|
|
Lee Kuan Yew Punya Motif Tersembunyi
Tuduh M'sia Pinggir Kaum Cina |
|
|
BEIJING, 30 Sept (Bernama) --
Menteri Penerangan Datuk Zainuddin
Maidin berkata Menteri Mentor
Singapura Lee Kuan Yew mempunyai
motif terselindung dalam menuduh
Malaysia meminggirkan masyarakat
Cina sedangkan beliau sendiri telah
menghapuskan kebudayaan Cina di
negara sendiri.
"Saya fikir beliau mahu menakutkan
kaum Cina, membuatkan mereka berasa
bahawa kekayaan yang mereka perolehi
tidak akan selamat di rantau ini,"
katanya kepada pemberita selepas
melawat agensi berita Xinhua di sini
Jumaat. Zainuddin tiba pada Khamis
untuk lawatan kerja tiga hari.
Beliau berkata Malaysia tidak pernah
meminggirkan masyarakat Cina
walaupun ada peluang untuk berbuat
demikian selepas insiden 13 Mei
1969.
"Perdana Menteri ketika itu, Tunku
Abdul Rahman, menolak tanggapan
seperti itu. Kita juga tidak pernah
merampas sebarang hartanah kepunyaan
masyarakat Cina," katanya.
"Bahkan, kita memperluaskan
penyertaan mereka dalam kerajaan
dengan membesarkan Perikatan bagi
menubuhkan Barisan Nasional,"
katanya.
Hari ini Malaysia mempunyai lebih
banyak sekolah Cina berbanding
Singapura dan pengedaran akhbar
terbesar negara adalah akhbar
berbahasa Cina.
"Lee Kuan Yew sebaliknya telah
menghapuskan secara sistematik
kebudayaan Cina, dengan tidak
membenarkan banyak amalan Cina.
Beliau juga menutup Universiti
Nanyang dan Kolej Ngee Ann," katanya.
Zainuddin berkata Menteri Mentor
Singapura itu patut diucapkan
tahniah kerana telah mengubah
identiti masyarakat Cina di republik
itu sehinggakan ia sudah tidak
dikenali.
Beliau menggesa akhbar Cina di
Malaysia supaya tidak terpengaruh
dengan kenyataan Lee itu sehingga
menggembar-gemburkan cauvinisme Cina
dan mengancam keharmonian kaum di
Malaysia.
|
|
|
|