|
Tsu Koon didesak
letak jawatan Pengerusi Perbadanan Bekalan Air
Oleh: SAHBULAH DARWI
BUKTI MERTAJAM 27 Ogos – UMNO Bahagian Bukit
Mertajam memberi tempoh tiga hari kepada Ketua
Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon supaya meletak
jawatan Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau
Pinang (PBAPP) dan memulangkannya kepada UMNO.
Ketuanya, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata,
ini kerana jawatan tersebut adalah milik UMNO tetapi
diserahkan sementara kepada Ketua Menteri Pulau
Pinang itu selepas pengkorporatan perbadanan itu
pada 1999.
‘‘Kalau Tsu Koon benar-benar ikhlas untuk
membangunkan orang Melayu, saya cabar beliau
meletakkan jawatan Pengerusi PBAPP dan
menyerahkannya kepada pemimpin UMNO,” katanya pada
sidang akhbar selepas Persidangan Perwakilan UMNO
Bahagian Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan
Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.
Musa berkata, perbadanan itu tidak mencerminkan
hasrat untuk membantu orang Melayu kerana daripada
15 pegawai tingginya, hanya tiga sahaja orang Melayu.
“Dalam struktur organisasi PBAPP amat jelas bahawa
jawatan penting bermula dari Pengerusi, Ketua
Pegawai Eksekutif sehinggalah ke ketua-ketua jabatan
semuanya dimonopoli oleh satu kaum sahaja,” katanya.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila Tsu Koon
dikatakan cuba menubuhkan dua lagi anak syarikat
PBAPP yang pengarahnya juga bukan Melayu.
“Sekiranya Tsu Koon enggan berbuat demikian, kita
akan menyusun langkah-langkah lebih drastik untuk
meneruskan perjuangan mendapatkan semula apa yang
sepatutnya orang Melayu miliki,” katanya.
Sambil membidas perkhidmatan PBAPP yang tidak begitu
efisien, beliau berkata, Tsu Koon pernah berjanji
untuk menyerahkan semula jawatan itu kepada UMNO
dalam tempoh terdekat.
Isu PBAPP ini juga turut mendapat perhatian
Pentadbir Sementara Ketua UMNO Bahagian Jelutong,
Senator Datuk Omar Faudzar yang mahu Tsu Koon
mengembalikan jawatan tersebut kepada pemimpin
Melayu.
Katanya, penyerahan jawatan itu tidak berkaitan
dengan isu perkauman tetapi melihat kepada
keseimbangan di dalam membangunkan negeri melibatkan
kesemua kaum yang ada.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bukit Gelugor berkata
demikian pada Persidangan Tahunan Perwakilan Pemuda
UMNO Bahagian Jelutong yang dirasmikan oleh Exco
Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul
Rahim.
Menurut Omar, sepatutnya jawatan Pengerusi PBAPP
milik orang Melayu apabila suatu ketika ia disandang
oleh Datuk Seri Ibrahim Saad (selaku Timbalan Ketua
Menteri) dan diambil alih oleh Tsu Koon ketika PBAPP
berdepan dengan krisis.
Sementara itu, Musa berkata, UMNO Bahagian Bukit
Mertajam tetap akan membawa usul penggiliran jawatan
Ketua Menteri ke Perhimpunan Agung UMNO akan datang.
Beliau berkata, usul Pemuda Bahagian itu telah
diluluskan dan kini menjadi usul UMNO Bahagian Bukit
Mertajam yang perlu dibentangkan pada perhimpunan
tersebut.
“Kami melihat isu ini penting kerana jawatan
Timbalan Ketua Menteri yang diberikan kepada UMNO
tidak mencukupi untuk membangunkan orang Melayu
secara menyeluruh,” katanya.
|
|