BALIK KE MUKA UTAMA

UMNO sama UMNO bertelagah Melayu tersepit ditengah


Ini adalah pertelagahan UMNO dengan UMNO. Dikatakan pertelagahan hari ini berpunca dengan kehadiran Tun Mahathir dalam mengkritik pentadbiran Pak Lah. Ini juga dibicarakan akan memberi kesan buruk kepada UMNO pada pilihanraya akan datang.
Namun dalam keriuhan  dan kerancakan berpolitik kesan menyeluruh kepada bangsa yang bernama Melayu tidak langsung dibicarakan. Masing  - masing membicarakan keuntungan buat pembangkang dan kesan buruk kepada UMNO tetapi kesan yang lebih memilukan adalah pada Melayu itu sendiri.

Adakah Melayu akan tersepit di tengah - tengah pertelagahan kerana kita tidak mengambil peduli  implikasi pergeseran ini dan gagal melihat kerugian yang bakal berlaku pada bangsa, bangsa yang sehingga kini tersisih dan tersepak ketepi akibat persengketaan yang tidak akan ada akhirnya semenjak UMNO mula hidup dalam politik tanah air.

Persoalan bukan siapa antara mereka untung, menang atau kalah? Bukan pengiraan keuntungan UMNO , keuntungan Mahathir dan keuntungan parti pembangkang tetapi kerugian yang perlu dikiranya kepada bangsa Melayu itu sendiri. Persetankan siapa kalangan mereka yang akan menang kerana ini hanya melibatkan cita - cita politik sungguhpun berdegar mereka membicarakan bahawa setiap mereka sedang memperjuangkan hak rakyat dan hak bangsa. Kini semua keliru, kepada siapa harus kita letakan sokongan,  kepada Mahathir atau Pak Lah.

Melayu harus mula menerima hakikat sebenarnya. Perpaduan tidak pernah tidak wujud dengan sepenuhnya. Mungkin hanya ada pada waktu Melayu bangkit menentang Malayan Union tetapi setelah itu kita bergolak. Ini bukan tidak baik buat Melayu kerana pergolakkan itu juga akan mendewasakan Melayu tetapi bentuk  - bentuk pergeseran itu adalah perebutan, penindasan dan penipuan kumpulan elit sesama untuk terus meminggir mereka yang tidak tahu dan tidak berada. Dominasi Melayu sekarang terhad pada Melayu Perdana yang mahu menentukan pemilikan kuasa dan meminggirkan perjuangan sebenar. Ini harus dikesali dan mereka ini harus dipastikan gugur dalam menerajui kuasa.

Mana yang salah , Mahathir atau Pak Lah

Sipnosis yang ada : Pak Lah dalam kenyataan beliau, kepada beberapa media Perdana 18hb Sept 2006, berkata beliau mempunyai cara tersendiri dalam mengemudi UMNO dan Tun Mahathir dalam seri kritikannya telah melemparkan tuduhan bahawa pentadbiran Pak Lah penuh dengan perlakuan kronisma, nepotisma dan korupsi. Pak Lah sebaliknya tidak bertindak untuk  memburukkan  pentadbiran Tun Mahathir yang juga dilaporkan terbabit dalam gelaja - gelaja serupa kerana mungkin Pak Lah sedar bahawa beliau juga hadir dari sistem yang sama. Sungguhpun begitu panglima  - panglima Pak Lah bangkit mempertahankan Pak Lah seperti mana mereka mempertahankan Mahathir sewaktu berdepan dengan serangan menuntut reformasi.  Sipnosis ringkas ini sebenarnya hanya mempamerkan satu perkara : kedua - duanya kemungkinan mempunyai dosa yang serupa dan ini berlingkar sekitar kronisma , nepotisma dan korupsi. Ini sebenarnya hanya membicarakan siapa yang lebih salah dalam melakukan kesalahan dan kepimpinan bawahan terus keliru. Kita melihat perkara ini tidak menguntungkan Melayu dan adakah senario ini akan menjadi arca kepada kehadiran UMNO yang gagal membela bangsa?

Yang dipersoalkan adalah siapa salah tetapi persoalan yang lebih besar adalah - kegagalan UMNO menyatukan Melayu adan akhirnya Melayu sendiri akan pupus oleh perbalahan.

Sebenarnya yang penting untuk kita lihat ialah kemungkaran, kesalahan dan perbuatan sumbang kepimpinan Melayu itu sendiri dan ahli - ahli UMNO kena membuat keputusan yang penting sekarang ini. Ahli  - ahli UMNO harus sedar bahawa kelonggarkan kita dalam membuat pilihan akan mengejakan BAHAYA BUAT MELAYU. Ahli UMNO hari ini sepatutnya bijak menilai siapa yang bakal dilantik menjadi kepimpinan dan bertindak menolak kepimpinan yang selama ini gagal menaikkan martabat Melayu. Oleh itu persoalan Mahathir benar dan Pak Lah salah atau Pak Lah yang benar atau Mahathir yang salah harus diukur dari perbuatan mereka dalam menjanakan kejayaan buat Melayu dan rakyat keseluruhan.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762