|
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200
Simpang Renggam, Johor Darul Ta’zim.
Tel / Faks : 07-7554693 e-mail : dppjohor@yahoo.com
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(58/06)
Kenyataan Media
(28 November 2006)
TAJUK :
BADAN PENCEGAH RASUAH (BPR) PERLU DIBERI KUASA
MENDAKWA
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong
terhadap cadangan dan usaha untuk memberikan kuasa
kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mendakwa
terhadap kes-kes yang disiasat oleh BPR. Ketika ini,
BPR hanya diberikan kuasa untuk melakukan
penyiasatan tetapi pendakwaan hanya boleh dilakukan
oleh Peguam Negara.
Perkara ini telah dilontaran oleh bekas Hakim
Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azmi Kamaruddin supaya
kerajaan memperluaskan kuasa mendakwa kepada BPR.
Tan Sri Azmi menyatakan bagaimana BPR melalui zaman
kegemilangan semasa ia diketuai oleh allahyarham Tan
Sri Harun Hashim daripada tahun 1967 sehingga ke
tahun 1971 (Mingguan Malaysia, 26 November 2006).
“Ketegasannya itu sampai menyebabkan dia menerima
tekanan daripada orang politik. Saya masih ingat
lagi pada waktu itu kalau sebut saja nama beliau,
semua orang takut. Kaki rasuah cukup benci kepada
beliau.
Beliau bukannya zalim dan keras tetapi seorang yang
tinggi integritinya. Beliau juga diberi kuasa yang
penuh untuk menjalankan tugasnya termasuk kuasa
untuk mendakwa. Tetapi tekanan-tekanan itu akhirnya,
maaf cakaplah, diterima”.
Cadangan ini juga disokong oleh Presiden Persatuan
Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman
yang menyatakan bahawa memberi kuasa mendakwa kepada
BPR dilihat boleh mempercepatkan proses siasatan kes
rasuah sekali gus memastikan keadilan dapat
ditegakkan secepat mungkin (Utusan Malaysia, 28
November 2006).
Beliau juga menyebut bahawa sekiranya siasatan dan
dakwaan dibuat oleh satu badan sahaja, maka sebarang
isu penangguhan dalam siasatan dan pendakwaan kes
akan dapat diatasi.
Kerajaan perlu melihat secara serius terhadap
cadangan yang telah dinyatakan ini kerana tahap
indeks terbaru rasuah diumumkan oleh Indeks Persepsi
Rasuah (Corruption Perception Index - CPI) pada 6
November lalu yang dikendalikan oleh Transparency
International (TI) menunjukkan bahawa Malaysia terus
menerima episod malang sehingga jatuh ke tangga ke
44 pada tahun ini berbanding tangga ke 39 tahun
lalu.
DPPNJ melihat bahawa apabila BPR tidak diberikan
kuasa untuk mendakwa terhadap apa jua kes yang
disiasatnya maka BPR akan dijadikan sasaran apabila
kes-kes rasuah tidak dapat diselesaikan sedangkan
BPR telahpun selesai menjalankan tugas mereka.
Sebagai contoh, kes rasuah yang melibatkan dua
lelaki yang cuba menawarkan wang sogokan kepada
calon PAS DUN Pasir Raja, Encik Sanip Ithnin di
kediaman beliau di Felda Sungai Sayong pada 16 Mac
2004. BPR telahpun menyiasat dengan bukti yang cukup
termasuk merampas sejumlah RM5 ribu daripada
kedua-dua lelaki itu yang didakwa merupakan 10
peratus daripada bayaran keseluruhan untuk Sanip
menarik diri.
Sehingga kini, hasil siasatan tersebut masih belum
dilaporkan kepada pengadu kerana BPR mendakwa kertas
siasatan telahpun diserah kepada Peguam Negara.
Sikap berlengah untuk mendakwa kes ini di mahkamah
menyebabkan Encik Sanip Ithnin telah memfailkan
saman pemula terhadap Peguam Negara berikutan
kegagalannya mendakwa pihak yang terbabit dalam kes
rasuah pada pilihan raya umum lalu melalui Tetuan
Hanipa & Associates yang telah memfailkan writ saman
kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi
Johor Bahru pada bulan Julai yang lalu.
Sekian, wassalam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/
|