PULANGLAH
UMNO !! Siapakah Kita ??
Zuleda-Permatang Pauh.
18.5.2003
Apabila membaca “Pulanglah Umno” keluhan A Zainal, ahli Umno Ampang, terlintas dalam fikiran aku, berapa ramai ahli umno yang sealiran dengannya ? Golongan seperti A Zainal ini, majoriti atau minoriti dalam Umno ? Berapa ramai ahli Umno yang berani berterus terang dan bersuara secara terbuka meluahkan pendapat sebegini. Berapa banyak media massa arus perdana yang berani mengambil risiko menyiarkan keluhan ahli akar umbi ini ? Usahkan di media arus perdana, dalam laman web Umno Online sendiripun tidak berani menyiarkannya, apatah lagi mengkritik kepimpinan.
Itulah …realitinya betapa bacul pemimpin Umno untuk menerima kritikan daripada ahli-ahlinya. Dan betapa baculnya ahli hendak mengkritik kepimpinan. Sememangnya ahli-ahli Umno telah terdidik menjadi Pak Turut dan Pak Ampu dari dulu, kini dan mungkin selamanya. Dan begitu jugalah kepimpinan umno diasuh untuk mendengar pujian dan ampuan daripada ahli-ahlinya sahaja. Ahli yang kuat mengampu habuannya pun tentu besar !!
Keluhan dan ketidakpuasan hati saudara Zainal hanya mampu tersimpan jauh di sudut sanubari, dan sekarang ini diluahkan melalui Umno reform. Saudara sendiri mengakui “ Bahawa ahli umno terpaksa menipu untuk melindungi dosa kepimpinan Umno.” Mengapa ahli umno sanggup melakukan “pergorbanan menipu” yang sia-sia ini ? Jika kepimpinan yang menyeleweng ini terus disokong, bukankah ini bererti ahli-ahli umno turut bersekongkol dengan penipuan yang dilakukan kepimpinan ? Jadi bilakah pemimpin seumpama ini akan insaf, kerana dia terus mendapat sokongan meskipun terus menipu ahlinya ? Seruan saudara supaya umno direform agar kembali ke pangkal jalan sudah tidak relevan berdasarkan realiti politik umno dewasa ini…. aku cukup yakin dalam hal ini !!!
Namun begitu, secebis tahniah patut dihulur kepada Umno Reform kerana masih ada sisa-sisa keberanian untuk mereformasikan Umno dari dalam. Tetapi jika diamati sejarah Umno mutakhir ini, bukan sahaja sukar untuk direformkan tetapi terlalu mustahil untuk direalisasikan. Terlalu banyak bukti dan fakta yang menyokong kenyataan ini. Lihatlah apa yang terjadi pada Anwar. Begitu juga dengan Elly yang digantung keahlian puteri, kerana cuba mereformkan puteri dengan mendedahkan salahlaku ketuanya.
Dengan hanya perang di alam cyber ini, rasaku tidak memberi bekas kepada pengampu umno yang bersepah di sana. Laman KMU, umpamanya, yang jelas ditaja oleh “kepimpinan tertinggi umno” , sendiri tidak dapat menerima kritikan daripada umno reform. Umno reform dianggap oleh golongan “pelampau Umno” sebagai tali barut pembangkang. Kritikan membina terhadap umno akan dianggap sebagai kritikan menghina umno. Selagi golongan ini bersepah dalam umno …. Jangan haraplah umno boleh direform dari dalam.
Sdr. Zainal, niat mulia saudara itu, aku yakin tidak mungkin terlaksana. Siapakah saudara jika dibandingkan dengan bekas Timbalan Presiden Umno yang telah dihina dan difitnah sebegitu rupa ? Anwar telah membuktikan bahawa Umno tidak boleh direformkan …… jadi Siapakah Saudara ??… tepuk dada tanya selera !!!
Aku teringat seruan daripada seorang rakanku dalam BTN (Biro Tatanegara ). Katanya, umno perlu dianggotai seramai mungkin ahli agar boleh mereformkannya dari dalam. Dia cukup yakin dengan pendiriannya itu. Dan soalan yang sama ini jugalah yang kutanyakan kepadanya : “ Siapakah Kita Jika Nak Dibandingkan Anwar ?“ Tergamam dia.