BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Umno Kurang Senang Pemimpin Menyeleweng, Kata Najib




PUTRAJAYA, 31 Okt (Bernama) -- Berdasarkan kes membabitkan anggota dewan undangan negeri Pelabuhan Klang Datuk Zakaria Mat Deros, Datuk Seri Najib Tun Razak hari Selasa berkata Umno kurang senang terhadap para pemimpinnya yang melanggar peraturan dan undang-undang negara.

Sambil berkata bahawa kes itu mungkin dibincangkan pada forum yang bersesuaian, timbalan perdana menteri menegaskan bahawa mereka yang memegang jawatan awam mesti menunjukkan contoh yang baik dan menghormati undang-undang.

Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat Khamis ini.

"Kita tidak boleh memikirkan bahawa kita ada kedudukan maka kita boleh ketepikan sebarang peraturan atau undang-undang kerajaan tempatan," kata timbalan presiden Umno itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat menteri-menteri besar dan ketua menteri di sini.

"Umno kurang senang dengan apa yang berlaku," katanya sebagai respons kepada pertanyaan mengenai Zakaria, ketua umno bahagian Klang yang juga ahli majlis perbandaran yang dilanda kontroversi membabitkan keputusannya membina rumah di Kampung Idaman, Pandamaran, tanpa pelan bangunan.

Beliau turut ditegur Sultan Selangor dan diberikan tempoh sehingga 8 Nov untuk melepaskan jawatan ahli majlis atau menghadapi tindakan dipecat oleh exco negeri Selangor.

Najib berkata beliau baru sahaja menerima laporan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang disampaikan oleh Majlis Perbandaran Klang mengenai kes itu.

"Dan berdasarkan laporan ini, kami akan bincangkannya pada forum yang bersesuaian bagi memutuskan pendirian kita (Umno) mengenai perkara itu," katanya.

Beliau menegaskan bahawa wakil rakyat wajar menunjukkan contoh yang baik dengan menjadi warga yang mematuhi undang-undang, memandangkan undang-undang digubal untuk dipatuhi semua rakyat dalam segala aktiviti mereka.

Ditanya sama ada beliau berpendapat Zakaria merupakan liabiliti kepada Umno, Najib berkata: "Kita amat bimbang kerana kita memegang jawatan awam.

"Jika kita memegang kedudukan awam, kita mesti menunjukkan contoh yang baik, dan mesti mematuhi undang-undang negara. Ia tidak boleh dipertikaikan lagi."

Mengenai laporan bahawa dua lagi ahli majlis perbandaran Klang tidak mengemukakan pelan bangunan rumah masing-masing, Najib berkata: "Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang negara akan dikenakan tindakan."

Mengenai cadangan supaya wakil rakyat tidak wajar dilantik untuk menjadi ahli majlis, Najib berkata inti patinya ialah mencegah penyalahgunaan kuasa.

"Jika mereka mempunyai kedudukan dalam majlis tempatan, mereka mesti menghormati undang-undang kerajaan tempatan. Kalau mereka tidak menghormatinya, mereka melakukan satu kesalahan," jelas beliau.

-- BERNAMA




 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762