PUAS
: "BAYARAN ANSURAN TIDAK DI TERIMA"
Ghazali Mat Dom
22-05-2003
Melangkah ke Pejabat Pembayaran Perbadanan Urus Air Selangor benar - benar mengejutkan saya. Mendaki Tingkat 1 Perbadanan Urus Air Selangor, terpapar satu kenyataan " BAYARAN ANSURAN TIDAK DI TERIMA" . Ertinya tidak ada kompromi, tidak boleh merayu dan sekiranya tidak dapat bayar - tidak ada air untuk kamu, anak kamu dan keluarga kamu.
Di waktu yang sama, hari ini kita ada pakej rangsangan ekonomi dengan dana berjuta-juta kepada ICT (Capital Ventures),syarikat-syarikat menggalakkan perlancongan dan sebagainya.
Di waktu yang sama juga kita amat perihatin tentang pinjaman rakyat terhadap ceti - ceti haram dan pelbagai komen dan usaha di ambil untuk membantu agar mereka tidak bertindak mendapatkan pinjaman dari ceti haram.
Dapatkah kita sebenarnya membuat kesimpulan dari usaha - usaha kita membasmi pinjaman haram ini. PUAS sendiri tidak memberi ruang untuk berkompromi bagi bil air khusus untuk pengguna persendirian masakan mereka tidak menoleh kepada ceti - ceti haram untuk pinjaman.
Apakah yang sebenarnya berlaku? Apakah ansuran pembayaran langsung tidak di benarkan biarpun punat menutup bekalan air masih di tangan mereka.
PUAS atau BUAS kah mereka yang tidak langsung boleh berkompromi dalam isu pembayaran air yang telah di potong!
Dalam perkara ini kita harus meninjau betapa rakus nya kita bila mana ianya berhubung dengan kesusahan rakyat. Kita bukan buta dengan pembelian semula syer-syer yang mampu bukan sahaja menyelamatkan individu malah terus memberi kesenangan kepada yang sudah kaya tetapi bila ianya adalah hutang kecil rakyat, kita terus menekan tanpa sebarang nilai kesian.
Saya percaya banyak cara kompromi pembayaran boleh di lakukan oleh PUAS dan PUAS mampu menjana keuntungan beribu-ribu juta ringgit dari penjualan air kurniaan Allah SWT itu.
Saya juga agak tertarik dengan harga rawatan air yang mencecah 1 billion ringgit yang di bayar kepada Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Air Selangor dan Konsortium Abas. Saya percaya dalam pembayaran itu banyak perkara yang sebenarnya dapat di kurangkan kalau kita perihatin kepada rakyat dan TIDAK hanya melihat kepada rakyat untuk menaikkan keuntungan syarikat.
Apa pun kenyataan seperti TIDAK DI BENARKAN BAYARAN ANSURAN di Pejabat PUAS Bangsar hanya menampakkan sikap kesombongan mereka.
Saya benar - benar menyeru kerajaan bagi setidak - tidaknya membenarkan semua bentuk kompromi bagi bayaran bil individu.