www.umno-reform.com - laman yang menerima lebih dari 150,000 pelayar sehari


MEMORANDUM MAHASISWA MENUNTUT JAMINAN SPR KEPADA PILIHANRAYA YANG ADIL, BERSIH DAN SAKSAMA
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
bbmn@hotmail.com 

Kepada, 

Tan Sri Abdul Rashid bin Abdul Rahman Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia Abdullah bin Abdul Rahman Pegawai Pilihanraya Negeri Selangor

Diserahkan pada 10 Mac 2004, Rabu di Pejabat SPR Selangor, Wisma PKNS, Shah Alam.

MEMORANDUM MAHASISWA MENUNTUT JAMINAN SPR KEPADA PILIHANRAYA YANG ADIL, BERSIH DAN SAKSAMA

MUQADDIMAH Pilihanraya merupakan satu mekanisma terpenting dan salah satu daripada prinsip utama dalam demokrasi. Penglibatan di dalam pilihanraya merupakan hak dan pada masa yang sama menjadi kewajipan bagi setiap rakyat. Pilihanraya merupakan institusi utama ke arah melahirkan sebuah kerajaan yang demokratik. Ini adalah kerana kekuasaan sesebuah kerajaan adalah melalui sokongan dan pemilihan rakyat. Justeru, mekanisma ke arah menterjemahkan doktrin tersebut adalah melalui Pilihanraya yang Adil dan Bebas.

Semua negara yang membawa slogan demokrasi melaksanakan pilihanraya. Tetapi tidak semua pilihanraya yang dilaksanakan adalah bersifat adil dan bebas. Ada negara yang mengamalkan sistem pilihanraya tetapi pilihanraya yang diamalkan adalah seperti bersifat dictator (right-wing dictatorship), regim Marxist dan hanya satu parti yang memerintah (single-party governments) yang sebenarnya tidak membawa erti pilihanraya yang adil dan bebas.

Ada jenis pilihanraya yang diadakan hanya menyediakan calon-calon dari hanya satu parti atau calon-calon yang dipersetujui oleh kerajaan sahaja. Calon-calon dari parti pembangkang akan dihalang dengan apa cara sekalipun agar rakyat tidak dapat atau enggan untuk memilih mereka. Ini sekaligus tidak memberikan ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan melainkan senarai terhad yang ada sahaja. Ini juga membawa erti kepada pilihanraya yang tidak adil dan bebas serta tidak demokratik.

PENDIRIAN MAHASISWA Mahasiswa dengan ini mengisytiharkan:

1. Mahasiswa berpegang teguh kepada prinsip demokrasi dan menyokong pendekatan pilihanraya di dalam menentukan kepimpinan negara.

2. Mahasiswa menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada SPR untuk memastikan pilihanraya yang dilaksanakan adalah adil dan bebas.

3. Mahasiswa bersama SPR di dalam memastikan amalan demokrasi di Malaysia adalah terpelihara, diawasi dan dapat dikekalkan.

KEBIMBANGAN MAHASISWA 1. Seramai lebih 680,000 pengundi yang berdaftar tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada tahun 1999 akibat daripada masalah birokrasi di pihak SPR.

Mahasiswa berpandangan ini memberi satu impak negatif kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem pengurusan SPR yang gagal untuk menyelesaikan masalah pendaftaran pemilih.

2. Kegagalan SPR di dalam mengawal parti memerintah yang menyalah gunakan seluruh jentera kerajaan untuk tujuan kempen parti mereka.

Mahasiswa berpandangan SPR dilihat seolah-olah bertindak double-standard dan menyebelahi pihak kerajaan kerana gagal untuk mengawal dan memastikan agar jentera kerajaan tidak disalahgunakan.

3. Tindakan SPR menaikkan jumlah deposit calon daripada RM3,000 kepada RM5,000 untuk DUN dan RM5,000 kepada RM10,000 untuk parlimen. Jumlah ini menjadi bebanan kepada calon-calon yang bertanding. Hanya parti yang kaya sahaja yang akan menjadi dominasi.

Mahasiswa berpandangan bahawa tindakan demikian adalah bertujuan untuk menyempitkan peluang calon untuk bertanding. Ini sekaligus menghalang kepada realisasi pilihanraya yang adil dan bebas.

4. Tempoh kempen yang disempitkan had waktu.

Mahasiswa berpandangan bahawa akibatnya ialah calon-calon dari parti selain kerajaan mengalami kesukaran untuk turun kepada rakyat bagi menyatakan manifesto mereka.

5. Beberapa pindaan di dalam Akta Salah Laku Pilihanraya.

Mahasiswa berpandangan bahawa usaha ini seolah-olah ia merupakan percubaan untuk menyempit dan menyekat kebebasan berkempen semasa pilihanraya.

6. Persempadanan semula.

Mahasiswa berpandangan bahawa tindakan demikian adalah tidak menepati syarat-syarat utama kerana realiti yang dilakukan ialah tidak berdasarkan ciri-ciri utama iaitu penambahan penduduk, kedudukan sains sosial dan kedudukan geografi.

7. Isu surat Puteri UMNO bertarikh 14 April 2003 yang memohon SPR agar mengambil pekerja-pekerja sambilan di kalangan ahli Puteri UMNO.

Mahasiswa berpandangan isu ini boleh menyebabkan rakyat semakin ragu terhadap kebebasan SPR kerana dilihat mempunyai pakatan sulit dengan parti memerintah.

8. Laporan sehingga Disember 2003 yang menyatakan bahawa terdapat 2 juta mereka yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi selewat-lewatnya 31 Disember 2003 akan kehilangan hak sekiranya pilihanraya diadakan pada awal 2004.

Mahasiswa berpandangan bahawa ini seolah-oleh memberi implikasi samada rakyat sudah hilang kesedaran politik mereka atau paling membimbangkan sekiranya mereka sudah tiada lagi keyakinan terhadap sistem pilihanraya di negara kita. Ini juga memberikan satu gambaran terhadap kegagalan SPR untuk memastikan rakyat agar menyedari hak mereka menurut Perlembagaan Persekutuan.

Senarai di atas merupakan di antara situasi yang menjadi kebimbangan mahasiswa. Ia menjadi faktor pendorong kepada sikap mahasiswa untuk mengambil berat terhadap isu pilihanraya khususnya bagi menjamin kelicinan perjalanan pilihanraya Malaysia kali ke-11.

TUNTUTAN MAHASISWA Menuntut SPR agar memastikan semua parti politk mematuhi undang-undang dan peraturan pilihanraya. Prinsip undang-undang dan peraturan pilihanraya adalah bersandarkan pada kebebasan dan profesionalisma kehakiman dan sistem mahkamah.

Semua parti politk, calon dan rakyat adalah sama tertakluk pada undang-undang. Namun demikian, aktiviti-aktiviti kerajaan dan parti mesti diasingkan dan tidak boleh sama sekali dicampur adukkan. Justeru:

1. Mempunyai sistem pengurusan proses daftar pemilih yang cepat dan efisien. SPR tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan proses daftar pemilih kerana ia boleh menyebabkan ramai mereka yang berhak akan hilang kelayakan.

2. Memelihara integriti dan kewibawaan SPR agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap perjalanan pilihanraya di Malaysia.

3. Memastikan objektif SPR benar-benar dilaksana iaitu memelihara, mengawasi dan mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia menerusi pilihanraya yang adil dan saksama.

4. Mengadakan program-program dan kempen yang efektif ke arah mendidik kesedaran politk di kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, kempen daftar pemilih mestilah diperhebatkan untuk meningkatkan mood politik di kalangan rakyat. Kempen yang dimaksudkan mestilah secara berkesan, konsisten dan menyeluruh.

5. Memantau secara terperinci senarai daftar pemilih bagi mengelak sebarang kegiatan penipuan daripada mana-mana pihak khususnya parti memerintah.

6. Parti, calon dan ahli parti tidak boleh sama sekali menggunakan harta awam (seperti pejabat, kenderaan, kewangan dsb) untuk kegiatan parti politik. Malahan, mereka yang diberikan mandat mesti menunaikan sepenuhnya amanah yang diberikan oleh rakyat.

7. Stesen televisyen mesti memberikan ruang secara adil dan saksama kepada semua parti politik dan juga memastikan laporan serta liputan yang dikemukakan adalah tidak berat sebelah, bias dan double-standard.

8. Parti, calon dan ahli parti mesti memberi kerjasama sepenuhnya dan menyediakan segala sokongan kepada Suruhanjaya Pilihanraya dan badan-badan di bawahnya. SPR mesti bertindak secara bebas, telus dan adil.

9. Pihak Polis Di Raja Malaysia dan pihak berkuasa mesti memastikan anggota mereka bertindak tidak menyebelahi mana-mana parti (non-partisan) dan berpegang teguh kepada prinsip undang-undang.

10. SPR mesti bertindak secara tegas ke atas mana-mana parti, calon atau ahli parti yang menyalahi undang-undang dan peraturan pilihanraya.

Manakala dalam perkara (Electoral Conduct), semua parti, calon dan ahli parti mesti menjanjikan untuk terlaksananya pilihanraya yang adil dan bebas serta pendekatan demokrasi yang bertoleransi. Mereka mestilah:

1. Memastikan semua ahli dan jentera parti memahami erti dan roh Pilihanraya yang Adil dan Bebas.

2. Mempromosikan budaya kempen yang berkonsepkan pendidikan politik (political education) di kalangan pengundi.

3. Menolak dan mengutuk keganasan dan budaya politik ganas.

4. Menekankan konsep undi yang dilakukan adalah rahsia khususnya dalam pengundian secara pos.

Berdasarkan piawaian antarabangsa, SPR mesti memastikan agar mana-mana parti politk, calon atau ahli parti:

1. Tidak menggunakan senjata dalam mana-mana aktiviti mereka samada di khalayak ramai, mesyuarat, rapat umum dan mana aktiviti kempen.

2. Mana-mana parti politk, calon atau ahli parti mesti mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan tidak berlakunya penipuan samada sebelum, semasa dan selepas pilihanraya.

3. Sebarang usaha politik wang dan rasuah tidak dilakukan oleh mana-mana parti politk, calon atau ahli parti samada melibatkan pengundi atau di kalangan pegawai SPR sendiri.

4. Mana-mana parti politk, calon atau ahli parti tidak melakukan aktiviti memusnahkan sebarang mekanisma kempen parti lain samada mengoyakkan poster, menconteng lambang parti dsb.

5. Semua parti politk, calon atau ahli parti tidak boleh menghalang mana-mana parti politk, calon atau ahli parti dalam mengendalikan rapat umum, perarakan dsb.

PENUTUP Mahasiswa mengharapkan agar suara mahasiswa diberikan perhatian dan diberikan hak dalam menyuarakan pandangan terhadap apa sahaja yang melibatkan kepentingan negara. Mahasiswa benar-benar mengimpikan sebuah pilihanraya yang adil dan bebas. Bukannya suasana pilihanraya yang seolah-oleh hanya satu parti sahaja yang wujud di Malaysia. Yang pasti ialah, sekiranya kerajaan gagal dalam memenuhi kehendak mahasiswa serta amanah rakyat, mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk memobilasikan sepenuh kekuatan untuk menggugurkan kerajaan yang ada dan merealisasikan perubahan.

MAHASISWA MENUNTUT PERUBAHAN

Memorandum ini disepakati oleh SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA yang dianggotai oleh:

Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI) * Universiti Bangsar Utama UBU) * Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) * Independent Student Resource and Legal Training Centre (ISREC) * Gerakan Pemuda dan Mahasiswa Demokratik Malaysia (DEMA) * Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA) * Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

 

 


Kini kami di umno-reform.com berani mengatakan bahawa UMNO-REFORM.COM sekarang ini  adalah laman politik independen terpopular Malaysia.