|
KENYATAAN EXCO ANGKATAN MUDA MALAYSIA
28 JANUARI 2007
PERTINGKAT MUTU PERKHIDMATAN AWAM SEBELUM LAKSANA
CAJ KENDERAAN MEMASUKI PUSAT BANDARAYA.
Angkatan Muda keADILan Malaysia (AMK) dengan ini
menolak sebarang usaha mengenakan caj terhadap
kenderaan memasuki pusat bandaraya selagi mana mutu
perkhidmatan awam di Kuala Lumpur masih gagal
berada pada tahap yang boleh dibanggakan.
Beberapa akhbar telah melaporkan cadangan Menteri
Wilayah Persekutuan (WP), Dato' Zulhasnan
Rafique sebagai langkah untuk mengurangkan kesesakan
lalu lintas di ibu negara.
AMK menyokong sebarang usaha ke arah mengurangkan
kesesakan di ibukota tetapi usaha tersebut
hendaklah tidak memberikan kesan negatif dan
menambahkan sengsara rakyat terbanyak.
Apa cadangan sekalipun, mestilah prihatin dan
fokuskan masalah kos kehidupan rakyat terlebih
dahulu yang sudah terhimpit dengan tol dan kenaikan
harga minyak.
Kesesakan lalu lintas atau 'traffic jam' adalah
disebabkan perancangan bandar, jalan dan
projek pembangunan yang tidak tersusun dan betul
yang dibuat oleh kerajaan selama ini tanpa
memikirkan masalah-masalah jangka masa hadapan.
Kerosakan dan kelemahan infrastruktur dan
projek adalah kesilapan kerajaan, mengapa rakyat
juga harus menanggung bebannya ?
Bayangkan jika seorang ibu yang bekerja terpaksa
menggunakan pengangkutan awam menghantar anak
kecil ke pusat asuhan sebelum ke tempat kerja. Sudah
tentu perkara tersebut amat sukar dilakukan
dan hampir mustahil jika ibu itu menggunakan
kenderaan awam ataupun berkongsi kenderaan.
Caj tersebut juga nampaknya hanya dikenakan kepada
golongan yang pertengahan ke bawah yang sudah
sedia terhimpit, kerana bagi golongan mewah ataupun
VIP sudah pasti terlepas kerana mereka tidak
berada keseorangan dalam kenderaan kerana mereka
mempunyai pemandu.
AMK mendesak Menteri Wilayah membatalkan atau
sekurang kurangnya menangguhkan pelaksanaan
mengenakan caj bagi kenderaan dinaiki seorang
sebelum masuk ke pusat bandaraya.
AMK juga mendesak agar perhatian harus diberikan
khusus terhadap usaha mempertingkatkan
pengangkutan awam. AMK turut mempersoalkan janji
kerajaan untuk meningkat dan memperbaiki
pengangkutan awam setelah mendapat keuntungan lebih
RM4 bilion daripada kenaikan harga minyak tahun lalu.
Kini setelah setahun lebih keadaan masih sama malah
kadang kala makin buruk.
KE ARAH MEMPERKASAKAN KEDAULATAN RAKYAT
ZARERAH HANIM MD ZAKI
Exco Angkatan Muda keADILan Malaysia
|