|
Assalamualaikum and Good Day,
http://www.thoughtsintangents.blogspot.com
"Agak terdesak sedikit masa dan tenaga saya untuk mengembangkan
lagi penulisan dalam hal bahaya inflasi yang menghantui ekonomi
negara serta perbezaan falsafah ekonomi Pak Lah dan Tun Dr M.
Maka, saya memilih untuk rilek sejenak sambil meransangkan
perbincangan tentang tunjang kepimpinan Pak Lah.
Pak Lah seorang ahli politik yang berpengalaman dan didukung
oleh ramai pengikut yang setia. Walaupun kesetiaan oleh golongan
pro-Pak Lah tradisional mungkin digugat tempohari akibat tuduhan
'pelelong negara' yang dilemparkan terhadapnya secara langsung
dan tidak langsung oleh Tun Dr M, namun sokongan Pak Lah masih
kental dikalangan penyokong profesional beliau.
Ini termasuk bukan sahaja golongan yang sudah dilabel 'Tingkat
4', iaitu golongan muda, kebanyakannya anak-anak kakitangan
kerajaan yang baru menceburi bidang politik dan perasan mereka 'mewakili
generasi profesional muda'; ia juga termasuk segolongan ahli
politik yang sudah lama menjadikan alam politik alam kerjaya
mereka sambil mengekalkan imej profesional mereka.
Golongan veteran politik profesional yang pro-Pak Lah ini amnya
merupakan pengikut-pengikut Tun Musa Hitam, bersama-sama dengan
Pak Lah dalam 'Team B', yang pernah menentang Tun Dr M pada
pemilihan UMNO tahun 1987, dibawah kepimpinan Tunku Razaleigh
Hamzah (KuLi).
Perlu dijelaskan di sini yang golongan penyokong Pak Lah ini
bukanlah kumpulan Team B yang merupakan penyokong-penyokong KuLi
yang, selain dari Dato' Ibrahim Ali, amnya mengambil kedudukan
berkecuali dalam sengketa Pak Lah <-> Tun Dr M. Ia juga tidak
termasuk pemimpin-pemimpin utama Team B atau kemudian Semangat
46 yang jelas bermaafan dengan Tun Dr M seperti Dato' Rais Yatim
dan Dato' Kadir Sheikh Fadzir.
Golongan veteran ini termasuk Setiusaha Agung UMNO sekarang,
Dato' Radzi Sheikh Ahmad dan bekas pemimpin BBC, Dato' Shahrir
Samad.
Saya ingin memberi perhatian lebih kepada Dato' Radzi dalam
penulisan saya pada hari ini, bukan sahaja kerana Dato' Shahrir
amnya lebih dikenali, tetapi juga kerana sebagai Setiuasaha
Agung UMNO pimpinan Pak Lah, Dato' Radzi merupakan general rasmi
utama Pak Lah dalam pertempurannya dengan Tun Dr M.
Siapakah Dato' Radzi Sheikh Ahmad ini yang begitu tekun melawat
itik dan dusunnya di Kubang Pasu dua kali dalam minggu sebelum
pemilihan UMNO Bahagian tersebut yang beliau sendiri akui sudah
lama tidak dijenguknya?
Penting bagi rakyat Malaysia mengetahui bahawa, Dato' Radzilah
pemimpin UMNO yang secara tidak langsung mengakibatkan krisis
kehakiman berlaku pada tahun 1988. Kerana itulah beliau kini
disyaki berusaha mendalangi penutupan usaha meninjau kembali
krisis tersebut secara mendalam yang diusulkan oleh Tun Salleh
Abbas.
Tiadakah yang hairan bahawa pada masa segala jenis tohmahan dan
tuduhan dilontarkan ke arah Tun Dr M dalam usaha pincang untuk
menidakkan persoalan yang dibangkitkan beliau tentang kelemahan
kepimpinan Pak Lah, kenapakah kerajaan tidak terus sahaja
mengorek kudis sejarah krisis kehakiman pada zaman Tun Dr M.
Kalau benar Tun Dr M bersalah dalam hal tersebut, kenapa tidak
dedahkan sahaja segalanya.
Sebabnya jelas, walaupun Tun Dr M bertindak keras terhadap
Hakim-Hakim utama negara pada masa itu, tetapi sebelah mata
rakyat sering tertutup dari fakta sejarah di mana badan
kehakimanlah yang sebenarnya mula bertindak keras dan menyerang
kerajaan Tun Dr M dengan mengharamkan UMNO tanpa mendapatkan
dahulu kata putus ketentuan dari Pendaftar Pertubuhan.
Kenapakah Allahyarham Tan Sri Harun Hashim, seorang hakim yang
berwibawa, bertindak demikian? Kerana beliau termakan hasutan
serta dusta beberapa ahli Team B yang diketuai olah Dato' Radzi
Sheikh Ahmad.
Dato' Radzi seorang peguam yang pintar. Beliaulah yang
mengusulkan dan mendorong usaha 11 orang ahli UMNO untuk
mencabar kesahihan pemilihan UMNO 1987 yang berakhir dengan
kemenangan Tun Dr M sebagai Presiden dengan majoriti yang tipis.
Dato' Radzilah yang menggunakan hubungan guaman, politik dan
peribadi untuk mengatur supaya Hakim-Hakim yang terlibat dalam
kes tersebut ada hubungan keluarga atau peribadi dengan KuLi dan
Tun Musa.
Para hakim mahkamah kita pada masa itu mungkin berwibawa, tetapi
mereka juga manusia biasa. Dan apabila berdepan dengan tuduhan
yang membuktikan saudara dan teman mereka mungkin berpeluang
merampas kepimpinan negara menerusi keputusan kehakiman mereka,
naluri setiakawan dan persaudaraan mendorong mereka kearah
pengharaman UMNO.
Dato' Radzilah pencanang di sebalik pengharaman UMNO tersebut.
Tetapi Dato' Radzi dalam canangannya terlupa yang para
kakitangan awam yang berwibawa juga wujud di pejabat Pendaftar
Pertubuhan (ROS). Kerana mereka tidak setuju dengan keputusan
berat sebelah Hakim-Hakim tersebut, mereka memberi keutamaan
kepada Tun Dr M dan para pengikutnya untuk mewujudkan UMNO Baru.
Tersalah langkah Dato' Radzi, dan apabila ini berlaku, beliau
mendapati dirinya bukan sahaja pada pihak yang kalah pemilihan,
tetapi terkandas sebagai penderhaka di luar UMNO Baru. Pada masa
inilah Dato' Radzi membuat kesilapan yang parah buat badan-badan
kehakiman negara. Dato' Radzi terus mencanang dalam usaha
melagakan lagi para Hakim dengan UMNO Baru dan kerajaan pimpinan
Tun Dr M. Perlagaan inilah yang menyebablan krisis kehakiman
1988.
Semua ini angkara Dato' Radzi. Kini beliau tergesa-gesa berusaha
menutup segala usaha mengkaji semula apa yang berlaku pada
tahun-tahun gelap 1987-88, sewaktu beliau memporak-perandakan
alam politik, kerajaan dan kehakiman negara Malaysia.
Dato' Radzi tahu yang kalau beliau benarkan kajian semula
dilakukan, ada risiko tinggi yang para penyokong Tun Dr M, malah
ahli Semangat 46 sendiri yang masih ingat dan tidak dapat
memaafkan Dato' Radzi, akan mendedahkan segala pekung yang
sekian lama tersembunyi mengenai jenayah penderhakaan terhadap
bangsa dan negara yang dilakukannya.
Inilah juga sebab kenapa Dato' Radzi dengan begitu tekun cuba
menjahit-tutup mulut lantang Tun Dr M tentang kelemahan Pak Lah.
Beliau takut yang dalam kelantangan Tun Dr M, mungkin ada
tersasul-sebut antara bukti kelemahan Pak Lah adalah yang Dato'
Radzi, orang yang paling bertanggungjawab dalam pengharaman UMNO,
telah dilantiknya sebagai Setiausaha Agung UMNO pimpinannya.
Dato' Radzi ada menyatakan dalam temuramah dengan akhbar Star
awal tahun ini yang beliau tidak bercadang bertanding lagi dalam
pilihanraya akan datang. Alhamdulillah. Tetapi mungkin ada
baiknya Dato' Radzi pergi lebih dahulu dari itu. Ternyata UMNO
sekarang dan UMNO yang diderhakainya dahulu tidak memerlukannya
kasih sayang sama seperti itik dan dusunnya di Kubang Pasu."
Wassalam...
Ikhlas,
Akhram
|