Pulang
lah UMNO
A.Zainal (ahli UMNO Ampang Selangor)
18-05-2003
Membaca apa yang tertulis dan arah yang di bawa oleh laman web umno-reform.com mengajak saya untuk menulis dan memberi sedikit pendapat mengenai umno sekarang ini.
Saya bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh umno-reform dan biarlah saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah. UMNO perlu melihat dan bertanyakan sama ada UMNO sudah berkembang atau kini mengucup dari segi sokongan.
Kita, setiap hari pasti akan mendengar laungan pemimpin yang mengatakan bahawa UMNO sudah di terima, sudah mula di terima semula dan kini sudah menjadi sinonim dengan perjuangan orang-orang Melayu. Itu kata mereka, tetapi dari sudut kebenarannya saya percaya UMNO sendiri gusar dan ragu terhadap sokongan orang-orang Melayu terhadap UMNO.
Ahli-ahli UMNO di peringkat mana pun sedar sokongan terhadap UMNO sudah berkurangan dan kekurangan ini adalah angkara beberapa keputusan dan tindakan kepimpinan UMNO yang menyelekoh dari landasan perjuangan UMNO sebenarnya.
Umno perlu mengkaji siapakah sebenarnya dalang yang menjadi penghalang dari AUMNO terus di sokong. Kesalahan apakah yang di lakukan oleh kepimpinan sehingga kami dalam UMNO agak sukar bertindak sebagai tiang-tiang UMNO yang menyokong UMNO dari terus rebah.
Bermula dari pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga sekarang ini UMNO masih terus di landa kegawatan. UMNO terpaksa berhempas pulas menggunakan segala jentera yang ada untuk terus meletakan UMNO sebagai kerajaan memerintah sedangkan jalan bagi menguatkan sokongan UMNO adalah mudah dan jelas. UMNO tidak perlu lagi bertindak semberono sekiranya pendekatan "pulang ke asal" di lakukan.
Saban hari kepimpinan UMNO perlu memastikan agar UMNO terus relevan. Rayuan sokongan di buat setiap hari seolah-olah UMNO sekarang memerlukan publisiti yang banyak untuk orang kembali menerima UMNO. Ini adalah realiti keadaan kerana UMNO bukan sahaja perlu menguatkan jenteranya malah terpaksa bertindak untuk menutup segala kesilapan kepimpinan yang ada.
Secara ringkasnya ahli UMNO terpaksa menipu bagi melindungi dosa kepimpinan mereka.
Oleh itu satu ubat yang mujarab untuk UMNO lakukan adalah pulang ke pangkuan jalan. Ahli UMNO harus membuka mata dan membuat keputusan drastik. Kita ubah pendekatan UMNO dan kita lakukan perubahan dalam UMNO sendiri. Kita hentikan pautan kita kepada kepimpinan yang hanya mahukan UMNO untuk memuaskan naluri hidup mereka dan tidak bertindak untuk rakyat dan kepentingan rakyat.
Kita lakukan reformasi dalam UMNO seperti yang di sarankan oleh laman ini.
Hanya ini yang dapat membantu memulihkan semula UMNO.