www.umno-reform.com
- laman yang menerima lebih dari 40,000 pelayar sehari
Operasi Pasir : Jengkaut diberkas,perompak terlepas.
Inderaloka
06-01-2004
Penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantuan Bahan Batuan oleh Kerajaan Selangor pimpinan DS Dr.Mohd Khir Toyo bolehlah dikira sebagai pemecah rekod,kerana sebelum ini tidak pernah mana-mana kerajaan negeri di Malaysia berbuat begitu.
Langkah tersebut diambil semata-mata untuk memperlihatkan betapa seriusnya usaha Khir Toyo memerangi `perompak pasir` yang telah mengakibatkan kerajaan Selangor kerugian ratusan juta ringgit sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.
YB. Dato Abd.Fatah Iskandar,Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dilantik sebagai `panglima` memerangi perompak pasir menyatakan bahawa jawatankuasa khas itu akan meneliti dan mengkaji semula prosedur pemberian permit pengeluaran bahan batuan kepada pengusaha serta hal-hal lain yang berhubung kait.
Setakat ini daerah Sepang dipilih menjadi lokasi pertama medan tempur Khir Toyo melawan perompak pasir. Kemenangan ternyata memihak kepada angkatan perang kerajaan negeri apabila beberapa buah jengkaut (jentera pengaut)lapok ,lori-lori hantu dapat ditawan.
Harta rampasan itu akan disita oleh Khir,sebagai bahan bukti untuk dipertontonkan kepada rakyat jelata bahawa kerajaan negeri sudah dan seterusnya pasti akan berjaya menumpaskan musuh-musuh mereka. Tahniah dan syabas Khir Toyo !
Walaupun ada sesetengah pihak menghamburkan pujian tinggi melangit terhadap ketangkasan MB Muda itu memerangi perompak pasir tetapi realitinya beliau ditertawakan rakyat terbanyak.
Bukan sahaja kalangan penyokong pembangkang,malahan kebanyakan ahli-ahli Umno yang sempat ditemui secara sinis berkata: " Mungkin selepas ini Khir Toyo akan mendakwa jengkaut dan lori hantu dimahkamah atas tuduhan merompak pasir.Tentunya nanti tak muat kawasan mahkamah untuk menampung kehadiran pesalah-pesalah yang beratnya setiap sebuah 70 ton."
Kata mereka lagi `perang` Khir itu,sama seperti yang dibuat oleh Badan Pencegah Rasuah BPR keatas `skandal penyelewengan RM 40 juta wang PPRT` melibatkan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Annuar Musa tempuh hari. Hanya kereta mewahnya Merc.320 sahaja yang diberkas untuk dipamirkan kepada rakyat.
Kalau kerajaan negeri benar-benar serius mengapa perompak sebenar tidak diberkas ? Apakah terlalu sukar untuk mengesan pengeluar dan pemegang permit yang memberi laluan terjadinya rompakan itu .
Kenyataan YB Dato Mokhtar Dahalan Exco Kerajaan Temapatan dan Alam Sekitar menjelaskan bahawa pemegang permit sendiri didapati bersubahat dengan perompak-perompak keparat tersebut.
Cekup dahulu pemegang permit,nescaya akan tertangkap sama `taukeh-taukeh Cina` pemajak (pengusaha) permit yang dikatakan mengupah samseng untuk mengugut dan menakut-nakutkan pihak berkuasa PBT daripada menjalankan tugas mereka.
Bukan semua anggota penguakuasa PBT boleh disogok,masih ada yang jujur walaupun bilangannya amat sedikit.Untuk memukul rata mereka semua `kaki songlap` adalah tidak adil. Tangkap saja segala DO,ADO dan SO yang kebanyakkan mereka memang sudah terkenal dengan `kebuayaan` sejak dulu lagi.
Persoalannya beranikah Khir Toyo bertindak sedemikian,walhal mereka yang terlibat sama ada pemegang permit,pemajak dan kebanyakan `buaya-buaya lapar` PBT adalah kroni Umno-BN. Bertindak keatas mereka hanya akan memecahkan lagi tembelang Umno-BN yang sememangnya sudah pun memekong.
Rakyat Selangor mencabar Khir Toyo untuk mempamirkan kejantanannya ! jika tidak segala-galanya tidak lebih daripada sebuah drama untuk memesongkan isu besar yang sedang dihadapi oleh beliau sendiri. Apalagi kalau bukan `Isu Rasuah Khir Toyo` !
Berhati-hatilah wahai rakyat Selangor `perang olok-olok` keatas perompak pasir itu hanyalah gimik golongan terdesak menjelang pilihanraya umum. Selepas ini mungkin dua tiga ekor kambing hitam akan dikorbankan untuk melengkapkan skrip drama mereka.
Ditakdirkan mereka diberi peluang untuk berkuasa semula nescaya rompakan harta rakyat itu akan disambung semula dengan versi serba baru. Mustahil perasuah tergamak memerangi rasuah,begitu juga penyamun selamanya tidak akan berjaya memberkas perompak !
Inderaloka.
Kini kami di umno-reform.com berani mengatakan bahawa UMNO-REFORM.COM
sekarang ini adalah laman politik independen terpopular Malaysia.
|