Sdr Ahmad Albab… rasionalkah minda ? 
Oleh: Zuleda-Ptg Pauh.

Apabila meneliti penulisan AA yang “menyerang” saudara Ghazali secara emosional,  pada saya, ia menggambarkan  tahap pemikiran sebilangan ahli umno yang jumud. Tidak dapat  menerima pandangan kedua daripada pihak yang tidak sehaluan. Mungkin kerana terlalu taksub dengan maklumat yang diyakininya, sdr AA dilihat tidak berupaya  melakukan analisis perbandingan antara maklumat yang diperolehinya dengan “maklumat baru” daripada pihak kedua. Jika objektifnya untuk mencari kebenaran,  sdr AA yang mewakili sebahagian ahli umno, perlu membuat analisis secara rasional bukannya emosional.

Kes DS Anwar umpamanya, bukan setakat menguji sistem perundangan negara, malah turut mencabar tahap pemikiran rakyat keseluruhannya.  Dalam hal ini, saya hormati prinsip sdr Ghazali iaitu membuat analisis berdasarkan maklumat daripada segala sumber sebelum membuat pendiriannya. Tidak ramai yang berupaya berbuat demikian, lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan parti yang diwakilinya.

Saya bukanlah ahli politik, tetapi sangat berminat mengikuti perkembangan politik tanah air. Saya meneliti perkembangan parti politik pemerintah dan pembangkang. Selepas tragedi 2hb September 1998 , menjadikan saya lebih berminat  untuk  mencari kebenaran dalam isu ini. Saya mendampingi  rakan-rakan dalam umno dan  pembangkang untuk mengumpulkan maklumat. Bersama rakan-rakan, kami membuat  kesimpulan  bahawa maklumat yang diperolehi sama ada daripada sumber umno atau pembangkang, tidak begitu sahih dan menyakinkan. Sama ada Anwar bersalah atau tidak akan ditentukan di mahkamah, kerana di sanalah akan didedahkn segala-galanya. Keyakinan saya semakin bertambah, apa bila PM menyatakan bahawa beliau mempunyai bukti kukuh tentang salah laku Anwar.

Dan apabila mahkamah menjalankan perbicaraannya,  segala-galanya terbongkar. Meskipun mahkamah mensabitkan Anwar bersalah, namun hati kecil saya menyatakan sebaliknya. Asasnya mudah, terlalu banyak kepincangan dan keraguan yang timbul dalam pertuduhan tersebut.  Daripada “perkara yang dianggap remeh temeh” sehinggalah kepada saksi utama kes itu. 

Azizan tidak pernah disahkan di mahkamah oleh mana-mana pakar perubatan dia telah diliwat. Lebih-lebih lagi apabila Azizan mengaku sebanyak 3 kali di mahkamah dia tidak pernah diliwat Anwar apabila ditanya peguam Fernando. Begitu juga dalam kes Sukma, yang diperiksa oleh Dr Zahari Noor, pakar forensik yang merupakan saksi pendakwa, mengesahkan di mahkamah tiada tanda-tanda Sukma pernah diliwat. 

Lebih menghampakan lagi apabila PM yang mendakwa mempunyai bukti kukuh gagal hadir ke mahkamah meskipun telah disapina sebanyak 2 kali. Apa yang agak “melucukan”, soalan daripada peguam telah diberikan terlebih dahalu.  Maka saya beranggapan, ketidakhadiran beliau ke mahkamah, membenarkan  kata pepatah kita “ Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah”. Begitu juga, bukti lain yang “dipadamkan” dalam media arus perdana kita, iaitu alibi DS Anwar yang dikemukakan di mahkamah tidak pernah dicabar oleh para pendakwa.  

Saya yakin, jika beberapa  persoalan dan kekeliruan itu terjawab di mahkamah, umno tidak perlu bersusah payah mengedarkan secara percuma  VCD “salah laku Anwar” untuk menyakinkan ahlinya dan rakyat keseluruhannya bahawa Anwar sememangnya bersalah. VCD yang tidak pernah dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti itu, seperti mana kata sdr Ghazali hanyalah sebagai bahan propaganda dan perang saraf pilihanraya.

Ada rakan-rakan saya dalam umno berpendapat, Anwar bukannya maksum jadi tidak mustahil dia melakukan perkara terkutuk itu. Maka jawab saya, “PM juga bukannya maksum, tidak mustahil dia juga boleh membuat fitnah seberat itu”.

Saya masih terkeliru dengan pemikiran sebahagian ahli umno. Satu ketika mereka mempercayai tuduhan dalam buku “50 Dalil” karya Khalid Jeffri dan kini mereka juga melabelkan Khalid pembawa fitnah kerana membongkar skandal Ketua Puteri Umno …!

Sememangnya sebahagian besar ahli umno perlu direformkan minda, bukan sekadar mengangguk apa yang pemimpin kata.

Sdr Ghazali… teruskan perjuangan anda !!