amat besar kepada negara sekiranya pemerintah membenarkan siasatan dilakukan oleh sebuah badan yang bebas terdiri dari tokoh - tokoh yang dihormati dalam dan luar negara.

Demi kelangsungan negara ini, GERAK mengambil sikap yang amat serius dalam soal ini dan akan melakukan tindakan susulan dalam bentuk yang pelbagai sekiranya pemerintahan hari ini terus mengambil sikap membisu dalam perkara sepenting ini.


MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Pengerusi

GERAKAN DEMOKRASI DAN ANTI KORUPSI (GERAK), B-1012 Level 10, Block B, Kelana Square, Jalan SS 7/26, Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel: +603 7804 9632 / Fax: +603 78039432
website : www.gerakmalaysia.org E-mail: gerakmalaysia@gmail.com

 

  

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762