BALIK KE MUKA UTAMA

 


Tiada Penggiliran Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Kata Abdullah

KUANTAN, 11 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata jawatan Ketua Mente Pulau Pinang tidak akan digilirkan.

"Pada dasarnya, sekarang ini tiada perubahan yang difikirkan mengenai perkara itu," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat di Kampung Pak Mahat, Kempadang, dekat sini, hari Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal Ahad lepas yang mencadangkan penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari Khamis mengingatkan Pemuda Umno agar berhati-hati dan mengkaji secara mendalam mengenai tuntutan berkenaan.

Koh, yang juga Timbalan Presiden Gerakan, berkata soal penggiliran itu tidak seharusnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak ketika ini.

Bercakap mengenai isu yang sama di Besut hari ini, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta Koh meneliti dengan mendalam punca sebenar yang mendorong Pemuda Umno Nibong Tebal menimbulkan isu penggiliran itu.

Katanya ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan antara kepimpinan negeri itu dan pergerakan Pemuda Umno menyebabkan isu itu dijadikan usul oleh Pemuda Umno bahagian itu.

"Usul ini tak payah diteliti panjang lebar kerana ia merupakan perkara yang telahpun diwarisi selama ini. Tetapi oleh kerana ia dibangkitkan oleh Bahagian Pemuda yang sedang bermesyuarat pada masa ini, maka mereka kena tanya diri sendiri juga di mana kelemahan kepimpinan negeri dalam konteks hubungan dengan Pemuda Pulau Pinang," katanya

Hishammuddin, yang ditemui pemberita selepas merasmikan serentak persidangan perwakilan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Besut, berkata beliau akan pergi ke Pulau Pinang untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara berkenaan.

Hishammudin berkata beliau sendiri tidak tahu apa punca usul itu dibuat dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca rasa tidak puas hati mengenai nasib dan kepentingan orang Melayu di negeri itu.

Koh, yang kebetulan berada di Kuala Terengganu untuk menghadiri perasmian Persidangan Parti Gerakan Terengganu di Kuala Terengganu pula berkata, beliau sedia berbincang isu itu dengan Hishammuddin.

Beliau menafikan isu itu timbul kerana rasa tidak puas hati mengenai nasib orang Melayu di negeri itu.

Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, yang turut hadir, pula mengingatkan pihak tertentu agar tidak bermain dengan isu-isu yang boleh mencetuskan api perkauman.

"Ada orang mempunyai niat lain atau dalam kata lain, ada udang sebalik batu. Apa yang kita boleh buat ialah alihkan batu tersebut dan makan semua udang itu," katanya.

-- BERNAMA
 

 


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762