www.umno-reform.com - laman yang menerima lebih dari 40,000 pelayar sehari


Faktor Najib akan jadi penentu dalam pemilihan jawatan Umno?
Rosli Ismail
14-01-2004

Memetik kata-kata Inggeris : as the dust settles- Timbalan Perdana Menteri sudah lantik dan rombakan kecil kabinet sudah dibuat.

Selain perhatian bertumpu pada pilihanraya umum ada juga yang tak lupa ini adalah tahun pemilihan Umno.

Yang pasti satu kerusi Naib Presiden Umno kosong.Datuk Najib Tun Razak sudahpun dikira confirm akan dinobatkan sebagai Timbalan Presiden Umno.

Begitu juga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini memangku jawatan Presiden Umno akan disahkan sebagai presiden parti dalam Perhimpuan Agung Umno yang kalau ikut jadual asal akan diadakan pada bulan Jun tahun ini.

Yang tinggal dalam barisan Naib Presiden nanti ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Samaada ia akan berlangsung ikut jadual bergantung penuh pada tarikh bila pilihanraya umum diadakan.

Majlis Tertinggi Umno boleh memutuskan ia ditunda kesatu tarikh ke depan jika waktunya dirasakan berlaga dengan mesyuarat-mesyuarat cawangan dan bahagian Umno yang perlu diselesaikan dulu sebelum Perhimpunan Agung diadakan.

Para pemerhati politik merasakan soal ada berlaku perubahan atau tidak pada tarikh perhimpunan itu boleh memberi indikasi kepada bila pilihanraya akan diadakan.

Maknanya jika tetap diadakan pada bulan Jun makanya pilihanraya perlu diadakan paling lambat pada bulan April.Lepas itu ada hampir dua bulan tumpuan boleh diberikan untuk perhimpunan parti.

Kemungkinan perhimpunan itu diadakan sebelum pilihanraya umum adalah tipis kerana ini akan membuat persaingan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian khususnya akan menjadi lebih sengit - kerana anggapan jawatan itu akan menjadi tiket sebagai calon pilihanraya.

Lagipun senarai-senarai calon yang dikatakan sedang disusun oleh perhubungan-perhubungan Umno negeri akan bercamuk.

Dalam pada itu keadaan ini akan mencetuskan suasana yang lari fokus dalam Umno untuk berdepan dengan pilihanraya.

Soalnya sekarang siapa yang diduga akan mencuba nasib untuk mengisi satu slot yang dikosongkan oleh Najib dan juga bersaing dengan dua Naib Presiden yang ada sekarang?.

Ramalan yang popular kebelakangan ini membariskan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Dr Rais Yatim,Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Besar Johor Datuk Ghani Othman akan mencuba sekali lagi setelah tewas dalam pemilihan tahun 2000.

Satu-satunya kemungkinan muncul pendatang baru ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.Setakat ini tidak kelihatan lain-lain Menteri Besar akan mencuba.

Ada juga kedengaran desas desus Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna,Datuk Dr Jamaluddin Jarjis mungkin masuk.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sekarang memandangkan saham beliau dikatakan turun sikit sekarang kerana pertukaran dari Menteri Kewangan Kedua yang lebih glamour .

Menteri Belia dan Sukan Datuk Hishamuddin Tun Hussein pernah dijolok mengatakan beliau hendak cuba juga.Ini dikatakan bagi meletakan wakil orang muda dalam hiraki jawatan nombor tiga dalam Umno itu.

Ada dikalangan circle Pergerakan Pemuda Umno yang yakin dengan backing penuh mereka Hishamuddin boleh lepas.

Desas desus ini yang menyemarakan cakap-cakap bahawa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mungkin hendak bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Naib Ketua Pemuda sekarang Datuk Aziz Sheikh Fadzir yang akan habis umur had 40 tahun juga dikatakan berminat untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu jika Hishamuddin bertanding Naib Presiden.

Berikutan perlantikan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri kemungkinan Jamaluddin dan Hishamuddin masuk tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Jamaluddin diketahui umum adalah orang kanan Najib manakala Hishamuddin ada kaitan keluarga dengan Najib.

Bayang dan jentera politik Najib dikatakan boleh memberi nilai tambah pada kekuatan mereka untuk bersaing.

Ada yang meletakan Ghani 50-50.Ia bergantung pada kedudukannya selepas pilihanraya umum.Jika beliau bertanding kawasan parlimen dan dilantik sebagai menteri beliau dikatakan pasti bertanding.

Rais Yatim pula diyakini akan masuk manakala Syed Hamid yang menunjukkan prestasi cemerlang sebagai Menteri Luar masih belum menunjukkan pertanda kearah itu sekalipun namanya hangat disebut-sebut.

Bagaimana pula nasib Muhyddin dan Muhd Taib dalam persaingan untuk mempertahankan jawatan mereka?

Muhyiddin dikatakan berada dalam zon selesa untuk mempertahankannya manakala Muhd Taib pula dikatakan banyak bergantung samaada bertanding dalam pilihanraya ini dan dilantik ke kabinet.

Kemungkinan Muhd Taib bertanding kawasan parlimen hangat disebut-sebut bila beliau dilantik sebagai Ketua Penaja Umno Bahagian Kelana Jaya.

Dalam pada itu ada juga yang tidak menolak kemungkinan beliau boleh lepas dalam pemilihan jawatan itu tanpa sebarang jawatan mengenangkan kejayaannya dalam status itu semasa pemilihan tahun 2000.

Sewaktu era Tun Dr Mahathir Mohamad bearing pemilihan Umno banyak dipengaruhi oleh siapa yang pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ramai yang dikatakan nak masuk kapal Timbalan Presiden kerana biasanya Presiden sebagai orang tua cuma mengawas dari atas dan tidak campur.

Hal ini dilihat semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Ramai yang merasa selesa dikenali sebagai orang Anwar.

Begitu juga semasa jawatan itu disandang oleh Tan Sri Musa Hitam.

Keadaan itu dikatakan agar kurang semasa Tun Ghafar Baba memegang jawatan itu kerana masalah generation gap .

Para pemerhati politik menunggu dengan penuh minat untuk melihat apakah faktor Najib akan menjadi penentu dalam pemilihan barisan pimpinan Umno kali ini.

Mungkinkah sebagai Naib Presiden dengan undi terbanyak, rangkaian politiknya boleh membuatkan mereka yang dikategorikan sebagai orang Najib akan lepas khususnya dalam pemilihan barisan Majlis Tertinggi Umno?.



Kini kami di umno-reform.com berani mengatakan bahawa UMNO-REFORM.COM sekarang ini  adalah laman politik independen terpopular Malaysia.