KENYATAAN
AKHBAR : MENTERI PEGANG SAHAM DALAM JUDI DI BUKIT TINGGI
Zuleda- Ptg Pauh
22-05-2003
Saya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri mengenai perjudian di Bukit
Tinggi, Pahang seperti yang disiarkan oleh akhbar utama hari ini, 21 Mei 2003;
a. Perjudian di Bukit Tinggi ialah judi mesin slot dan bukannya kasino
b. Bahawa operator Bukit Tinggi Resort telah menyalahgunakan kelulusan judi
untuk kelab.
1. Memang benar bahawa Bukit Tinggi Resort telah mendapat kelulusan judi 250
mesin slot dan bukannya lesen kasino. Namun, perjudian adalah tetap perjudian
walau apa pun bentuknya. Bahkan, mengikut setengah pihak, perjudian mesin slot
lebih menguntungkan operator kerana peminatnya adalah dari pelbagai lapisan
pendapatan dan usia. Dengan itu, ia lebih memudaratkan masyarakat dari judi
kasino. Oleh itu, menjadi tanggung jawab moral kerajaan menjelaskan apa
perlunya lesen perjudian diberikan kepada Bukt Tinggi Resort.
2. Semakan kami mendapati bahawa antara pemegang saham Bukit Tinggi Resort
ialah;
a. YM Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
dengan jumlah saham 63.859 juta saham
b. Anak syarikat kerajaan negeri Pahang, Pasdec Corporation dengan 45.546 juta
saham
3. Dengan pemilikan saham oleh menteri kabinet yang rapat dengan YAB Perdana
Menteri adalah sangat disangsikan tujuan sebenar kelulusan perjudian ini
dikeluarkan. Ia juga menggambarkan pertentangan tanggungjawab moral anggota
kabinet dalam mewujudkan masyarakat bermoral dengan penglibatannya dalam
perjudian, walau dalam apa juga bentuk.
4. Penjelasan YAB Menteri Besar Negeri Pahang, YAB Dato' Adnan Yaakob bahawa
beliau tidak mengetahui kelulusan lesen perjudian di Bukit Tinggi dengan
sendirinya amat meragukan. Sebagai Pengerusi PKNK yang menjadi syarikat induk
kepada Pasdec Corporation, bagaimana mungkin beliau tidak mengetahui
perkembangan yang berlaku di Bukit Tinggi.
5. Oleh kerana Tabung Haji mempunyai saham dalam Pasdec Corporation, adalah
wajar kerajaan bertindak sewajarnya.
Sekali lagi, kelulusan lesen judi tambahan yang bertapak di Pahang tidak dapat
dipertahankan justifikasi moralnya. Ia mungkin hanya bertujuan membantu Bukit
Tinggi Resort menjelaskan tanggungannya yang berjumlah melebihi RM 285 juta.
Tindakan sewajar dan bijaksana dengan mengambil kira moral rakyat negara kita
dari YAB Perdana Menteri amatlah diharapkan.
21 Mei 2003
Husam Haji Musa
Ahli Dewan Rakyat Kawasan Kubang Kerian
YB Saifuddin Nasution
ADUN Kedah bagi Kawasan Lunas
Dr Abdul Wahab Ismail, Setiausaha Perhubungan PAS Pahang.
- drp Zuleda- Ptg Pauh