|
SIARAN MEDIA
16 NOVEMBER 2006
Menjauhi Sikap Keterlaluan Dalam
Menanggapi Isu-isu Agama
PEMBELA yang merupakan gabungan
pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia
menyambut baik penegasan, pandangan dan saranan
berkaitan dengan kedudukan Islam di Malaysia yang
dikemukakan oleh YAB PM merangkap Presiden UMNO
dalam ucapan perasmiannya semalam.
YAB PM antara lain mengingatkan agar semua pihak
mengelakkan pendekatan keterlaluan dalam menangani
isu-isu berkaitan agama. Pendekatan keterlaluan ini
termasuklah sama ada mengambil sikap yang beliau
istilahkan sebagai ultra-konservatif atau lawannya
mengambil sikap ultra-liberal dan permisif.
Kedua-dua sikap keterlaluan ini boleh menyebabkan
timbulnya suasana tegang dan mengancam kesentosaan
masyarakat.
PEMBELA turut berkongsi kebimbangan YAB Perdana
Menteri terhadap kemungkinan menularnya sikap
melampau isu-isu berkaitan dengan Islam dan agama di
negara kita, baik dari kalangan orang Islam ataupun
bukan Islam. Kita bersependapat bahawa dasar-dasar
kerajaan berkaitan Islam termasuk Islam Hadhari
tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk
mengemukakan tafsiran dan pendekatan Islam yang
berbentuk beku, jumud, bergaris keras dan ekstrim.
Sebarang tindakan menafsirkan ajaran agama Islam
dengan terlampau ketat atau terlalu liberal adalah
salah dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap
Islam. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa
pentafsiran dan mengenalpasti batas-batas sebenar
ajaran Islam bukanlah suatu yang perlu
dipermasalahkan. Sejak lebih 1400 tahun, melalui
tradisi keilmuwannya yang gemilang, Islam telah
menentukan sikapnya dalam pelbagai persoalan
termasuk batasan antara sikap terlampau ketat dan
terlampau longgar dalam menafsirkan ajaran agama.
Oleh itu kita harus setia kepada prinsip-prinsip dan
institusi-institusi asasi dalam Islam seperti
Ijtihad, Fatwa dan Syura dalam menentukan pendirian
kerajaan dan masyarakat dalam isu-isu agama yang
dianggap sangat sensitif dan kontroversial.
YAB Perdana Menteri juga menegaskan peri-pentingnya
semua pihak memelihara hubungan antara kaum dan
agama di negara kita dengan menjauhi sikap tidak
toleran serta tidak terus-menerus mempersoalkan
kontrak sosial yang diamalkan sesama kita. Beliau
turut mengingatkan bahawa perlunya apa-apa maklumat
berkaitan isu-isu sensitif termasuk yang berkaitan
agama ditapis dan dipastikan sebelum apa-apa sikap
dan tindakan diambil.
PEMBELA sangat mengalu-alukan kenyataan YAB Perdana
Menteri yang turut disuarakan dengan jelas oleh YAB
Timbalan Perdana Menteri dan beberapa pimpinan utama
UMNO dalam ucapan-ucapan mereka. Kejayaan kita di
Malaysia menempa kejayaan dan memelihara kestabilan
hingga ke hari ini adalah sangat bergantung kepada
kesediaan kita memelihara elemen-elemen kontrak
sosial termasuklah kedudukan agama Islam dan
institusi-institusi nya. Disamping turut menyumbang
dalam meningkatkan dan memelihara kesucian Islam di
negara kita, PEMBELA turut menegaskan komitmennya
terhadap kehidupan bermasyarakat berbilang kaum dan
agama di Malaysia. Islam mengajar dan menuntut semua
penganutnya untuk berlaku adil dan memelihara
perhubungan dan hak-hak jiran dan teman yang bukan
beragama Islam. Apa-apa masalah dan isu yang timbul
hendaklah ditangani dengan objektif dilatari dengan
semangat tolak-ansur dan toleransi yang tinggi.
Dalam realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di
Malaysia, semua pihak perlu sangat teliti dan
berhati-hati menilai apa-apa isu yang tercetus
dengan merujuk kepada fakta dan maklumat yang tepat
dan objektif.
YUSRI MOHAMAD
Pengerusi Mesyuarat PEMBELA,
dan Presiden ABIM
Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel: 603-6188 0300
Fax: 603-6189 6700
|