BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Disertakan Kenyataan Media Angkatan Muda berkenaan isu pemboikotan pilihanraya kecil Batu Talam untuk tujuan siaran dan hebahan.


11 Januari 2007
Kenyataan Media

BOIKOT PILIHANRAYA SEHINGGA SPR BERSIH !

Keputusan Barisan Alternatif (BA) untuk memboikot Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam adalah satu keputusan berprinsip menolak kepincangan dan penipuan di dalam pengendalian pilihanraya di Malaysia. Ia sebagai mempertahankan hak dan maruah rakyat Malaysia yang tidak mahu lagi diperdaya dan dinafikan pilihan mereka pada hari mengundi.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melihat keberanian yang ditunjukkan ini telah membawa politik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dengan mengutamakan prinsip mengatasi kepentingan jangka pendek. Keputusan ini juga selaras dengan komitmen awal AMK semasa Kongres AMK 2004 yang telah meluluskan resolusi memboikot pilihanraya di atas prinsip bahawa pilihanraya yang diadakan ialah pilihanraya tempang.

BA mengambil keputusan memboikot pilihanraya ini di kala populariti rejim Abdullah Badawi berada pada tahap yang paling rendah. Barisan Nasional sekarang dilanda pelbagai pendedahan skandal rasuah, pembunuhan, pembelian bot mewah dan perbalahan dalaman di setiap peringkat, termasuk yang melibatkan UMNO Raub sendiri. Malah pelbagai keputusan rejim Abdullah yang menekan dan anti-rakyat seperti kenaikan harga petrol, kadar tol dan kos sara hidup yang semakin menyempitkan kehidupan rakyat semakin menambahkan kemarahan rakyat.

Ini sebenarnya adalah akibat daripada kepemimpinan lemah dan tidak berkesan Abdullah sendiri. Malah beliau dilihat tidak peduli dengan kesengsaraan hidup rakyat apabila memilih untuk meneruskan percutian di negara asing tatkala negara menghadapi bencana.

Meskipun populariti parti-parti alternatif yang bersih dan pro-rakyat semakin meningkat berbanding BN, kedua-dua parti – PAS dan keADILan mencapai persetujuan bersama kerana berpegang kepada prinsip menolak pilihanraya yang korup dan menipu rakyat.

Ini sama sekali berbeza dengan tindakan Fron Sosialis pada sekitar tahun 60an dahulu yang memboikot Pilihanraya Umum. Bezanya kerana Fron Sosialis tidak mempunyai pilihan selain melancarkan boikot apabila begitu ramai pemimpin-pemimpinnya telah ditangkap tanpa bicara oleh pemerintah. Tetapi BA pada hari ini bertekad melancarkan boikot dalam keadaan kekuatannya dan penerimaan rakyat terhadapnya sedang meningkat.

AMK percaya politik prinsip seperti ini akan membawa perubahan yang jelas di dalam senario politik negara ini. Justeru AMK memberikan komitmen padu untuk membawa mesej menuntut pilihanraya yang benar-benar bebas dan bersih kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh pelusuk tanahair. Rakyat tidak lagi boleh membiarkan mereka ditipu di peti undi dan pilihan mereka dinafikan, kerana itu ini adalah permulaan tindakan tegas rakyat menentangnya.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua AMK

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762