![]() |
||||
|
||||
|
Mahathir dikatakan bergaduh dengan Pak Lah, Mahathir mengkritik pentadbiran Pak Lah dan kini bangkit kabinet dan menteri - menteri UMNO mempertahankan Pak Lah merupakan senario terbaru dalam politik UMNO hari ini. Isu ini mungkin berlarutan namun persoalannya yang akan ditanya ialah apa kesudahannya. Nazri bangkit mencabar Mahathir supaya meletak jawatan - Anwar Ibrahim mengatakan bahawa apa yang mahu dilakukan oleh Dr Mahathir tidak termasuk dalam definasi reformasi, Azmin mencela PAS dan kumpulan yang hadir dalam Dialog bersama Mahathir yang dianjurkan oleh www.malaysian-today.com yang pengendalinya Raja Petra Raja Kamaruddin salah seorang penyokong kuat Anwar Ibrahim yang pernah menjalani hukuman tahanan ISA sewaktu Mahathir memimpin negara ini. Keadaan menjadi riuh - Husam Musa (PAS) menandatangai "banner" besar seolah menyatakan sokongan terhadap perjuangan Dr Mahathir - Parti Keadilan Rakyat marah, penyokong reformasi dan PAS keliru. Hebat benar kata - kata kritikan seorang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang masih mempunyai akar yang kuat menusuk jauh ke dalam UMNO. Kritikan - kritikan ini mengundang pelbagai reaksi. Retorik kepimpinan UMNO adalah seperti yang dijangka. Siapa yang berkuasa, yang menjadi Perdana Menteri dan disitulah sokongan mereka. UMNO menjadi perkataan yang membarisi bibit - bibit bibir mereka - sayangkan UMNO, tidak mahu berpecah demi untuk kepentingan Melayu dan negara. Ini diikuti dengan komen - komen bahawa mereka akan berdiri teguh dibelakang Pak Lah kerana Pak Lah adalah Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. www.umno-reform.com turut ditanya oleh pelayar - pelayar laman " selaku editor 1 mana letak sokongan anda, Mahathir atau Pak Lah.? Satu soalan yang ditanyakan kepada semua yang peka pada perkembangan politik tanah air. Selaku editor - moderator laman ini, penekanan harus ditegaskan bahawa arah www.umno-reform.com yang saya bawa tidak pernah sealiran dengan pentadbiran Dr Mahathir khususnya bermula dari era kemelut reformasi 1998 sehingga penyerahan kuasa kepada Pak Lah pada tahun 2003. Ini bukan sahaja pada persoalan yang melibatkan isu Anwar Ibrahim tetapi juga polisi - polisi kerajaan yang khususnya mementingkan kemakmuran negara yang tidak sealiran dengan kemakmuran rakyat umumnya. Malah sehingga hari ini, setelah peralihan pentadbiran dari Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi , Luka Rakyat yang merupakan satu slogan yang dibawa oleh NGO Teras Pengupayaan Melayu masih terus menjadi inti perjuangan kerana setakat ini tidak nampak sebarang perubahan berlaku malah semakin keadaan semakin menekan dan luka masih terus berdarah. Oleh itu www.umno-reform.com akan bertindak berlainan dari www.malaysia-today.com yang mengatakan bahawa laman itu tidak akan ada kawan selain dari hanya memperuntukkan makna kebebasan media. Bagi www.umno-reform.com kawan - kawan adalah suara - suara kecil rakyat yang sedang berhempas pulas menentukan hidup - supaya suara sayup didengari - laungan pedih kehidupan terdengar dari dibisukan. Oleh kerana itu tugasan bukan hanya melibatkan diri dengan memberi ruang kepada semua untuk bersuara tetapi bersahabat - bersekongkol dengan rakyat kecil khususnya dalam UMNO untuk mereka mengetahui dan memahami, perlantikan kepimpinan adalah kuasa mereka dan jangan ianya dijual kepada tradisi ciptaan individu yang hadir hanya untuk terus memegang kuasa tetapi membelakangi amanah rakyat. Cukup mengenai kedudukan www.umno-reform.com . Itu tidak penting tetapi dalam melihat bantahan ahli - ahli UMNO terhadap Dr Mahathir - pembelaan ahli UMNO khususnya kepimpinan tertinggi dan kepimpinan Pemuda maka sesuatu terlintas di kepala saya. Bagaimana Tun Dr Mahathir menangani serangan hebat Tuanku Abdul Rahman sewaktu krisis kepimpinan dan UMNO tahun 1988 apabila UMNO diharamkan. Saya rujuk satu topik dalam buku Yusof Harun - Tuanku - Idealisma dalam kenangan Bab 25 Merintis Jalan Perdamaian muka 296. Saya akan meletakan petikan - petikan dari Tuanku Abdul Rahman yang mengkritik hebat Dr Mahathir seperti mana Mahathir dikritik dalam zaman - zaman reformasi dahulu. Sungguhpun kritikan Mahathir tidak sehebat kritikan golongan reformasi - PAS, Keadilan dan Barisan Alternatif terhadap dirinya tetapi kritikan Mahathir terhadap Pak Lah lebih berbisa kerana ini adalah antara UMNO dan UMNO - antara bekas Perdana Menteri dengan Perdana Menteri - antara orang yang memberi ruang kepada Pak Lah.
Malah dalam Bab 25 buka itu bertajuk Merintis Jalan Perdamaian, Mahathir mengambil langkah yang berbeza dalam menangani isu dan kemelut ini. Sungguhpun begitu sirkulasi UMNO BARU yang termasuk kalangan media , penulis - penulis politik turut melaksanakan "counter attack" menghina Tuanku sehingga ke tahap menafikan segala kontribusi Tuanku kepada negara. Dr Mahathir turut membisu dalam isu ini dan tidak ada serangan balas tetapi dimaklumkan usaha tetap dicari oleh Mahathir untuk menyelesaikan isu ini dengan lebih diplomasi lagi. Maka langkah Mahathir ialah - mengirim Datuk Najib Tun Abdul Razak dengan serombongan ahli - ahli EXCO Pemuda untuk berjumpa dengan Tuanku pada pagi 20 Oktober 1989. Perbincangan dijalankan dan Tuanku memaklumkan perkara - perkara yang tidak memuaskan hati beliau sungguhpun beliau sudah pencen dari politik. Dimaklumkan juga bahawa semua yang hadir menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada Tuanku - Yahya Harun Tuanku ,Idealisma Dalam Kenangan Muka 299. Kunjungan Datuk Najib Tun Abdul Razak pula disusuli oleh Wanita UMNO yang di ketuai oleh Tan Sri Aishah Ghani. Semua hadir dengan rasa penuh hormat kepada Tuanku. Najib sekali lagi bertemu dengan Tuanku pada 6 November 1989 jam 11.00 untuk memutuskan tarikh pertemuan antara Dr Mahathir dengan Tuanku Abdul Rahman. Pertemuan dilaksanakan dan pertemuan itu berjaya meredakan keadaan yang memang sudah begitu panas dalam perhubungan beliau dengan Tuanku Abdul Rahman. Mungkinkah tindakan yang diambil oleh Mahathir perlu dicontohi oleh Pak Lah yang sekarang menajwat jawatan Perdana Menteri. Adakah perlu orang ketiga yang akan menjadi mediator bagi mengendurkan kemelut ini. Adakah mungkin orang tengah ini akan berjaya? Apa juga pun bagi www.umno-reform.com, keadaan ini tidak akan menguntungkan rakyat yang sedang berdepan dengan isu - isu yang lebih penting. Mereka sedang bergelumang dengan kenaikan harga dan kos kehidupan. www.umno-reform.com masih menagih satu keadaan yang mana kepimpinan besar kita mencari jalan untuk memakmurkan mereka. Kita tidak hanya mahu santapan halwa telinga mendendangkan irama kejayaan Malaysia tetapi kemakmuran sebenar masih belum kita rasai.
|
|
Komen boleh di buat secara mudah
klik sini untuk borang maklumbalas,
editor1@umno-reform.com
atau hubungi 012-6544762
|