|
Tiada
lesen kasino untuk Bukit Tinggi - PM Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak pernah memberi lesen kepada pemaju projek peranginan di Bukit Tinggi untuk mengendalikan kasino seperti yang didakwa oleh pembangkang. Perdana Menteri berkata, pemaju itu sebaliknya telah menyalah guna kebenaran untuk mengendalikan mesin slot khas bagi ahli kelab dengan membenarkannya digunakan oleh pengunjung awam. "Tidak ada kasino, saya tak tahu siapa yang panggil kasino. Sebenarnya kita beri lesen untuk mesin slot satu lengan itu sahaja, seperti yang diberikan kepada kelab lain untuk membantu mereka membiayai kelab.
'Mereka mesti menghentikannya dan saya sudah beritahu mereka supaya menghentikannya,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Lembah Bio Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas usaha parti pembangkang menggunakan isu mesin slot di Bukit Tinggi itu yang didakwa sebagai pusat kasino kedua di negara ini untuk memburukkan kerajaan. Mereka menuduh kerajaan meluluskan lesen bagi pusat operasi kasino di Bukit Tinggi walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk rakyat Pahang. Perdana Menteri berkata: "Ia bukannya kasino, bukannya seperti Genting Highlands. Tetapi ada orang, untuk memberikan gambaran buruk mengenai kerajaan, panggil dia kasino.'' "Kita tidak ada lagi memberikan lesen kasino,'' tegasnya. |