BALIK KE MUKA UTAMA

PM Sifatkan Amat Berat Dakwaan Rasuah Pemilihan Umno Kubang Pasu


 


Daripada Abdul Muin Abdul Majid

HELSINKI, 12 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan sebagai "amat berat" dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa berlaku rasuah dalam pertandingan untuk menjadi anggota perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno, Sabtu lepas.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno itu bagaimanapun berkata parti mempunyai mekanisme untuk mengambil tindakan berhubung perkara seperti itu.

Abdullah berkata bahagian berkenaan mungkin akan ditanya selain perlu mengemukakan laporan kepada pucuk pimpinan mengenai perjalanan pertandingan yang menyaksikan Dr Mahathir gagal dalam usahanya menjadi seorang daripada tujuh orang perwakilan ke perhimpunan agung di Kuala Lumpur November ini.

"(Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah) Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Datuk Mohamed Johari Baharom lebih tahu (tentang soal ini). Saya serahkan kepada mereka," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan kehadirannya pada Mesyuarat Asia-Eropah Keenam yang berakhir di sini Isnin.

Antara lain, Dr Mahathir mendakwa perwakilan diberikan sampul surat mengandungi senarai wakil yang patut dipilih bersama sejumlah wang.

Bercakap di Putrajaya pada Isnin, Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno berkata beliau menerima kekalahannya tetapi menyatakan beliau kalah kerana orang mengamalkan rasuah untuk menang pemilihan terbabit.

Dalam pada itu, Abdullah menarik perhatian bahawa beliau sebelum ini ada berpesan kepada Mahdzir dan Johari supaya tidak membawa orang luar bagi mencampuri urusan Umno Kubang Pasu.

"Apa yang saya kata, yang saya ingat dalam ingatan saya, jangan bawa orang luar masuk untuk ganggu anggota Umno atau Bahagian Umno Kubang Pasu.

"Itu yang saya kata pada mereka. Saya beritahu Mahdzir dan Johari jangan bawa orang lain masuk, bahagian lain tak usahlah. Ini cerita Kubang Pasu, biarlah Kubang Pasu buat keputusan," katanya.

-- BERNAMA

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762