BALIK KE MUKA UTAMA

Pemimpin politik Melayu Pulau Pinang perlu jujur terlebih dahulu


Syed Imran <bankelawai@yahoo.com.my>
To: editor1@umno-reform.com

Date: Thu 08/17/06 03:25 PM

Isu kedudukan dan nasib orang Melayu Pulau Pinang tidak akan berkesudahan selagi para pemimpin politik Melayu, khususnya Umno, benar-benar jujur dan ikhlas memperjuangkannya. Inilah hakikat yang mesti diterima dan janganlah kita sering menuding jari kepada orang lain.

Perlu diingatkan bahawa yang berkuasa dan bertanggungjawab bukan ketua menteri seorang tetapi kesemua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) yang merupakan pentadbir negeri. Exco dianggotai oleh wakil orang Melayu melalui Umno termasuk seorang timbalan ketua menteri. Keputusan berkaitan pembangunan negeri diputus dan dilaksanakan setelah dipersetujui oleh Exco, bukan oleh ketua menteri seorang. Jadi kita tidak seharusnya mempersalahkan ketua menteri jika nasib orang Melayu tidak terbela dan terus ketinggalan dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

Saya dapati sejak jawatan timbalan ketua menteri diberikan kepada Umno, bermula dengan Dr Ibrahim Saad, tidak banyak perubahan yang berlaku malah semakin ramai pemimpin Umno atau saudara mara mereka yang menjadi kaya dan mendapat projek itu dan ini. Pemimpin Umno berlumba-lumba bukan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi mencari keselesaan dan kesenangan hidup masing-masing. Perkara ini cukup terang dan nyata jika kita menoleh ke belakang dan melihat taraf hidup pemimpin-pemimpin berkenaan sebelum mereka timbul sebagai pemimpin Umno.

Selain faktor keikhlasan dan kejujuran pemimpin politik Melayu, orang Melayu sendiri hendaklah menepuk dada dan tanya selera. Kemajuan hidup tidak akan datang bergolek tanpa berusaha dan bekerja kuat dan menerima kenyataan bahawa kita perlu berdikari dan bekerja kuat. Pelajaran anak-anak hendaklah diutamakan kerana salah satu cara untuk meningkatkan taraf hidup ialah melalui pendidikan tinggi. Semangat untuk memajukan diri sendiri dan keluarga terletak di atas bahu kita.

 


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762