|
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI
JOHOR
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200 Simpang Renggam,
Johor Darul Ta’zim.
Tel / Faks : 07-7554693 e-mail : dppjohor@yahoo.com
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(44/06)
Kenyataan Media
(14 Julai 2006)
TAJUK : KUMPULAN ARTIKEL 11 CUBA MENCABAR UMAT ISLAM DI JOHOR
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mempertegaskan
bahawa sebarang usaha untuk mengadakan program yang bertujuan
menghina Islam dan menghina undang-undang syariah secara
langsung atau tidak langsung perlu dihentikan khususnya di
negeri Johor kerana ia bakal mengundang perbalahan dan
pertikaian sehingga memungkinkan perkara-perkara yang tidak
diingin akan terjadi.
DPPNJ membuat kenyataan ini di atas sikap untuk memastikan
bahawa agama Islam tidak diperlekehkan. DPPNJ telah mendapat
maklumat bahawa terdapat usaha-usaha yang sedang disusun oleh
Kumpulan Artikel 11 iaitu kumpulan yang mengandungi 13 Badan
Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengadakan program yang pernah
diadakan di Pulau Pinang pada 14 Mei 2006 yang lalu. Program ini
telah mendapat bantahan secara besar-besaran di hadapan Hotel
Cititel, Penang Road oleh Badan Anti Suruhanjaya Antara Agama –
IFC (BADAI).
DPPNJ dimaklumkan bahawa program ini akan diadakan di sebuah
hotel terkemuka di Bandaraya Johor Bahru pada 22 Julai 2006 yang
akan datang. Kehadiran Kumpulan Artikel 11 ini ke Johor
membuktikan bahawa golongan ini langsung tidak mengambil kira
sensitiviti umat Islam.
Bagi menangani perkara ini, DPPNJ akan cuba menggunakan setiap
saluran diplomasi yang ada untuk memastikan program ini terbatal.
DPPNJ juga akan berusaha untuk membuat bantahan secara rasmi dan
mendesak agar Jabatan Agama Johor serta Dato’ Nooh Bin Gadut
selaku Mufti Negeri Johor menyatakan pendirian mereka dan
seterusnya menghalang kumpulan Artikel 11 daripada meneruskan
agenda mereka.
DPPNJ juga mendesak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Negeri Johor
mengambil tindakan sewajarnya terhadap program ini. Terbukti
bahawa ketika program ini diadakan di Pulau Pinang, tiada permit
dikeluarkan oleh PDRM.
DPPNJ bimbang sekiranya usaha secara diplomasi gagal untuk
dicapai, umat Islam yang selama ini sangat bertolak ansur akan
hilang pertimbangan sehingga menimbulkan perkara yang tidak
diingini.
Sekian, wassalam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/
11.58 malam
|