|
Kenyataan Akhbar:
BANJIR DI MELAKA FENOMENA ALAM LUAR BIASA ATAU
KELEMAHAN URUS-TADBIR?
Fenomena hujan yang berlarutan di Melaka dan
beberapa negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan dan
Pahang Selatan menyebabkan banjir besar. Kejadian
banjir besar ini merupakan sesuatu yang jarang
berlaku terutama di Melaka. Banjir kali ini telah
mengakibatkan kerosakan harta-benda yang banyak dan
menimbulkan kesusahan kepada ramai penduduk di
Bandar dan luar Bandar.
Angkatan Muda Keadilan ( AMK ), Parti Keadilan
Rakyat Negeri Melaka memandang serius terhadap
kejadian ini. AMK melihat ini bukan semata-mata
faktor bencana alam sahaja tetapi disebabkan oleh
kelemahan pengurusan dan kerakusan pemerintah dan di
dalam mengurus negeri. Kerajaan Negeri sepatutnya
bukan hanya tahu mengurus projek pembangunan yang
merata di Melaka tetapi ia sepatutnya cekap di dalam
mengurus air dan sistem salirannya. Di dalam
kesibukan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Melaka
membangunkan kawasan-kawasan komersial dan berstatus
pelancongan, mereka lupa bahwa pengurusan sungai dan
sistem saliran amat perlu di dalam memastikan air
yang disalirkan dapat diurus dengan baik dan
bermanfaat kepada rakyat dan negeri secara
keseluruhan.
AMK kesal kerana setelah membelanjakan RM 143.2 juta
kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah ( MBMB )
untuk membaiki dan mengindahkan sungai Melaka dan
beberapa anak sungai di sekitar negeri Melaka, masih
lagi berlaku banjir dan lebih buruk dari sebelum
projek ini dilaksanakan. Kerajaan Melaka dibawah
kepimpinan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ternyata
gagal di dalam merealisasikan misi untuk menjadikan
Melaka sebagai negeri maju menjelang 2010 kerana
tidak mampu untuk mengurus tadbir perkara asas iaitu
air dan saliran. Melaka tidak mempunyai sungai yang
banyak dan luas untuk menampung limpahan dari
taburan hujan yang lebat. Justeru itu, kerajaan
negeri telah sepatutnya memikirkan mekanisma yang
terbaik di dalam mengurus perkara ini sesuai dengan
kepesatan pembangunan kawasan penempatan dan
komersial baru. AMK berpendapat, peruntukan kewangan
yang sewajarnya harus diberikan kepada agensi
seperti Jabatan Pengairan dan Saliran supaya
keseimbangan di antara pembangunan komersial dan
penyediaan infrastruktur setara dapat diujudkan.
AMK melihat kepincangan ini sebagai sesuatu yang
tidak boleh diambil mudah kerana bukan hanya
kawasan-kawasan kampung di Tehel, Asahan dan Sg.
Rambai di Parlimen Jasin sahaja yang terjejas tetapi
taman-taman perumahan serta penempatan baru juga
mengalami banjir yang teruk. Kawasan Batu Hampar di
Peringgit dalam Parlimen Bukit Katil yang sering
dinaiki air walaupun dengan hujan yang biasa tidak
pernah di ambil tindakan yang sewajarnya menyebabkan
air sering melimpah dan bertakung di atas jalan raya
dan membahayakan pemandu kenderaan. Dan kealpaan ini
diterjemahkan bilamana hampir keseluruhan kawasan
Batu Hampar ditutup akibat limpahan air melampau
dari banjir besar ini. Begitu juga dengan kawasan
perbandaran baru berhampiran lapangan terbang Batu
Berendam seperti Taman Angkasa Nuri serta Taman
Merdeka ditenggelami air dengan begitu dalam sekali.
Agak menghairankan bila kawasan penempatan baru yang
sepatutnya dibangunkan dengan infrastruktur yang
baik tidak dapat menampung limpahan air yang
terhasil dari hujan. Dengan penglibatan pelbagai
jabatan dan agensi yang meluluskan sesuatu projek,
amatlah tidak wajar kejadian seumpama ini boleh
berlaku. Ini sekali lagi menunjukkan kelemahan
Kerajaan Negeri di dalam menyelaras pelaksanaan
tugas oleh Jabatan dan Agensi di bawah
pengelolaannya.
AMK juga merasa dukacita, kesan dari becana ini akan
menggugat persediaan sambutan perayaan Krismas dan
Aidil Adha serta permulaan penggal persekolahan. Ini
pasti akan membebankan semua mangsa yang terlibat
kerana terpaksa menyediakan kewangan yang besar
terutamanya dalam menyelenggara kediaman serta
pejabat mereka yang terjejas akibat dari banjir ini.
AMK merasakan sekiranya semua prosedur dan
perancangan yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan
Negeri dibuat dengan teliti dan mengambil kira
faktor pembangunan mampan ( sustainable development
), pastinya lebih banyak wang rakyat yang akan
diselamatkan dan diminimakan tanpa perlu Kerajaan
berbelanja untuk tabung kecemasan dan lain-lain. AMK
Melaka menegaskan bahwa pembangunan yang dibuat
tanpa mengambil kira faktor asasi seperti sistem
saliran dan pengurusan pengairan akan hanya
mengundang padah yang lebih besar dan merugikan
rakyat teramai.
AMK Melaka telah menggerakkan jentera di semua
bahagian parlimen untuk tujuan membantu meringankan
beban mangsa banjir di seluruh negeri Melaka. AMK
Melaka akan menumpukan kepada kerja-kerja
pasca-banjir di mana dirasakan lebih banyak
keperluan untuk membangun semula kawasan penempatan
yang terkesan dari banjir ini. Untuk itu AMK Melaka
juga memohon kepada semua masyarakat yang prihatin
untuk sama-sama membantu dan menyumbang bagi
meringankan beban kewangan dan tanggungan
mangsa-mangsa banjir yang menjangkau sehingga ke
6,680 orang di 47 pusat pemindahan di seluruh
Melaka. Masyarakat prihatin boleh menyumbang dengan
menghubungi Md. Yusof Abdullah ( 016-2462913 ),
Mohd. Rafie Ibrahim ( 012-6241270 ) serta Rustam
Jalil ( 012 -6205470 ).
MD. YUSOF BIN ABDULLAH
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Negeri Melaka |