|
Kenyataan Media
13 Disember 2006
ANGKATAN MUDA CABAR KHAIRY, KAMALUDDIN ISYTIHARKAN
HARTA
Angkatan Muda Keadilan (AMK) memandang serius
kenyataan Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad
Badawi bahawa tuduhan nepotisme terhadap beliau
bertujuan untuk menjatuhkan beliau walhal di dalam
hal yang sama, PM Abdullah mengambil sikap
mempertahankan anak dan menantu beliau.
AMK menegaskan amalan mempertahankan anak dan
menantu secara terbuka di dalam media jelas
menunjukkan bahawa PM Abdullah cenderung kepada
amalan nepotisme iaitu mempertahankan kaum kerabat
daripada sebarang kritikan dan teguran. Ini bukan
kali pertama beliau mempertahankan anak dan menantu
beliau di dalam media massa.
Sehubungan dengan itu, AMK ingin mencabar Kamaluddin
dan Khairy untuk tampil kehadapan dan mempertahankan
diri mereka secara sendirian tanpa berselindung di
sebalik nama dan institusi Perdana Menteri itu
sendiri. AMK mendesak Kamaluddin dan Khairy untuk
mengikut prinsip berani kerana benar, takut kerana
salah dengan mengisytiharkan kesemua harta dan
kekayaan yang mereka miliki sebelum dan selepas PM
Abdullah menjadi Perdana Menteri. AMK percaya ramai
usahawan muda Malaysia ingin tahu apakah formula
yang telah digunakan oleh mereka berdua untuk cepat
menjadi kaya.
AMK menyokong iltizam PM Abdullah untuk terus
memerangi rasuah dan korupsi. Justeru, di atas
prinsip kepimpinan melalui teladan, AMK mencadangkan
agar PM Abdullah memulakan dengan diri sendiri
dengan memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk
melakukan siasatan menyeluruh terhadap diri, anak
dan menantu beliau agar terbukti bersih dari amalan
rasuah, korupsi dan salah guna kuasa.
Dengan nada yang sama, AMK mencadangkan agar PM
Abdullah segera mengarahkan para pegawai BPR untuk
menyiasat laporan yang dibuat oleh Pengerusi GERAK,
Sdr. Mohamad Ezam Mohd. Noor terhadap anak beliau,
Kamaludin Abdullah di atas dakwaan salah guna kuasa.
AMK percaya bahawa negara mesti dipulihkan daripada
amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan kadar yang
segera apatah lagi di dalam keadaan Malaysia berada
pada kedudukan tangga ke 44 Indeks Persepsi Mengenai
Rasuah.
Selamatkan Negara daripada Rasuah.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Pemangku Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
|