www.umno-reform.com
- laman yang menerima lebih dari 40,000 pelayar sehari
EZAM DAN LOKMAN: MENGAPA MESTI BERPERANG?
Oleh Mandalaputra
30-01-2004
Seantero negara dan antar bangsa sudah tahu perbalahan dan pertempuran antara Ketua Pemuda Keadilan Ezam Mohd Noor dengan Setiausahanya Lokman Adam. Kendatipun tampaknya Ezam sudah berjaya menyudutkan Lokman daripada arus perjuangan Keadilan-BA, Lokman masih berupaya melancarkan siri serangan gerila terhadap Ezam. Episod pertempuran kini seakan menuju kemuncaknya dengan konsep: Menang jadi arang, kalah jadi abu!
Apa untungnya pertempuran Ezam-Lokman terhadap usaha pembebasan Anwar Ibrahim dan menyingkirkan kuasa BN? Seluruh warga Umno-BN sedang bertepuk sorak menyaksikan drama sebenar dalam Keadilan-BA. Jika Ezam dengan kelengkapannya menggempur Lokman sehingga Lokman tersudut daripada BA, ingat serangan balas Lokman secara gerila juga sekarang telah menyebabkan Ezam cedera kalau pun belum parah.
Ezam memang ahli politik dan senantiasa mencari sasaran untuk dibedil. Semakin banyak sasaran dibedil, semakin bergengsi manusia bernama Ezam. Semua tahu sepanjang gelora reformasi sama ada sewaktu di luar negara atau sesudah kembali, kekuatan politik Ezam ialah dengan membedil sasaran seperti mantan Ketua Polis Negara Rahim Noor, mantan Ketua Menteri Melaka Rahim Tamby Chik dan Rafidah Aziz. Kesanggupannya dijeblos dalam kandang sel gara-gara OSA dan ISA memperkasa dirinya. Namun setelah dilepaskan daripada sel ISA, aumannya terhadap kebobrokan BN menipis! Memang semua pada tertanya-tanya, sehingga sudah menjadi spekulasi bahawa Ezam sendiri sedang membuat rakit untuk menyeberang ke Umno!
Apakah kelunakan Ezam untuk meneruskan serangan terhadap kebobrokan BN dirasa mengurangkan gengsi politiknya? Lalu, manusia Lokman menjadi sasaran terbaru untuk memperkasa gengsi politik semasanya? Ya, kini Ezam memang sudah melonjak kembali seperti masa lalu.
Jika Ezam sudah kembali gah, Lokman kian tersisih. Benar Lokmnan sedang mencederakan Ezam dengan pendedahannya itu. Lantaran mereka sebelumnya akrab, tentulah bedilan kata-kata Lokman terhadap Ezam tidak dipandang enteng. Namun strategi Lokman dengan bersumpah bahawa tidak menyertai Umno membuat dirinya seperti kelapa hanyut di tengah lautan. Dia mengakui BA kian menyudutkan dirinya, dan sumpahnya tidak menyertai Umno membuat dia tidak punya teman-teman sekarang!
Sayang Lokman, pemuda yang telah mengorbankan dirinya dalam perjuangan sehingga diselkan oleh ISA, kini hanyut ke laut. Apakah semua warga BA sudah menerima segala serangan Ezam terhadap Lokman? Oleh kerana pertempuran antara dua pemuda ini dalam rumah Keadilan, maka tidak adakah insan berwibawa dalam Keadilan atau BA yang mahu mengelak bertambahnya bedilan yang akan melukaparahkan bukan sahaja Ezam dan lokman, malah kekuatan BA seluruhnya.
Penulis membuat kesimpulan ringkas bahawa pertempuran Ezam-Lokman memang sebahagian jadual strategi Umno melemahkan kekuatan Keadilan-BA. Ingatlah, strategi selepas ini tentulah memerangkap Pas agar mengadakan pertemuan-muzakarah dengan Umno. Gelora desakan itu akan bertambah kuat menjelangnya pilihan raya, matlamatnya satu: melemahkan Pas! Setelah Keadilah terperangkap, apakah Pas tidak sedar lagi?
Kini kami di umno-reform.com berani mengatakan bahawa UMNO-REFORM.COM
sekarang ini adalah laman politik independen terpopular Malaysia.
|