|
Burung Balam petikan
dari
http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Budaya ‘Burung Balam’ di dalam UMNO semakin hari
semakin menebal. Apa yang dikata pemimpin mereka
terus mengangguk walaupun apa yang dikatakan itu
tidak munasabah. Ke hulu kata ketua ke hulu mereka
pergi. Yang penting apa ketua kata itu benar…jangan
disanggah. Ahli-ahli dianggap seperti kerbau, guna
mereka untuk bekerja siang dan malam. Apabila UMNO
kuat mereka bermaharajalela dan menggunakan kuasa
bagi mengumpul harta macam ‘Qarun’ di zaman jahiliah
dahulu. Mereka tahu ahli-ahli akan ikut apa kata
ketua. Kami di bawah dilakukan seperti kerbau,
membajak sawah yang luas. Apabila waktu menuai tiba,
tikus di kepuk padi yang kenyang.
Saya teringat waktu saya kecil dahulu, saya
ditugaskan oleh ibu saya untuk menjaga seekor kerbau.
Setiap petang saya menarik kerbau tersebut dari
sawah padi ke kawasan pondok yang saya sekeluarga
tinggal. Dalam saya mengendalikan kerbau itu saya
dapat satu pelajaran tentang sifat haiwan ini. Saya
ingin berkongsi pengalaman dan pelajaran yang saya
dapat dari sifat kerbau ini.
Setiap kali saya menarik kerbau ini, saya tidak ada
apa-apa masalah. Haiwan ini akan ikut sahaja malahan
tali yang di ikat dihidungnya itu kendur sahaja.
Begitulah pengalaman saya bertahun-tahun menjaga
kerbau itu. Jalan yang kerapkali saya lalui adalah
jalan yang sama. Adakalanya saya cuba untuk
mengikuti jalan yang lain, tetapi waktu itu saya
dapati kerbau itu tidak mahu mengikut jalan yang
berlainan ini. Tali yang mengikat hidung kerbau itu
didapati terik. Saya tidak berdaya hendak menarik
kerbau itu, maka saya terpaksa mengikut jalan yang
lazim saya lalui.
Rupa-rupanya haiwan pun tidak mahu mengikut tuannya
secara membabi buta. Adakalanya dia mengikut kata
dan adakalanya dia membantah. Berdasarkan pengalaman
ini saya sangat hairan bagaimana kita ahli UMNO yang
merupakan manusia yang lengkap sifatnya dan
mempunyai akal fikiran, boleh mengikut apa sahaja
yang dikata pemimpin walaupun arahan pemimpin itu
tidak munasabah. Kita hanya mengikut membabi-buta
walaupun tiada tali yang mengikat hidung kita.
Seluruh jentera parti dan kerajaan berkumpul di
Kubang Pasu untuk memastikan Tun Mahathir tidak
dipilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung UMNO
yang baru selesai pada 17hb November yang lalu.
Hilang segala pertimbangan pucuk pimpinan dengan
mengajar dan mengajak ahli-ahli UMNO untuk melupakan
jasa-jasa pemimpin yang telah banyak berjasa kapada
UMNO dan rakyat, termasuklah kapada beliau sendiri.
Inilah didikan Presiden UMNO kita yang baru ini.
Pada hari pertama dia menjadi Perdana Menteri,
beliau berucap di Pulau Pinang di hadapan ribuan
rakyat jelata sambil berkata, “MARILAH BEKERJA
DENGAN SAYA, JANGAN BEKERJA UNTUK SAYA” Rupa-rupanya
beliau menyeru kita bekerja denganya untuk
‘Mengerjakan’ Tun Mahathir. Akhirnya Mahathir
menerima tikaman keris yang diberikan kapada
penggantinya itu. Kalau Tun Mahathir yang berjasa
kapada beliau diperlakukan sedemikian rupa,
bagaimana beliau hendak mengingati jasa kita semua
yang kerdil ini. KITA INI BUKAN ANAK ATAU MENANTUNYA
!! |