BALIK KE MUKA UTAMA


Jangan ikut Mahathir ke lubang cacing
http://azminali.blogspot.com/
Salam perjuangan,

Saya dapat menyelami kegelisahan aktivis Parti dan rakyat terbanyak yang terkeliru apabila menonton gelagat beberapa orang pemimpin PAS dan DAP yang menghadiri Dialog Perdana dengan Dr. Mahathir Mohammad di Taman Melawati pada 24 Jun lalu.

Sementara kita menggalakkan perbahasan dan menghormati hak Dr. Mahathir untuk memberikan  pandangan, kita usah sekali-kali terperangkap akibat kedangkalan membaca percaturan politik.

Rakyat harus faham pertembungan kita dengan Mahathir bukan soal peribadi, tetapi berasaskan  kepada prinsip yang jelas dan nyata. Kita menentang perasuah ; yang kita tentang adalah  kerajaaan yang zalim ini ; kita menentang sistem yang menekan dan menindas rakyat ; kita  menentang kemungkaran UMNO dan Barisan Nasional seluruhnya. Seraya itu, Mahathir dan  Abdullah mewakili sistem yang sama.

Saya bertanggungjawab untuk membongkar bahawa Dr. Mahathir membelanjakan jutaan ringgit  untuk menganjurkan forum dan dialog di peringkat antarabangsa semata-mata untuk menyerang  pentadbiran Amerika Syarikat kerana beliau faham bahawa ini adalah tindakan dan pendekatan  yang cukup popular di kalangan negara Islam dan juga Eropah. Di dalam negara sendiri, sekali  lagi Dr. Mahathir mengambil tindakan yang popular dengan menyerang Singapura supaya rakyat  Malaysia lupa kezaliman dan kebobrokan beliau selama pemerintahannya. Beginilah ‘pintarnya’  politik Dr. Mahathir. Kita bagaimana ?

Pimpinan yang menyanjungi prinsip perjuangan harus melihat polimik UMNO ini bukan  semata-mata dari konteks keuntungan politik, tetapi juga berpegang teguh kepada janji kita  kepada rakyat untuk menjana kekuatan baru dan membawa perubahan.

Kehadiran segelintir pemimpin dalam dialog bersama Mahathir seolah-olah memberi ‘laluan  baru’ kepada pelaku kezaliman. Apakah orang Melayu mudah lupa seperti yang diungkap oleh  Mahathir sendiri ?

Siapakah yang bertanggungjawab di atas peristiwa berdarah di Memali ? Tangan siapakah yang  menandatangai penahanan Nik Adli Nik Abdul Aziz yang ditahan di bawah akta ISA yang zalim  itu? Siapakah yang bertanggungjawab menutup sekolah-sekolah agama rakyat ? Siapakah yang  menzalimi rakyat Terengganu dengan memberhentikan royalti minyak ? Dan, tentunya, siapakah
yang merencana konspirasi politik yang jahat dan jijik terhadap Anwar Ibrahim?

Benarlah kata-kata Dr. Mahathir, orang Melayu mudah lupa !

Telahan segelintir pemimpin ini bahawa kehadiran mereka adalah untuk membuat provokasi  terhadap Mahathir supaya lebih lantang mengecam Abdullah adalah perhitungan politik yang  naif dan cetek.

Sekalipun Mahathir cuba menunjukkan kononnya beliau seorang yang tegas dengan beberapa isu  sehingga sanggup “ke lubang cacing,” itu tidak bermakna kita harus sama ke lubang cacing.  Saya tegas bahawa kita tidak perlu membuang masa dengan melayan karenah beliau sedangkan  tidak ada perkara baru yang dibongkar melainkan hanya beberapa isu dan kepentingan terpilih  yang melibatkan beberapa kroni dan kerabat beliau. Mahathir manusia bankrap moral dan  prinsip !
 

  

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762