|
KOTA BHARU, 12 Julai (Hrkh)
- Tun Dr Mahathir Mohamad tetap akan ke
Kelantan pada 28 Julai ini, biar pun Majlis
Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak)
membatalkan cadangan mengadakan dialog
dengan bekas perdana menteri itu.
Sebaliknya pihak lain iaitu
kumpulan veteran Umno difahamkan bersedia
meneruskan program tersebut yang dijangka
diadakan di Hotel Perdana pada jam 3 petang.
Jurucakapnya ketika dihubungi mengesahkan
perkara itu.
Dr Mahathir dijangka tiba
di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,
Pengkalan Chepa jam 11 pagi.
Ahli Mubarak, Dato' Ahmad
Rusli Ibrahim berkata, biar pun Mubarak
membatalkan rancangan awal mengadakan dialog
dengan bekas perdana menteri, namun Tun Dr
Mahathir tetap akan datang ke sini.
"Adalah tidak berbangkit
sama sekali kedatangan Tun Dr Mahathir
dibatalkan kerana sudah ada pihak lain yang
mengambil aih bagi meneruskan program yang
dirancang sebelum ini.
"Lagi pun pada sebelah
malam Tun akan hadir pada majlis 'Malam
Perjuangan Belum Selesai' di Hotel Grand
Riverview yang terbuka kepada orang ramai.
Program itu dianjurkan Majlis Tindakan
Rakyat Kelantan (MTRK)," katanya ketika
dihubungi di sini.
Sebelum ini, Naib
Pengerusi Mubarak Cawangan Kelantan, Dato'
Mohd Rozali Isohak dilaporkan berkata,
Mubarak peringkat negeri tidak dibenar
menganjurkan apa-apa program majlis
penerangan bagi memberi platform kepada Dr
Mahathir.
Sedangkan sebelum itu,
Mubarak membuat kenyataan tetap menganjurkan
program bersama Dr Mahathir, biar pun
tindakan itu difahamkan tidak disenangi
Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato'
Seri Annuar Musa.
Ahmad Rusli yang juga
Setiausaha Agung MTRK berkata, Dr Mahathir
akan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai
program berkenaan.
Oleh itu beliau mempelawa
pelbagai lapisan masyarakat termasuk
pegawai-pegawai kerajaan hadir pada program
tersebut bagi mendapat penjelasan sebenar
mengenai konflik yang berlaku di antara Dr
Mahathir dan Perdana Menteri sekarang.
Dalam perkembangan
berkaitan, Mubarak Cawangan Kelantan
difahamkan dipengerusikan Dato' Ahmad
Shahibuddin Mohd Noor. Ia hanya dianggotai
bekas-bekas wakil rakyat Barisan Nasional.
Bagaimanapun badan itu
dikatakan mempunyai hubungan dingin dengan
Annuar, sebaliknya lebih rapat dengan
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri,
Dato' Dr Awang Adek Hussin. |