BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Umno patut bertegas terhadap Dr Mahathir

 

KUALA LUMPUR: Pelbagai peringkat pemimpin terus mempertikaikan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad melemparkan kritikan tidak berasas kepada kepemimpinan negara dan mahu Umno mengambil tindakan tegas terhadap bekas Perdana Menteri itu.


Mereka berpendapat, Dr Mahathir tidak sepatutnya dibiarkan terus membuat pelbagai kritikan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, negara, kerajaan, Umno dan rakyat keseluruhannya.

Di PARIT, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, berkata tindakan Dr Mahathir mengkritik kerajaan ibarat jurulatih yang menggunakan pembesar suara di tepi padang mengajar pemain bagaimana beraksi dalam satu pertandingan bola sepak.

Katanya, tindakan itu menyebabkan pemain menjadi kelam kabut kerana bukan saja terpaksa berdepan pasukan lawan, malah mendengar bebelan dan arahan jurulatih sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Bagaimana pemain boleh bermain dengan baik jika setiap kali pemain mendapat bola, terdengar suara jurulatih yang lantang memberi arahan seperti ‘pemain nombor 10 cepat tendang bola, pemain nombor 9 hantar bola segera’” katanya.

Di SUNGAI PETANI, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin mahu Dr Mahathir segera berhenti daripada membuat pelbagai kritikan dan pendedahan yang hanya akan memalukan bangsa Melayu.

Katanya, kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri dikhuatiri hanya mendedahkan ‘pekung’ bangsa Melayu kerana ada pihak khususnya media bukan Melayu memerhati dengan menunggu pendedahan ‘siapa yang dapat itu dan ini’.

“Pada zaman Tunku (Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj), kritikan dibuat kerana soal dasar tapi sekarang ia lebih kepada isu membabitkan kepentingan peribadi,” katanya.

Di BACHOK, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, berkata tindakan Dr Mahathir mengkritik kepemimpinan Perdana Menteri boleh menjejas perpaduan dan kekuatan parti.

“Justeru, saya menyokong saranan Dr Mahathir diberi kata dua, sama ada meletakkan jawatan jika ingin terus mengkritik kerajaan atau kekal dengan jawatannya sebagai penasihat agensi kerajaan.

“Tindak tanduk beliau nyata bertentangan dengan dasar kerajaan, sebagai anggota kerajaan, beliau sepatutnya bersama kita dan bukannya bertindak sebagai pengkritik kerajaan ala pembangkang,” katanya.

Di ALOR STAR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid, mahu Lembaga Disiplin bertindak tegas terhadap Dr Mahathir termasuk menggantung keahliannya dalam parti.

Katanya, tindakan tegas terhadap Dr Mahathir itu wajar diambil segera kerana perbuatan bekas Presiden Umno itu boleh merosakkan parti.

“Pemuda Umno Kedah mahu pucuk pimpinan tertinggi atau Lembaga Disiplin mengambil tindakan keras terhadap Dr Mahathir sama ada memberi amaran atau menggantung keahliannya mengikut peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya.

Di TUARAN: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jospeh Pairin Kitingan berkata tindakan Dr Mahathir itu mencetuskan suasana kurang menyenangkan kepada negara sekali gus mengelirukan rakyat.

“Kita berharap dalam tempoh terdekat, Dr Mahathir berfikir mengenai apa yang dilakukannya serta kesan tindakan beliau itu,” katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogunan Kadazandusun Bersatu (Upko), Datuk Wilfred Bumburing, berkata apa yang berlaku di antara Dr Mahathir dan Abdullah tidak baik untuk negara.

Katanya, Abdullah selaku Perdana Menteri harus diberi kebebasan dan sokongan untuk terus memimpin negara secara teratur dan berkesan.

“Abdullah mengambil tampuk kerajaan atas restu Dr Mahathir, jadi sewajarnya peralihan kuasa kepimpinan itu diberi kebebasan dan disokong berterusan tanpa gangguan,” katanya.
 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762