|
Assalamualaikum dan Selamat Siang,
Agihkanlah usaha ini kiranya sudi... dari...
http://usftamalaysia.blogspot.com/2007/01/usfta-malaysia-malayan-union-abad-ke-21.html
Sekian, wassalam...
Ikhlas,
http://usftamalaysia.blogspot.com/
USFTA Malaysia = Malayan Union Abad Ke-21?
Suatu cabaran yang diterima oleh Gabungan Rakyat
Pemantau USFTA-Malaysia dari para pemimpin pelajar
Malaysia di UK adalah untuk menjelaskan kenapakah
USFTA atau Perjanjian Perdagangan Bebas dengan US
ini dikatakan seakan-akan ancaman Malayan Union yang
ditentang oleh nenek-moyang kita dahulu. Izinkan
kami menjelaskan sedikit hujah di sebalik pendapat
ini.
Pada zaman kemenangan sistem kapitalis Barat ini,
sistem kapitalis ini sendiri menjadi senjata utama
dalam usaha membelenggu negara-bangsa lain di dunia.
Amalan ini mungkin tidak didukung oleh semua negara
Barat, tetapi Amerika Syarikat, sebagai kuasa besar
utama di dunia sekarang dari segi ketenteraan,
mahupun saiz ekonominya, tetap mengamalkan
penjajahan kapitalisma, atau Colonial Capitalism.
Namun, penggunaan kekuatan ekonomi dan perdagangan
sebagai senjata bukanlah amalan baru. Seawal kurun
ke 16 sekalipun, para penjajah Portugis telah
menjelajah ke India dan Asia Tenggara dengan laungan
God, Gold and Glory, atau Tuhan, Emas dan Keagungan.
Usaha mereka berdasarkan kehendak untuk menggoncang
kekuatan ekonomi para saudagar Islam di laut
Mediteranian pada masa itu yang berupaya menyekat
usaha penjajahan negara-negara Islam oleh
kuasa-kuasa Eropah. Mereka diikuti kelak oleh
penjajah Belanda, Sepanyol, Perancis dan Inggeris.
Pada zaman Rasulullah S.A.W. sendiri, sektor ekonomi
merupakan tumpuan baginda sejurus selepas
membangunkan Masjid di Madinah. Baginda berusaha
membuka jalan aktiviti perniagaan oleh
pengikut-pengikutnya, dan membebaskan masyarakat
dari belenggu riba para pemiutang yang lazimnya dari
golongan Yahudi. Malah, kemajuan Madinah sebagai
pusat perniagaan yang kian bersaing dengan Mekahlah
antara sebab tercetusnya perang Badar di antara
masyarakat Islam Madinah dengan Kaum Quraish Mekah.
Merujuk kepada buku The Principles Of Islamic
Economic System oleh Yusuf Kamal, jelas dalam Islam
bahawa aktiviti ekonomi tidaklah dilakukan secara 'bebas',
tetapi haruslah menurut garis-panduan agama. Menurut
prinsip Islam, sistem ekonomi haruslah memberikan
manfaat kepada seluruh pelusuk masyarakat dan
melindungi dari ketidak-seimbangan ekonomi. Ini
kerana kemakmuran sejagatlah jalan cara memastikan
seluruh masyarakat berupaya menunaikan tanggungjawab
agama tanpa dibelenggu oleh kesempitan hidup.
Maka, Islam tidak membolehkan sistem ekonomi yang
menyebabkan kepapaan sesuatu golongan masyarakat.
Antara lain, ini kerana:
Golongan yang tersepit di jurang kemiskinan mungkin
tiada masa dan tenaga untuk menunaikan ibadah asas
sekalipun, seperti sembahyang, kerana hidup kais
pagi-malam yang tidak berkesudahan.
Golongan tersebut juga mungkin terpaksa melakukan
perkara yang berdosa seperti pencurian, pelacuran,
mahupun pembunuhan, sekiranya dibiar tersepit, dan
ini mungkin juga akan menghindar masyarakat secara
amnya dari melakukan ibadah sebanyak yang mungkin.
Berdasarkan prinsip mudah dan indah ini sahaja,
konsep USFTA-Malaysia, yakni perjanjian perdagangan
bebas tidaklah sesuai menurut lunas-lunas Islam dari
segi prakatanya sekalipun. Dari segi intipati, ia
juga menimbulkan kebimbangan, kerana beberapa fakta
sejarah dan perundangan tentang kesan USFTA ini.
Antara lain:
Ia memberi kebebasan bagi syarikat US untuk
melakukan aktiviti ekonomi dan perdagangan di
Malaysia secara bebas seakan-akan syarikat tempatan.
Ini memberi kelebihan besar kepada syarikat US,
kerana syarikat-syarikat gergasi mereka lazimnya
berupaya menindih-lumatkan syarikat-syarikat
tempatan, baik yang kerdil mahupun yang besar oleh
kerana kekuatan kewangan dan sokongan syarikat induk
mereka yang berpaut kepada pasaran besar di US.
Walaupun syarikat-syarikat US mungkin kemudian
perupaya mengambil tempat syarikat tempatan yang
sudah ditewaskan, bagi meraih keuntungan, pastinya
syarikat-syarikat US tersebut akan bertindak
mengurangkan kos dari segi jumlah pekerja,
mengurangkan gaji, pemindahan aktiviti seperti
pembuatan, akaun dan sebagainya ke negara yang
kosnya lebih rendah dan kemungkinan sekali menaikkan
harga barangan sesudah kesemua saingan tempatan
berjaya ditewaskan.
Hasil dari penguasaan ekonomi oleh syarikat US ini
mungkin termasuk penurunan harga barang. Tetapi,
pada masa yang sama, kadar pengangguran juga akan
meningkat hasil pengurangan jumlah pekerja dari
sektor yang diambil alih oleh syarikat US tersebut.
Ini mungkin memberi keuntungan kepada majoriti
rakyat, tetapi ia tidak memastikan atau mengesyorkan
akan berlaku keadilan ekonomi sejagat seperti
dituntut Islam. Di negara-negar Amerika Selatan,
terlihat jurang miskin-kaya mendadak meluas selepas
USFTA.
Pada peringkat yang paling ekstrim sekali, syarikat
US juga berupaya meninggalkan Malaysia dan menarik
balik segala pelaburannya dengan lebih bebas pada
bila-bila masa menurut prinsip perdagangan bebas.
Ini mungkin tidak berapa berkesan pada peringkat
awal, tetapi lambat-laun, sekiranya USFTA
membenarkan syarikat US menguasai sektor-sektor
penting ekonomi sehingga tiada syarikat tempatan
yang kekal dalam sektor-sektor tersebut, apakah akan
berlaku sekiranya syarikat US mengambil keputusan
untuk 'gulung tikar' di Malaysia dengan
sewenang-wenangnya? Siapakah akan mengisi lubang di
sektor tersebut bukan sahaja dari segi pembuatan
keperluan tersebut, tetapi juga dari segi memberi
pekerjaan dan sumber pusingan wang dan pembangunan
ekonomi negara?
Turutan kejadian yang digambarkan di atas mungkin
kelihatan sebagai usaha menakut-nakutkan masyarakat,
tetapi, yang lebih menakutkan adalah bagaimana apa
yang digambarkan diatas pernah dan masih terjadi di
negara-negara lain yang sudah pun memetrai USFTA
mereka! Ini bukan sahaja berlaku di negara membangun
seperti di Mexico dan negara-negara Amerika Selatan,
tetapi teman intim Amerika Syarikat, Australia juga
tertindas! Dialih-bahasa dari http://www.bilaterals.org/IMG/pdf/Overview.pdf:
"USFTA memaksa Australia memberi monopoli hakcipta
yang lebih kuat kepada syarikat perubatan Amerika
Syarikat, secara langsung menjejaskan Skim
Keruntukan Perubatan Australia (PBS).... Setahun
selepas FTA berjalan, perdebatan hebat berlaku di
Australia kerana kesannya. Statistik menunjukkan
barangan impot US ke Australia sudah melambung naik,
akan tetapi barangan ekspot Australia ke US turun
menjunam. Tambahan pula, walaupun satu pertiga
syarikat pembuatan ubat "generic" (lupus hakcipta)
Australia sudah ditutup selepas USFTA, syarikat
perubatan US masih tidak senang dengan undang-undang
yang masih melindungi Skim Keruntukan Perubatan
(PBS) dan bergerak untuk menghapuskannya sama sekali!"
Jika Amerika Syarikat berupaya berlaku secara kejam
terhadap rakyat teman intimnya, Australia, dengan
dasar USFTA yang kian mengurangkan kemudahan untuk
masyarakat termiskin, apakah mungkin mereka akan
was-was untuk bertindak sedemikian terhadap
masyarakat Malaysia selesai USFTA dimulakan?
Dokumen yang sama juga memberi penjelasan bagaimana
Amerika Syarikat secara terbuka mengejar USFTA
dengan niat mengunci dasar luar dan politik
negara-negara tertentu di arena antarabangsa.
Contohnya, usaha USFTA di Timur Tengah dengan jelas
bertujuan:
Menambahkan pengaruh Amerika Syarikat dalam
peperangan mereka "menentang ekstrimis"
Menghalang usaha "Arab League" penentang perbuatan
rejim Israel
Maka, USFTA bukan sahaja membuka jalan terhadap
penindasan ekonomi, tetapi jelas membuka jalan ke
arah penjajahan dasar luar dan politik Malaysia oleh
Amerika Syarikat, yang dalam sejarah FTA-nya jelas
menyelit niat tersirat di sebalik
perjanjian-perjanjian dua-halanya. Memandangkan
sistem ekonomi adalah antara penentu masa-depan
bangsa, USFTA sebagai pembolos perlindungan ekonomi
negara dari pengaruh langsung ekonomi US dengan
sendiri membawa kebimbangan. Tetapi, dua fakta
seperti digambarkan diatas jelas menambah
kebimbangan:
Amerika Syarikat dan syarikat-syarikatnya tiada rasa
tanggungjawab terhadap masyarakat Malaysia dalam
percaturan ekonomi mereka. Pada mereka, kita akan
dilayan semata-mata sebagai pengilang atau pembeli,
bukan rakan-kongsi, dan boleh dilumatkan sesuka hati.
Amerika Syarikat lazimnya ada maksud tersirat untuk
mempengaruhi dasar politik dan luar negara di
sebalik USFTA-nya.
Bukankah seakan-akan Malayan Union kelihatannya
USFTA ini, sebagai agen penjajahan ekonomi Malaysia
oleh Amerika Syarikat? Cukupkah ini sebagai huraian
untuk mengesyorkan pembaca yang USFTA harus dipantau,
malah ditentang dari dilaksanakan?
Setidak-tidaknya, bukankah USFTA ini bertentangan
dengan lunas-lunas dan prinsip ekonomi Islam kerana
kebebasannya yang tidak menjamin keadilan ekonomi
sejagat di dalam masyarakat?
|