|
LAWATI LAMAN WEB WWW.PROWARIS.ORG DAN DAFTARLAH
DENGAN PROWARIS@YAHOOGROUPS.COM
UTUSAN MALAYSIA : PROWARIS USUL WUJUD TABUNG PERTAHANAN AWAM
NEGARA-NEGARA ISLAM
UTUSAN MALAYSIA, KUALA LUMPUR 1 September -Generasi Profesional
dan Pewaris Bangsa (PROWARIS) mencadangkan agar diwujudkan
Tabung Bantuan Pertahanan Awam Negara-negara Islam (INCDF)
sebagai langkah mengelak kebergantungan dana dari kuasa-kuasa
barat.
Menurut Presidennya, Feriz Omar, INCDF diusulkan kerana ia
dilihat sebagai alternatif membebaskan Negara-negara Islam dari
terus mengharap bantuan yang disalurkan barat termasuk badan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lambat bertindak.
Katanya, kebanyakan dana yang disalurkan kepada negara-negara
Islam khususnya negara Islam yang terlibat dalam peperangan dan
bencana alam terlalu lewat diagihkan sehingga tiada apa lagi
yang boleh diselamatkan.
Padahal, jelasnya, kita sebenarnya mampu bersiap lebih awal
untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan tersebut.
''Jadi adalah lebih baik sekiranya kita menubuhkan satu unit
seperti INCDF yang diselia oleh sebuah Jawatankuasa Khas di
bawah OIC untuk mengatasi permasaalahan ini.'' katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, cadangan meletakkan INCDF di bawah penyeliaan
jawatankuasa Khas OIC ialah bagi mengelakkan tidak berlaku
penyalahgunaan dana untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
Jelasnya, ini kerana dana tersebut akan digunakan untuk
kepentingan dan melindungi setiap negara Islam daripada
kemusnahan alam seperti gempa bumi, kejadian tsunami, letupan
gunung berapi, banjir, tanah runtuh, taufan dan peperangan.
Dalam pada itu, Feriz telah berjumpa dan menghantar memorandum
cadangan penubuhan INCDF kepada Perdana Menteri Malaysia (PM)
yang juga merangkap Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC),
Datuk Seri Abdullah Badawi untuk dipertimbangkan.
''Saya telah kemukakan cadangan INCDF kepada PM dan hasilnya
beliau secara tidak formal menyatakan persetujuannya selagi ia
tidak berbentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat
perhubungan antarabangsa.
''Jadi, saya rasa ini peluang bagi kita memerdekakan seluruh
Negara Islam bersesuaian dengan slogan Prowaris sempena Sambutan
Kemerdekaan ke-49 Negara tahun ini, "Islam Perlu Merdeka Tanpa
Bantuan Barat dan PBB" ,'' ujarnya.
Beliau juga berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan
dengan, sebuah penyedia rangkaian telekomunikasi tempatan dan
bagi membolehkan saluran dana INCDF dilakukan menggunakan kaedah
yang paling mudah seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).
''Kami memutuskan agar dana dapat disalurkan penderma dengan
cara yang efisien bersesuaian dengan teknologi masa kini.
''Sebab itu kami memilih perkhidmatan telekomunikasi yang
kelihatan lebih praktikal dan tidak menyusahkan mereka,''
katanya.
Di samping itu Prowaris juga bersetuju akan mengadakan
perbincangan dengan Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman
Malaysia) untuk penubuhan INCDF tersebut.
Namun demikian menurut Feriz, apa yang menarik mengenai INCDF
ialah setiap sumbangan yang diperolehi akan ditukarkan
menggunakan Dinar Emas.
Katanya, rasional penggunaan mata wang tersebut ialah
kedudukannya yang sentiasa stabil berbanding penggunaan mata
wang asing lain yang boleh dimanipulasi.
''Jadi ini sekali gus dapat mengukuhkan kedudukan Dinar Emas
yang diperkenalkan Malaysia di samping turut mengelak
menggunakan mata wang dollar Amerika yang sentiasa turun naik,''
jelasnya.
LAWATI LAMAN WEB WWW.PROWARIS.ORG DAN DAFTARLAH DENGAN PROWARIS@YAHOOGROUPS.COM
|