|
Rais Yatim, Aziz Shamsudin bakal
digugurkan dari kabinet?
Sun | Nov 26, 06 | 04:58:52 PM
Oleh Mohd Sabri Said KEPALA BATAS, 26 Nov (Hrkh) -
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Lunas,
Saifuddin Nasution Ismail meramalkan dua orang
Menteri Kabinet bakal digugurkan dari barisan
kepimpinan kerajaan dalam rombakan kecil oleh
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi
tidak lama lagi.
Dua individu tersebut katanya, mempunyai dua
kesalahan iaitu membela kenyataan pedas dan pergi ke
rumah terbuka sempena Aidil Fitri bekas boss mereka,
Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dato' Seri Abdullah makin lama makin menunjuk kuasa.
Dia akan menyingkirkan mana-mana menteri yang
dianggap menikam dari belakang bagi memastikan
politiknya stabil, " jelasnya ketika berceramah di
Kampung Baru, Penaga, Kepala Batas baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, mereka ialah Menteri Wilayah
dan Luar Bandar, Dato' Aziz Shamsudin dan Menteri
yang menerajui Kementerian Warisan, Dato' Seri Rais
Yatim.
Mereka sambungnya, mempunyai dosa yang besar kepada
Perdana Menteri selaku Presiden Umno kerana sanggup
membela atau hadir ke program Tun Dr Mahathir yang
selama ini menjadi pujaan di kalangan Umno.
"Nak bagi tau orang-orang kampung itulah Umno
sebenarnya. Jika berdosa minun arak tak apa, main
perempuan tak apa, kaki judi tak apa, bina kekayaan
hasil penipuan tak apa tapi lawan taukeh pasti masa
depan politik gelap, " tegasnya dalam program
anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas itu.
Semasa Persidangan Agung Umno lepas ujar Saifuddin,
sesiapa yang menegur kepimpinan dengan nada agak
pedas akan di labelkan maka wujud kalangan pembahas
umpama 'burung terkukur' yang hanya kicau dalam
sangkar emas sehaja.
Contoh macam anak mantan Perdana Menteri, Dato'
Muhkriz Mahathir yang membidas ucapan penangguhan
Perdana Menteri yang dianggap tiada perubahan.
Semua pihak menghentam kononnya bersuara bagi pihak
bapanya yang tidak hadir kerana sakit jantung
beberapa hari sebelum Persidangan Agung Umno bermula.
"Umpamanya Muhkriz apa dah jadi. Bila tegur dia pula
dituduh biadap kononnya cuba menjatuhkan air muka
presiden. Malangnya ada juga suara yang mahu
mengkaji balik jawatan yang disandangnya dalam
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, " jelasnya yang
juga aktivis reformasi.
Perkembangan muktahir terangnya, bakal menyaksikan
kembalinya 'hero' lama yang terjerat dengan skandal
melarikan wang ke Australia tidak lama dulu ke
pangkuan kabinet.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Mohamad Mohamad Taib
yang dianugerahkan senator baru-baru ini dipercayai
akan mengisi kekosongan kelak.
"Kita tunggu tengok siapa yang bakal di buang dan
diganti. Jika salah tafsiran politik yang saya
berikan kemungkinan ada orang lain yang lebih kanan
juga akan disingkirkan, " katanya.
Berceramah sama dalam majlis tersebut ialah Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri,
Ustaz Soid Mohd Amin, Yang DiPertua PAS Kepala
Batas, Bokhari Mohd Ghazali dan Ketua Dewan Pemuda
PAS Kepala Batas, Mohd Khair Che Mat. - mr |