|
Pada 29 Oktober 2006, lebih kurang pukul 11.45 pagi,
seorang teman memaklumkan kepada saya bahawa Ketua
Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia Sdr Mahamed
Ezam Bin Mohd Nor akan mengadakan satu sidang akhbar
untuk mengumumkan perletakkan jawatan beliau sebagai
Ketua AMK Malaysia dan akan mengumumkan kabinet baru.
Perletakkan jawatan beliau bukanlah satu perkara
yang mengejutkan kerana sebelum ini telah pun
diumumkan dalam Kongres AMK dan disiarkan di dada
akhbar tetapi ia tetap menjadi perkara yang agak
sukar untuk diterima.
Kali terakhir saya berkesempatan untuk bersua muka
dan berbicara dengan beliau ketika himpunan aman
menentang kezaliman ISA di dataran Masjid Negara
pada 15 Oktober 2006 yang lalu. Sebelum bersurai,
saya sempat ‘memujuk’ sdr Ezam agar tidak melepaskan
jawatannya ketika ini dan seboleh-bolehnya biarlah
sehingga selesai pilihanraya Umum yang ke 12 nanti.
Sdr Ezam memberitahu saya alasan beliau melepaskan
jawatan ini dan meyakinkan saya bahawa pengganti
beliau dan barisan AMK yang sedia ada mampu untuk
meneruskan agenda yang telah diperjuangkan sejak
sekian lama. Ketika itu saya dapat merasakan bahawa
saat dan ketika untuk sdr Ezam ‘pergi’ semakin
hampir.
Mungkin saya tidak mengenali sdr Ezam secara
mendalam, saya lebih melihat beliau dari jauh dan
mendengar cerita-cerita daripada teman-teman AMK
namun saya tetap menganggap beliau adalah salah
seorang pejuang yang gigih dalam menggerakkan agenda
perjuangan khususnya sejak berlakunya reformasi di
Malaysia.
Kali pertama saya dapat bertemu dan berbicara dengan
sdr Ezam adalah ketika program Konvensyen Pemuda BA
Johor kali pertama yang telah diadakan pada 2 April
2006. Memang sudah lama saya ‘kepingin’ untuk
berbual dengan beliau tetapi belum pernah sebelum
ini saya dapat bertemu dengan beliau. Maklumlah,
saya pemimpin kerdil dan berada di dalam parti yang
berbeza. Mujurlah teman rapat saya telah
‘memperkenalkan’ saya dengan sdr Ezam.
Saya tidak boleh lupa apabila beliau ada bertanya
kepada saya, mengapa sebelum ini beliau tidak pernah
menemui saya. Pertanyaan tersebut bukanlah satu
kejutan kerana sememangnya sebelum ini saya lebih
berminat untuk berkerja di sebalik tabir dan
menguruskan parti di peringkat pentadbiran. Kalau
ada program luaran pun, saya lebih serasi untuk
mengendalikan program-program PASTI. Saya bukanlah
‘figure’ yang menonjol dalam lapangan politik. Maka
tidak peliklah kalau saya tidak dikenali.
Selepas itu saya sempat bertemu dengan beliau dan
saya boleh simpulkan bahawa beliau mudah mesra
dengan sesiapa sahaja yang bertemu dengan beliau.
Pemerhatian saya dari jauh, daripada pelbagai
sumber, saya mengkagumi semangat juang beliau di
dalam perjuangan ini khususnya apabila ia melibatkan
soal rasuah. Semasa menyampaikan ucapan penutup di
dalam konvensyen Pemuda BA Johor, beliau menyatakan
bahawa rasuah yang berlegar di dalam negara kita
semakin membarah. Kerana itu, beliau menubuhkan
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) untuk
memberikan tumpuan terhadap memulihkan dan
membersihkan Negara daripadanya.
Kegigihan beliau memperjuangkan agenda reformasi
menyaksikan beliau telah ditahan dibawah ISA dan
OSA, beberapa kali dilokap dan pelbagai cabaran
serta ujian seperti juga yang dilalui oleh pejuang
yang lain.
Pelbagai cerita indah dan duka telah beliau lalui
dalam perjuangan ini khususnya dalam mengemudi
gerakan reformasi dan AMK, semuanya kini telah pun
menjadi catatan sejarah dan yang pastinya beliau
meninggalkan jawatan sebagai ketua AMK Malaysia
dengan secara terhormat walaupun sebelum ini beliau
pernah dikaitkan untuk menyertai semula UMNO.
Mudah-mudahan apa yang telah dilakukan selama ini
akan mendapat ganjaran daripadaNya. Saya yakin
bahawa beliau akan terus komited dalam agenda
perjuangan ini walapun bukan lagi sebagai ketua AMK
Malaysia.
Kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat
‘bertugas’ Sdr Shamsul Iskandar Md Akin yang telah
diberi mandat baru sebagai pemangku Ketua AMK
Malaysia. Semoga beliau dapat terus memacu
perjuangan dan bergerak bersama Dewan Pemuda PAS di
semua peringkat untuk menegakkan keadilan.
Sekian, wassalam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
31 Oktober 2006, 9.35 pagi.
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/
|