BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Perdana Menteri Perlu Sokongan Semua Pihak Laksana Pembangunan




KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Rakyat perlu memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi meneruskan program pembangunan negara, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid.

Beliau berkata perdana menteri yang kini melangkah ke tahun keempat kepimpinannya memerlukan sokongan semua pihak.

"Jika kita mampu berganding seiring tanpa mengira agama, etnik mahupun gender, nescaya usaha perdana menteri untuk membangunkan taraf hidup dan status masyarakat akan menjadi kenyataan," katanya semasa menutup seminar kebangsaan "Abdullah Ahmad Badawi Tiga Tahun Di Putrajaya: Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara", di sini.

Azmi berkata Abdullah tidak hilang kawalan seperti yang didakwa sesetengah pihak kerana kesemua anggota Kabinet terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh di belakang beliau.

"Tidak semua pemimpin mempunyai gaya kepimpinan yang sama. Perdana Menteri memimpin dengan gaya yang tersendiri dan ia diterima ramai," katanya.

-- BERNAMA


Abdullah Bawa Iklim Baru Dalam Kepimpinan Dan Pentadbiran

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Sejak memegang jawatan Perdana Menteri tiga tahun lepas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berjaya membawa iklim baru dalam kepimpinan dan pentadbiran negara yang merangkumi hal-hal domestik dan antarabangsa, kata Ketua Penerangan Umno Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Katanya Abdullah telah membawa banyak keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbirannya, manakala dalam hubungan luar, beliau telah mewujudkan hubungan yang lebih intim terutama dengan kuasa-kuasa besar.

"Pengwujudan iklim baru ini telah mendorong kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil serta pewujudan koridor pembangunan ekonomi serta sektor pertumbuhan ekonomi yang baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Misi Nasional dan Wawasan 2020 yang merupakan sebahagian daripada seminar kebangsaan "Abdullah Ahmad Badawi Tiga Tahun Di Putrajaya: Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara" di sini.

Muhammad merupakan antara empat panelis pada forum yang dipengerusikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak pada seminar sehari yang dianjurkan oleh USM bersama Institut Sosial Malaysia (ISM).

Muhammad, bekas Menteri Besar Selangor, berkata Abdullah dapat memimpin negara dengan baik kerana mendapat sokongan padu daripada semua peringkat, baik daripada menteri-menteri kabinet, semua peringkat Umno dan komponen Barisan Nasional serta rakyat jelata.

"Dimana-mana di dunia tentu ada kelemahan. Itu adat. Tetapi pada umumnya kalau ada yang kata bahawa wujud tentangan terhadap kepimpinan (Abdullah). Saya tidak bersetuju.

"Kabinet berdiri teguh di belakangnya jika dibandingkan masa Tengku Razaleigh Hamzah bangun menentang Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang baru lima tahun menjadi perdana menteri. Separuh daripada kabinet sokong Tengku Razaleigh," katanya.

Beliau berkata kepimpinan Abdullah sebagai perdana menteri bersesuaian dalam keadaaan negara dan dunia hari ini.

"Saya perhatikan Abdullah sangat tegas dan keras dalam menentukan arah tuju negara. Kalau ada yang katakan Abdullah hilang kawalan, saya tidak setuju, dia fokus kepada arah yang hendak dituju dengan jelas," katanya.

Muhammad berkata rakyat perlu faham prinsip-prinsip yang dibawa oleh Abdullah untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat, malah di bawah kepimpinannya, beliau telah membuka minda rakyat mengenai pentingnya memberi keutamaan terhadap elemen seperti membina keupayaan dan modal insan dan Islam Hadhari.

"Dan bukan hanya semata-mata tertumpu kepada pembangunan fizikal seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS) Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan semasa membentangkan kertas kerjanya pada sesi "Menjejaki Masa Depan Negara" pada seminar itu, berkata dari satu segi mungkin terlalu awal untuk menilai prestasi kepimpinan Abdullah yang baru menjangkau 38 bulan, bagaimanapun penilaian terhadap kepimpinannya wajar dibuat kerana ia adalah satu tuntutan dalam demokrasi.

"Abdullah ketika menjadi perdana menteri telah menggariskan 12 prinsip utama, antaranya menyentuh kepimpinan politik terbuka, memerangi rasuah, amalan demokrasi yang baik serta pengurusan sumber manusia.

"Dengan itu Abdullah berjaya meletakkan asas awal bagi dirinya menjadi seorang perdana menteri yang sesuai dengan peredaran masa dan dasar-dasar beliau mampu membawa kesan besar pada masa hadapan tetapi dengan syarat ia perlu dijayakan," katannya.

Mohamed Jawhar berkata suasana keterbukaan penting kerana tanpanya adalah sukar untuk mewujudkan satu pentadbiran yang lebih telus dan urus tadbir yang baik.

"Abdullah berani mengorak langkah mewujudkan suasana keterbukaan, tetapi tidak diterima oleh semua pihak sebagai satu langkah yang baik kerana mereka kata dalam suasana lebih keterbukaan mudah untuk diekploitasi isu-isu sensitif."

Beliau berkata misi strategi dan langkah-langkah berkaitan ekonomi seperti misi nasional, Pelan Induk Perindustrian Ketiga dan pengurusan kewangan yang cermat yang dibawa oleh perdana menteri pada keseluruhannya adalah baik.

Penekanan yang dibuatnya pada aspek-aspek nilai tambah kepada ekonomi, penerokaan sumber ekonomi baru serta sektor pertanian turut membantu menjana ekonomi negara ke arah yang lebih baik dengan 2001, pertumbuhan hanya mencatatkan satu peratus tetapi meningkat kepada 7.2 peratus pada 2004, katanya.

Beliau berkata memang wujud kritikan seperti iklim perdagangan yang lembab dan kegagalan menarik lebih banyak pelabur asing dan perkara ini perlu dibaiki dengan segera.

-- BERNAMA

Pentadbiran Abdullah Lihatkan Kesinambungan Era Dr Mahathir


TEPUKAN GEMBIRA… Ahli Parlimen Batu Pahat Dr. Junaidy Abd Wahab (dua dari kanan) memberi tepukan kepada ahli-ahli panel forum selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Kebangsaan "Abdullah Ahmad Badawi: Tiga Tahun di Putrajaya-Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara". Foto: Noriani Ahmad


KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Dasar pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperlihatkan ada kesinambungan dari era Tun Dr Mahathir Mohamad, kata seorang pensyarah antropologi dan sosiologi.

"Yang mungkin berbeza ialah daripada segi gaya dan pendekatan, hasil refleksi daripada perubahan persekitaran politik dan sosial," kata Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Tiga elemen penting mendasari perbezaan gaya kepimpinan Abdullah dan Dr Mahathir ialah konsensus, akomodasi dan penyertaan, katanya dalam kertas kerja pada seminar kebangsaan "Abdullah Ahmad Badawi Tiga Tahun Di Putrajaya: Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara" di sini hari ini.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama oleh USM, Yayasan Strategik Sosial dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Sivamurugan berkata agak sukar untuk menyatakan bahawa sepanjang tiga tahun memimpin negara, telah ada perubahan drastik pada dasar-dasar sebelum ini kerana beberapa dasar sudah kukuh tanpa dilakukan penambahbaikan.

"(Dan ini) menyebabkan (salah persepsi sehingga) ada yang melihat beliau (Abdullah) lemah," katanya.

Sivamurugan berkata gaya kepimpinan Abdullah digunakan sebaik mungkin untuk melengkapkan "perjuangan belum selesai" Dr Mahathir termasuk beberapa pengubahsuaian mekanisme yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu dasar.

"Walaupun seorang yang dikenali dengan pendekatan yang lembut, Abdullah bukannya seorang yang tidak berkemampuan untuk membuat keputusan yang kontroversi kerana beliau perlu membuktikan bahawa beliau merupakan pengganti Dr Mahathir yng secocok dengan kedudukan Malaysia hari ini," katanya.

Sivamurugan berkata dalam melihat tiga tahun kepimpinan Abdullah, harus diakui bahawa beliau mengambil alih satu kepimpinan yang dikagumi kewibawaan, kebijaksanaan serta keberanian memperkasakan martabat bangsa dan negara.

"Ini bermakna apabila Abdullah mula memimpin, beliau bukan sahaja memikul tanggungjawab besar di Jabatan Perdana Menteri tetapi personaliti beliau juga akan turut diperhatikan terutama keupayaan menggunakan autoriti sebagai pemimpin berkarisma.

"Dalam usaha membawa pembaharuan serta perbezaan dengan kepimpinan yang lain, Abdullah mempunyai satu legasi yang perlu dipertahankan," katanya.

Namun, kata Sivamurugan, gaya kepimpinan Abdullah iaitu menggunakan rundingan dan konsensus ada risikonya yang membolehkan wujudnya forum terbuka dan ini boleh mendorong kepada lahirnya pandangan yang mungkin bercanggah dengan kerajaan yang akan membawa kritikan berterusan dan seterusnya diterjemah ke dalam bentuk sokongan kepada pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

"Pada pilihan raya itu, Abdullah wajar menggabungkan gaya kepimpinannya itu dengan pemantauan ke atas isu massa secara berterusan," katanya.

Pensyarah itu berkata bahawa dalam mengukur pentadbiran Perdana Menteri secara normatif, satu daripada pendekatan utama yang digunakan oleh Abdullah adalah kebergantungan kepada kerjasama, rundingan dan kerja berpasukan di mana beliau membenarkan ahli kabinetnya menonjol sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kementerian masing-masing dan mereka juga perlu berfungsi sebagai sebahagian daripada anggota pasukannya.

"Selepas tiga tahun memimpin, ada juga yang melontar kritikan besar dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak membuat sebarang pembaharuan sedangkan Abdullah menyakinkan rakan di kabinet dengan skil pengurusan dan gaya kepimpinan konsensus serta bersifat perundingan untuk meminggirkan pandangan bahawa beliau hanyalah sekadar memanas kerusi atau Perdana Menteri satu penggal," katanya.

Sivamurugan berkata kelebihan Abdullah adalah beliau memiliki satu pasukan yang setia dan sanggup berhadapan dengan asakan dari dalam dan luar serta meyakinkan rakyat bahawa perancangan beliau akan membuahkan hasil dalam jangka panjang, dan kekuatan Abdullah adalah pada moral pasukannya yang mampu menghadapi cabaran.

"Abdullah wajar diberi masa bersama pasukannya kerana ada dasar yang hanya dapat dilihat hasilnya dalam jangka masa panjang," katanya.

Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Junaidy Abdul Wahab dalam ucap tamanya di seminar itu berkata Abdullah membuktikan kepada dunia bahawa dengan gaya kepimpinan yang bercirikan keterbukaan dan sederhana, beliau mampu mentadbir, memimpin dan membawa Malaysia maju ke hadapan.

Keterbukaan dan kesederhanaan beliau turut menyebabkan pemimpin dunia lain gembira menyahut sikap Abdullah yang dilihat mampu menjadi pengantara atau pengimbang antara dunia Islam dan dunia Barat, katanya.

Junaidy berkata bahawa sepanjang tiga tahun itu kelihatan satu anjakan besar yang dilakukan Abdullah dalam sektor yang disesuaikan dengan keperluan semasa.

-- BERNAMA




 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762