|
Kenaikan Kadar Tol Lima Lebuh Raya
Berkuatkuasa Pukul 6 Pagi Isnin
MELAKA, 31 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan kenaikan
kadar tol di lima lebuh raya sekitar Lembah Klang
antara 20 dan 60 peratus akan berkuatkuasa pukul 6
pagi hari Isnin, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri
S.Samy Vellu.
Beliau berkata tidak ada sebarang perubahan terhadap
kenaikan kadar tol lebuh raya terbabit, sebagaimana
yang beliau umumkan pada 14 Disember lalu.
"Pada pukul 6 pagi esok, tol akan naik, lima
syarikat (konsesi) yang saya umumkan dua minggu lalu
akan naikkan tol," katanya kepada pemberita selepas
menyampaikan bantuan kepada 550 mangsa banjir di
Bukit Beruang dekat sini, hari ini.
Lebuh raya terbabit ialah Lebuh raya
Damansara-Puchong, Lebuh raya Shah Alam, Lebuh raya
Cheras-Kajang, Lebuh raya KL-Karak dan Lebuh raya
Koridor Guthrie.
Ditanya tentang tindakan parti DAP yang mencabar
kerajaan supaya membeli lima buah syarikat konsesi
berkenaan, Samy Vellu berkata "kita boleh beli, dia
bayarlah".
Merujuk kepada kadar cukai jalan pelbagai kenderaan
bermotor yang turun mulai esok, Samy Vellu berkata
pengurangan tersebut akan meringankan bebanan dan
melegakan rakyat.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy kerana
mengurangkan bayaran cukai jalan kenderaan beberapa
peratus," katanya.
Semalam, Najib ketika mengumumkan penurunan kadar
cukai jalan pelbagai kenderaan bermotor itu, turut
menyatakan duti eksais ke atas kenderaan penumpang
dan motosikal akan diselaraskan.
-- BERNAMA
|