|
Saudara Editor1/Anuar
PFI satu istilah yang seronok didengar. Persoalan Adakah PFI
bermakna tanggungan pembangunan projek adalah seratus peratus
swasta dan bebas dari bebanan kewangan awam?
Apa makna projek PFI - singkatan untuk Private Finance
Initiative? Secara mudah faham, ia bermaksud projek yang
pembiayaannya dimulakan oleh pihak swasta. Mungkin apa yang
kebanyakan orang faham ialah projek yang dibiayai oleh pihak
swasta.
Untuk memastikan apa yang sebenarnya maksud dan implikasi projek
PFI, saya perturunkan kenyataan YAB Perdana Menteri sepertimana
disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia 3hb Ogos 2006.
Sambil mengulas mengenai kaedah PFI, kenyataan itu menyebut
risiko kewangan projek ditanggung oleh pihak swasta dan
kerajaan boleh menggunakan kepakaran serta kecekapan sektor
swasta untuk melaksanakan projek infrastruktur yang kompleks
seperti projek-projek berkenaan.
Kerajaan juga, katanya akan memberikan sokongan dan
mempermudahkan mana-mana pihak swasta yang akan melaksanakan
projek-projek berkenaan.
Ini juga membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkemaskan lagi
program penswastaan melalui pelaksanaan PFI sambil menggalakkan
lagi sektor swasta untuk memimpin penjanaan ekonomi, katanya.
Pembiayaan PFI, sebahagiannya sebanyak RM20 bilion akan
disalurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bandingkan para pertama risiko kewangan projek ditanggung oleh
pihak swasta dengan para terakhir Pembiayaan PFI, sebahagiannya
sebanyak RM20 bilion akan disalurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP). Siapa biaya siapa? Sapa tanggung siapa dan apa?
Tidak lupa juga dengan para kedua - Apakah bentuk sokongan yang
akan diberikan dan bagaimana pula Kerajaan hendak mempermudahkan
pihak swasta melaksanakan projek-projek mega.
Dalam pentadbiran terdahulu, Kerajaan dilihat sebagai pelanggan
yang bodoh kerana diperbodohkan oleh pihak swasta. Dulu, pihak
swasta menyembah Kerajaan untuk meluluskan projek mega mereka
tetapi dengan syarat Kerajaan masukkan kepala ke tali gantung.
Apa jadipun mereka tidak akan rugi. Yang rugi hanya Kerajaan.
Kerajaan bagaimanapun sanggung meletakkan leher ke tali gantung
kerana mereka yakin pengundi tidak akan mengantung mereka.
Mungkin kerana tidak mahu dilihat diperbodohkan terus, Kerajaan
pimpinan masa kini menggunakan istilah PFI. Akhirnya, permainan
kong kali kong masih berterusan. Yang sebenarnya bodoh ialah
pengundi yang percaya dengan orang-orang yang mereka undi
mungkin atas dasar biar menjadi bodoh dari membuat pilihan yang
salah.
Orang bodoh mana mungkin buat salah?
Kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih mudah. Kalau
pihak swasta begitu yakin dengan projek-projek yang mereka
cadangkan dan laksanakan dengan pembiayaan sendiri, mengapa pula
JPM/EPU perlu bersusah payah menjalankan kajian? Apa perlunya
JPM/EPU meneliti projek-projek tersebut? Bukankah kita sudah ada
pelan perancangan nasional yang boleh dijadikan panduan untuk
semua projek pembangunan yang sesuai? Apakah pelan itu hanya
untuk hiasan dan melengkapkan kerja dan belanja?
Apa kena mengena kerajaan mengarahkan kajian sosioekonomi atau
apa-apa kajian sekalipun berkenaan projek yang sepatutnya
diusahakan oleh swasta? Duit dia, usaha dia, biarlah dia buat?
Dan sebarang kajian yang diperlukan oleh Kerajaan hendaklah
disediakan oleh dia. Tidakkah lebih banyak projek boleh
diusahakan oleh swasta kalau JPM/EPU tidak campur tangan? Yang
penting semua kementerian, jabatan dan agensi yang
dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan pembangunan
bergerak melaksanakan tanggungjawab mereka. Dan pihak media pula
memainkan peranan mereka memantau agensi yang seharusnya
memantau pelaksanaan.
Dulu Kerajaan kena belanja untuk mengutip cukai.Dengan
pendekatan ini, kalau projek berjaya dan menguntungkan, Kerajaan
dapat pungut cukai tanpa mengeluarkan belanja. Kalau projek
tidak berjaya, Kerajaan pun tak rugi apa-apa.
Setidak-tidaknya, orang Melayu yang tanah mereka kena yang kalau
pendekatan masa kini kena ambil dengan pampasan yang ala kadar,
boleh mendapat nilai yang lebih baik. Yang lebih penting,
projek-projek mega yang hendak dilaksanakan pastinya adalah
projek yang menguntungkan mereka yang memula, melaksana dan
mengusahakannya.
Nota: Mana ada tanah orang bukan Melayu yang di ambil untuk
pembangunan? Kalau ada, berapa banyak dan bandingkan pampasan
yang mereka dapat berbanding orang Melayu.
Zulkefli Zain Datok Hj Zainal Zain.
|
2 projek besar dilulus -- Bina monorel, Jambatan
Kedua P. Pinang di bawah PFI – Abdullah
Oleh Habibah Omar Utusan malaysia
PUTRAJAYA 2 Ogos – Kabinet bersetuju melaksanakan
dua projek besar iaitu pembinaan Monorel Pulau
Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang melalui
Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) di bawah Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
hari ini turut mengumumkan kerajaan akan mengkaji
cadangan pembinaan projek Kereta Api Laju Kuala
Lumpur dan Singapura menerusi kaedah sama.
Bagi projek Monorel Pulau Pinang, syarikat-syarikat
yang layak akan diundang untuk mengemukakan Kertas
Cadangan (RPF) pelaksanaannya, kata beliau yang juga
Menteri Kewangan dalam satu kenyataan yang
dikeluarkan pejabatnya di Putrajaya.
“Bagi projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, konsesi
untuk membina, mengurus, mengendali dan
menyelenggara projek berkenaan akan diserahkan
kepada UEM Group kerana syarikat itu adalah pemegang
konsesi Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada.
“UEM juga merupakan sebuah syarikat yang mempunyai
banyak kepakaran dan pengalaman dalam perkara ini,”
jelas beliau.
Untuk cadangan yang diberikan oleh sebuah syarikat
kumpulan infrastruktur, YTL mengenai pembinaan
Kereta Api Laju Kuala Lumpur dan Singapura baru-baru
ini, beliau berkata kerajaan memandang positif
terhadap cadangan tersebut.
Namun, katanya, kerajaan akan mengarahkan satu
kajian sosio ekonomi dilakukan bagi melihat impaknya
kepada kepentingan negara sebelum projek itu
diteruskan.
Sambil mengulas mengenai kaedah PFI, kenyataan itu
menyebut risiko kewangan projek ditanggung oleh
pihak swasta dan kerajaan boleh menggunakan
kepakaran serta kecekapan sektor swasta untuk
melaksanakan projek infrastruktur yang kompleks
seperti projek-projek berkenaan.
Kerajaan juga, katanya akan memberikan sokongan dan
mempermudahkan mana-mana pihak swasta yang akan
melaksanakan projek-projek berkenaan.
“Ini juga membuktikan komitmen kerajaan untuk
memperkemaskan lagi program penswastaan melalui
pelaksanaan PFI sambil menggalakkan lagi sektor
swasta untuk memimpin penjanaan ekonomi,” katanya.
Pembiayaan PFI, sebahagiannya sebanyak RM20 bilion
akan disalurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP).
|
|